Dalam perjalanan kita di gelanggang pendidikan ini, ada hari-hari yang membuatkan kita termenung panjang di meja guru. Letih. Hilang semangat. Kadang-kadang kita bertanya dalam hati, “Sampai bila aku mampu bertahan?” Dan di sinilah, tuan-tuan, letaknya rahsia besar yang sering kita lupa bahawa seluruh perjuangan ini bermula daripada cinta Allah kepada hambaNya.
Izinkan saya tulis begini. Allah mengasihi kita lebih daripada seorang ibu mengasihi anaknya. Jika seorang ibu sanggup berjaga malam, menangis sendirian, berkorban apa sahaja demi si kecil… maka bagaimana pula kasih Allah yang mencipta kasih itu sendiri? Nah. Apabila kita menyedari paradigma ini, gaya kita mengajar pasti berubah. Kita tidak lagi sekadar menyampaikan fakta, tetapi menyampaikan cinta. Kita tidak lagi hanya mendidik akal murid, tetapi mengetuk pintu hati mereka.
Tuan-tuan, saya teringat satu perkara penting, bahawa tidak ada kebetulan dalam aturan Allah. Setiap murid yang kita jumpa, setiap tingkah yang menguji sabar, setiap kegagalan dan kejayaan kecil, semuanya ditulis dengan teliti oleh Tuhan yang Maha Mengetahui. Tidak ada yang sia-sia. Malah, murid yang paling sukar biasanya adalah guru terbaik untuk melatih jiwa kita. Bila kita melihat setiap cabaran sebagai takdir yang mengasuh kita, barulah kita boleh mengajar dengan hati yang lapang.
Tetapi kasih dan takdir tidak bermakna jalan dakwah menjadi mudah. Dan izinkan saya bercakap jujur & ingatkan diri saya dan rakan-rakan. Hakikatnya, profesion keguruan ialah medan jihad. Badiuzzaman Said Nursi mengingatkan kita bahawa jihad bukan hanya pada pedang, tetapi pada ilmu yang mencerahkan, pada akhlak yang membaiki, dan pada keteguhan menentang kerosakan. Guru ialah pejuang senyap yang tidak nampak glamor, tetapi suara mereka membentuk masa depan negara.
Di sinilah keperluan kepada istiqamah. Kita mungkin penat… tetapi kita tidak boleh berhenti. Kita mungkin goyah… tetapi kita tidak boleh menyerah. Para ulama selalu mengingatkan bahawa rehat sebenar hanya selepas mati. Dunia ini medan sibuk berjuang, dan syurga nanti medan sibuk menikmati. Surah Yasin ayat 55 menceritakan bagaimana ahli syurga “sibuk dengan kenikmatan”. Maka selagi kita berada di dunia, biarlah kita sibuk dengan jihad ilmu.
Tuan-tuan, dalam konteks ini, saya ingin menegaskan satu perkara besar,bahawa guru ialah penanam benih tamadun. Ketika kita melangkah ke bilik darjah, sebenarnya kita sedang melangkah ke medan dakwah. Setiap senyuman, setiap nasihat, setiap teguran, setiap doa yang dilafazkan dalam diam… semuanya adalah amal yang dicatat oleh langit, meskipun bumi tidak melihatnya.
Dan yakinlah, istiqamah bukan bermaksud kita tidak pernah jatuh. Istiqamah bermaksud kita bangun setiap kali jatuh, dan tidak melupakan tujuan. Dalam riuh rendah tugas harian, ingatlah bahawa guru yang istiqamah ialah guru yang sentiasa memandang langit walaupun kakinya tetap berpijak di lantai bilik darjah.
Akhirnya, izinkan saya simpulkan dengan satu harapan. Jadilah guru yang menjadi jambatan antara kasih Allah dengan hati-hati kecil yang kita didik setiap hari. Jika itu yang kita pegang, insya-Allah, setiap hari yang penat pun terasa berharga, dan setiap cabaran berubah menjadi peluang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Yakinlah tuan-tuan, pekerjaan ini bukan pekerjaan kecil. Ia sebesar masa depan umat. Justeru, setiap langkah kita, termasuk saat penempatan guru baharu adalah sebahagian daripada usaha besar yang akan membentuk generasi dan menabur kebaikan untuk masa depan.
Marilah kita terus istiqamah, menunaikan amanah ini dengan penuh keikhlasan, kerana setiap usaha yang ikhlas, Allah pasti mencatat dan memberkatinya.
DR




