Menghitamkan Menteri Pendidikan

Itulah kesilapan besar kita yang utama. Pendidikan bukan kisah seorang manusia. Ia bukan drama satu watak. Pendidikan ialah ekosistem hidup yang melibatkan jutaan manusia dan berlapis-lapis struktur, daripada dasar, guru, murid, ibu bapa, PIBG, komuniti, media, malah budaya sosial dan politik. Jadi agaklah tak logik, dan terus terang saya katakan, mengarut bila kita cuba memadatkan seluruh kerumitan sistem ini ke atas bahu seorang individu. Tuan-tuan, Itu bukan kritikan, itu pemikiran malas.

image

Fenomena “menghitamkan” Menteri ini, sebenarnya, adalah simptom satu budaya politik dan sosial yang semakin parah, budaya mencari kambing hitam untuk setiap kegagalan kolektif. Ia mungkin memberi kepuasan moral jangka pendek, tetapi dari segi intelektual dan strategik, ia adalah tindakan regresif, bukan progresif.

Dalam era media sosial, kompleksiti pendidikan dihapuskan oleh posting dan komen yang marah atau video dua minit yang sarkastik. Kita suka naratif mudah kerana ia senang difahami dan sedap untuk ditularkan, tapi hakikatnya ia tidak menyelesaikan apa-apa.

Namun begitu, kita juga perlu akui dengan jujur.. ya, memang berlaku kerosakan moral, masalah disiplin, bahkan jenayah yang menyedihkan di sekolah-sekolah kita. Kita semua kesal, dan tiada siapa yang harus menormalisasi hal itu. Tetapi dalam apa jua keadaan, tidak wajar untuk menuding jari kepada Menteri seolah-olah segalanya berpunca daripada beliau seorang. Pendidikan bukan sistem automatik, ia bergantung pada nilai keluarga, peranan masyarakat, tanggungjawab guru, penguatkuasaan undang-undang, dan struktur sosial yang lebih luas. Menyalahkan seorang Menteri atas kegagalan moral bangsa hanyalah jalan pintas yang membutakan akar masalah sebenar.

Kedua, dalam banyak konteks kehidupan, kita ini masyarakat yang terperangkap dalam nostalgia. Ada semacam sindrom membandingkan semua Menteri dengan tokoh lampau, seolah-olah pendidikan dulu sempurna dan hari ini semuanya rosak. Padahal konteks sentiasa berubah. Cabaran kini jauh lebih kompleks dengan digitalisasi, mental health, AI, jurang sosial, malah kemiskinan pelbagai dimensi. Jadi, mengukur Menteri semasa dengan lensa masa lalu bukan sahaja tidak adil, malah malas secara intelektual. Saya nak berkata begini, tuan-tuan, semua generasi mengaku generasi mereka terpaling bagus dan terpaling baik.

Ketiga, saya rasa.. kita ini tidak faham sifat reformasi pendidikan. Tuan-tuan, reformasi pendidikan bukan projek kosmetik lima bulan, bukan setahun dua. Ia proses sosial jangka panjang, yang mana hasilnya mungkin hanya tampak selepas satu generasi. Tapi kita hidup dalam budaya nak cepat nampak hasil. Bila sesuatu dasar tidak beri kesan segera, terus dilabel gagal. Padahal, perubahan sebenar dalam sistem pendidikan memerlukan masa, kestabilan, dan kesabaran.

Saya tidak menolak hak untuk mengkritik. Ia perlu. Tapi masalahnya, banyak kritikan hari ini lebih bersifat emosional berbanding intelektual. Kita jarang membaca Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau mengambil tahu dasar-dasar pendidikan, kita lebih gemar membaca naratif media sosial yang separuh benar. Maka yang lahir bukan wacana dasar, tapi kebisingan populis yang tidak membina. Lagi viral, yang itulah yang kita anggap terpaling benar. Cuba tanya semula hati kita.. Betul ke cara itu?

Akhirnya begini. Dalam tradisi Islam, menegur pemimpin adalah tanggungjawab, tetapi dengan adab dan ilmu. Menghitamkan seseorang tanpa menimbang keikhlasannya, tanpa memahami kekangannya, adalah zalim. Contohnya, Fadhlina Sidek sedang membawa agenda reformasi pendidikan berasaskan kesejahteraan guru dan murid, tapi ia sering ditenggelamkan oleh politik persepsi. Kita perlu bezakan antara menegur untuk membina dan menghina untuk menjatuhkan.

Sebenarnya, budaya “pukul Menteri” ini sangat merbahaya kepada pembangunan pendidikan. Sebab apabila kita asyik menghukum, kita sebenarnya menghantar mesej yang salah bahawa cara paling mudah untuk kelihatan cerdik ialah dengan mencari salah orang lain. Lama-kelamaan, masyarakat akan hilang keupayaan untuk berfikir struktural dan sistemik. Kita jadi masyarakat yang hanya tahu marah, meruntuhkan dan bukan membina.

Justeru, kalau kita benar-benar mahu pendidikan kita maju, hentikan budaya menghitamkan ini. Mulakan budaya mencerahkan, dengan memahami, menganalisis, menambah baik, dan memberi ruang kepada reformasi bernafas. Sesungguhnya, pendidikan tidak boleh dibina atas dendam dan persepsi. Ia hanya boleh tumbuh dengan ilmu, rasional dan hikmah.

Apa yang berlaku ini memerlukan kita merenung semula pesan Umar Al-Khattab, “Didiklah anak-anak kamu sesuai dengan zamannya, kerana mereka diciptakan untuk zaman yang bukan zaman kamu.”

Dan saya tambah sedikit, nilailah Menteri Pendidikan juga dengan zamannya. Jangan setiap kali sistem goyah, kita cepat-cepat mencari wajah untuk dihitamkan. Kerana yang perlu kita cerahkan sebenarnya bukan imej Menteri Pendidikan, tetapi cara kita berfikir tentang pendidikan.

Dr. Radin Muhd Imaduddin

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top