Mungkin ramai antara kita tak sedar bahawa setiap 5 Oktober, dunia sebenarnya menyambut Hari Guru Sedunia. Kita di Malaysia dah terbiasa dengan 16 Mei, tarikh keramat yang setiap tahun diraikan dengan lagu Kami Guru Malaysia dan ucapan di dewan sekolah. Maka apabila tiba Oktober, ia sekadar satu bulan biasa. Tiada sambutan, tiada ucapan, tiada bunga, tiada hadiah.
Tapi, mengapa dunia menetapkan satu hari khas untuk guru di bulan Oktober? Dan kenapa kita, yang saban hari hidup dalam dunia pendidikan, seolah-olah melupakannya?
Hari Guru Sedunia mula disambut pada tahun 1994, apabila UNESCO, UNICEF, ILO dan Education International bersetuju untuk memperingati penandatanganan “Recommendation concerning the Status of Teachers” pada tahun 1966. Dokumen ini, walaupun nampak teknikal, sebenarnya sangat simbolik di mana ia mengiktiraf guru sebagai nadi pembangunan manusia, bukan sekadar kakitangan kerajaan. Ia menetapkan maruah profesion ini, mengingatkan dunia bahawa guru bukan sekadar penyampai silibus, tetapi penjaga masa depan peradaban.
Tahun ini, tema yang diangkat oleh UNESCO cukup menarik, “Recasting Teaching as a Collaborative Profession.” atau dalam bahasa mudahnya, menata semula profesion keguruan sebagai profesion berkolaboratif.
Saya suka tema ini. Ia mengajak kita menilai semula makna menjadi guru dalam dunia yang makin mencabar. Ia mengingatkan bahawa mendidik bukan kerja seorang diri. Bahawa guru tidak seharusnya hidup dalam keletihan sistem yang membuat mereka merasa terasing, seolah-olah semua masalah dunia mesti mereka tanggung. Ya, semuanya.. Dari bumi ke langit ke tujuh. ![]()
Kolaboratif di sini bukan bermaksud sekadar antara guru. Ia melangkaui tembok sekolah, iaitu melibatkan ibu bapa, pemimpin sekolah, komuniti setempat, pembuat dasar, dan masyarakat keseluruhan. Ia menyeru supaya pendidikan dilihat sebagai TANGGUNGJAWAB BERSAMA. Sebab mendidik seorang anak bukan sekadar soal akademik, tetapi soal MEMBINA MANUSIA.
Dan dalam konteks kita di Malaysia hari ini, tema ini datang tepat pada waktunya. Lihatlah realiti yang sedang berlaku, isu buli di sekolah, tekanan kesihatan mental murid dan guru, kehilangan nilai moral, dan keresahan masyarakat yang makin tinggi terhadap sistem pendidikan.
Sekolah menjadi tempat masyarakat menumpahkan marah, sementara guru pula menanggung beban emosi yang semakin berat. Yang kita dengar selalu, penyelesaian yang paling mudah dan popular, minta Menteri Pendidikan letak jawatan. Kita rasa, kita yakin, masalah akan selesai. Begitulah dunia yang fana ini..
Tuan-tuan, kita mahu sekolah yang selamat, tetapi hakikatnya, keselamatan itu bukan sekadar pagar tinggi atau kamera litar tertutup. Ia soal rasa percaya, rasa empati, dan jaringan sokongan. Ia soal masyarakat yang kembali melihat sekolah sebagai sebahagian daripada dirinya, bukan institusi asing yang boleh diserang bila berlaku masalah.
Inilah sebenarnya maksud collaborative profession, apabila pendidikan dilihat sebagai tanggungjawab kolektif. Bila guru, ibu bapa, komuniti dan pembuat dasar mula saling mendengar, saling menyokong, dan saling mempercayai.
Mendidik anak-anak bukan kerja mudah. Ia kerja sepanjang hayat. Dan tiada siapa boleh melakukannya sendirian. Maka, sempena Hari Guru Sedunia ini, marilah kita raikan semula makna profesion ini, bukan dengan ucapan atau hadiah, tetapi dengan komitmen untuk bersama-sama membina kembali harapan.
Kerana pada akhirnya, seperti pepatah Afrika yang sering diulang dalam dunia pendidikan, “It takes a village to raise a child.” Dan mungkin, sudah tiba masanya untuk kita membina semula “kampung” itu bersama-sama.
Dr Radin Muhd Imaduddin





