Guru, Beban dan Amanah, Di Mana Garis Seimbangnya?

1. Kadangkala, saya terfikir begini.. Bila timbul isu asrama, ada suara mencadangkan supaya warden bukan lagi daripada kalangan guru. Bila timbul isu disiplin, kita juga mahu pegawai disiplin bukan daripada guru. Bila timbul isu latihan sukan dan permainan, ada pula cadangan supaya jurulatih luar dilantik, bukan dari kalangan guru. Begitu juga dengan urusan aset, data, dokumentasi, kita mahu pegawai khas menguruskannya, bukan guru.

2. Dan saya tertanya-tanya, kalau semuanya bukan guru, siapa pula yang tinggal untuk menjalankan kerja sebenar pendidikan di sekolah?

3. Mungkin orang awam melihat guru terlalu banyak mengeluh. Setiap kali tular isu beban tugas guru, kerja pengkeranian, tekanan tugas, nada yang sampai ke luar seolah-olah menunjukkan guru tidak lagi mampu menanggung amanah. Tapi, saya fikir… mari kita letakkan semuanya dalam konteks yang betul.

4. Dalam MySG, Malaysian School Governance, sudah pun menggariskan bahawa setiap guru mempunyai peranan dalam empat komponen utama, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid (HEM) dan pengurusan sekolah. Ya, keempat-empat ini, wajib ditanggung setiap guru.

5. Ini bukan perkara baharu, malah sebahagian daripada sistem urus tadbir sekolah sejak dahulu. Guru memang bukan sekadar mengajar. Guru ialah jantung kepada ekosistem sekolah, dari mengurus, mendidik, memimpin dan mengekalkan disiplin budaya organisasi sekolah.

6. Maka apabila guru memegang pelbagai jawatan seperti guru data, guru aset, ketua panitia atau penyelaras program, itu bukan kerana sistem zalim, tetapi kerana struktur organisasi sekolah berfungsi secara kolektif. Ia menuntut semua warga, termasuk guru, memainkan peranan dalam memastikan sekolah bergerak dengan harmoni.

7. Namun, saya tegaskan di sini. Itu tidak bermaksud isu stres dan keletihan guru harus diketepikan. Memang benar, kerja banyak. Tekanan ada. Tetapi yang kita perlukan bukan simpati kosong, kita perlukan KEBIJAKSANAAN PENTADBIRAN.

8. Di sinilah fungsi school leadership diuji. Seorang pengetua atau guru Besar serta barisan pentadbir sekolah mesti menjadi pengimbang, tahu siapa kuat di mana, tahu siapa lemah di mana, dan tahu bila sesuatu tugas perlu diagih, digilir atau diperkemas. Prinsip asasnya bukan “kurangkan kerja”, tetapi “urus kerja dengan adil dan bijaksana.”

9. Saya percaya, guru tidak minta dilayan istimewa, tetapi mereka wajar difahami sebagai manusia yang juga punya had. Sebab itu saya yakin dan percaya, penyelesaian bukanlah dengan mengasingkan guru daripada kerja-kerja bukan akademik, tetapi mengatur semula ekosistem kerja agar lebih rasional, lestari dan manusiawi.

Guru, Beban dan Amanah, Di Mana Garis Seimbangnya?

10. Maksudnya, saya tidak fikir, guru hanya perlu bekerja HANYA kepada aktiviti yang melibatkan kemenjadian murid secara langsung, tetapi juga kepada tugasan yang menjamin kesejahteraan ekosistem pengalaman harian persekolahan.

11. Jadi, saya berpandangan, kadangkala, suara stres guru itu bukan jeritan mengeluh tetapi panggilan untuk diperhatikan semula KESEIMBANGAN dalam organisasi. Sebab akhirnya, guru juga mahu berkhidmat dengan baik. Guru mahu anak murid berjaya. Guru mahu sekolah cemerlang. Tapi mereka juga perlukan sistem yang waras, struktur yang menyokong, dan KEPIMPINAN YANG MEMAHAMI.

12. Tapi, bila tiada empati itu, yang mudah disalahkan ialah KPM dan Menteri terus… Jauh perginya… Kemudian, kita mengeluh lagi, tukar Menteri banyak kali pun, isu beban tugas tak pernah selesai… Kita baca dalam medsos, dianjingkan dan dilekehkan pula usaha mengurangkan beban tugas guru… Pada saya, jangan putus asa. Kita lakukan apa yang kita mampu segalanya dalam keupayaan kita.

13. Begini lah… Setiap kali kita sesat di hujung jalan, Eloklah kita kembali ke pangkal jalan.. Isu ini hakikatnya bersifat lokaliti. Maka, saya fikir, di sinilah letaknya seni sebenar dalam mentadbir sekolah, bukan sekadar menguruskan dan melantik, menanda siapa buat kerja apa, tapi sebenarnya membina budaya kerja yang saling menghormati dan saling memperkuat kan. Itu yang membezakan sekolah yang cemerlang dan sebaliknya.

14. Saya yakin dan percaya, guru bukan minta dibebaskan daripada tugas. Majoriti 90% guru amat berdisiplin, kompeten dan positif dengan tanggungjawab mereka. Apabila isu ini diangkat, sebenarnya guru mahu diberikan ruang untuk terus bernafas, agar cinta mereka kepada profesion ini tidak mati perlahan-lahan di bawah timbunan kertas, mesyuarat dan laporan.

15. Tugas kita, sentiasa refleksi apa yang kita boleh dalam kuasa dalam lingkungan kita. Insya-Allah, masing-masing mainkan peranan kita sebaiknya.

Dr. Radin Muhd Imaduddin

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top