Selepas lima tahun sejak COVID-19 melanda, kesan gangguan pembelajaran masih jelas terasa. Murid-murid yang memulakan persekolahan pada 2020 kini berada di Tahun 6, dan mereka yang di Tahun 2 dan 3 pada masa itu kini berada di Tingkatan 1 dan 2.
Banyak asas literasi, numerasi, dan kemahiran awal yang sepatutnya kukuh pada tiga tahun pertama terganggu. Gangguan ini bukan sekadar angka di laporan; ia nyata dalam kelas, dalam ayat yang sukar dibina, konsep nombor yang belum dikuasai, dan keyakinan murid yang goyah. Sebenarnya, kohort Tahun 4-6 dan tingkatan 1-3 juga terkesan dalam batas batas tertentu.
Menyedari cabaran ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kepimpinan YB Fadhlina Sidek bertindak pantas sejak 2023. Langkah pertama ialah memberi autonomi kepada guru. Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI), guru dibenarkan menyesuaikan kandungan kurikulum, menentukan fokus pengajaran, dan memilih bentuk pentaksiran terbaik mengikut tahap murid masing-masing. Guru bukan lagi sekadar mengikuti silibus seragam, tetapi mereka diberi kuasa untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan sebenar murid.
Langkah kedua ialah penyusunan semula kurikulum. Kandungan yang tertangguh semasa pandemik dijajarkan semula. Ada yang digabungkan, ada ditangguhkan agar murid dapat mengejar pembelajaran yang terlepas, tetapi dengan fokus utama membina asas 3M (membaca, menulis, mengira) secara berstruktur. Dokumen ini disokong dengan modul bimbingan untuk guru yang memerlukan sokongan profesional tambahan bagi memastikan pelaksanaan berkesan.
Langkah ketiga ialah program intervensi literasi dan numerasi. Saringan awal murid Tahun 1 dijalankan tiga bulan selepas mula persekolahan, diikuti saringan berkala setiap tiga bulan. Murid yang lemah menerima intervensi khusus. Hasilnya, bilangan murid bermasalah menurun daripada 120,000 kepada 49,000. Walau bagaimanapun, murid yang lebih tua masih memerlukan sokongan tambahan kerana intervensi bermula dengan Tahun 1 terlebih dahulu.
Langkah keempat ialah Program Anak Kita, dengan peruntukan RM100 juta untuk 2024–2025. Program ini bukan sahaja membantu murid Tahun 1–6 yang tertinggal asas 3M, tetapi turut menyokong murid hingga peringkat menengah dan SPM. Pelaksanaan melibatkan kerjasama KPM, Kementerian Kewangan, IPT, agensi swasta, dan NGO, menyediakan intervensi pembelajaran tambahan, sumber sokongan, dan latihan guru. Inilah kali pertama agenda ini menjadi isu dan gerakan nasional yang holistik.
Pengajaran daripada pengalaman ini jelas: pertama, jangan mudah menyalahkan guru, kurikulum, atau peperiksaan. COVID-19 adalah gangguan luar biasa yang menjejaskan asas pembelajaran.
Kedua, pendidikan mesti diserahkan kepada pakar dalam bidangnya, baik guru, ilmuwan, dan pakar pedagogi. Seperti kita menyerahkan rawatan kepada doktor, keselamatan kepada tentera, dan bangunan kepada jurutera, pendidikan harus diserahkan kepada profesionalnya.
Ketiga, belajar daripada pengalaman global sambil menyesuaikan dengan konteks tempatan adalah kunci. Tiada jalan pintas, melainkan pemulihan memerlukan usaha berstruktur, data-driven, dan konsisten.
Keempat, bersabar dengan proses pemulihan dan meletakkan kepercayaan penuh kepada guru yang mendidik anak-anak kita.
Yang penting, usaha KPM sejak 2023 menunjukkan bahawa pemulihan pendidikan boleh dilakukan secara berkesan apabila langkah diambil tepat, bersepadu, dan berfokus pada murid. Walaupun tidak semua kesan boleh dipulihkan sepenuhnya, murid kini mendapat sokongan terbaik untuk mengejar potensi mereka, membina asas yang hilang, dan kembali ke landasan pendidikan normal
Pendidikan adalah amanah. Dengan pengurusan yang bijak dan sokongan berterusan, kita dapat memastikan generasi akan datang tidak kehilangan asas pembelajaran mereka.
Alhamdulillah, kesan pemulihan COVID-19 sudah mula terlihat, termasuk dalam pencapaian SPM sejak 2023 dan 2024. Mari terus berdoa, berusaha, dan berjuang sedaya upaya untuk membina karakter dan potensi murid dalam era pasca-normal yang berbeza sepenuhnya dari zaman kita dahulu.
Pendidikan adalah pelaburan generasi jika kita lakukan dengan tepat, impaknya akan dirasai untuk dekad yang akan datang.





