Apakah Itu Pendidikan Karakter?

Dalam wacana pendidikan global, pendidikan karakter didefinisikan sebagai satu pendekatan menyeluruh untuk membina keperibadian murid agar berkembang secara emosional, sosial, moral dan intelektual. Ia bukan sekadar menanam nilai secara kognitif, tetapi melatih kecekapan insani (human competencies) yang membolehkan seseorang berfungsi dengan beretika, berempati dan matang dalam masyarakat yang semakin kompleks dan berlapis.

Namun, yang menariknya, pelbagai sarjana memberi istilah yang berbeza kepada pendekatan ini, masing-masing menzahirkan sudut pandang dan fokus yang pelbagai, tetapi berkongsi falsafah yang sama. Antaranya:

  • Social and Emotional Character Development (SECD) – Elias (2009)
  • Skills for Learning and Life (SSLL) – Flay & Allred (2010)
  • Social, Emotional, Ethical, and Academic Education (SEEAE) – Cohen (2006)
  • Character Education – Berkowitz & Bier (2007)
  • Moral Education – Althof & Berkowitz (2006)
  • Emotional and Intellectual Learning (TIEL) – Folsom (2009)
  • Positive Youth Development (PYD) – Lerner et al. (2011)

Dan mungkin ada banyak lagi nama, istilah dan pendekatan yang memaknakan perkara yang hampir sama.

Kesemua ini berteraskan falsafah dan matlamat yang sama, iaitu membina insan seimbang (holistic personhood) yang mampu berinteraksi dengan dunia secara beradab, berperasaan dan bertanggungjawab. Prof Dato Siddiq Fadzil gemar menggunakan istilah Pendidikan Al Hikmah, sebelum menggunakan istilah Pendidikan Karakter sejak akhir 2010+.

Saya tertarik dengan O’Connor, De Feyter, Carr, Luo dan Romm (2017), apabila mereka memperluas horizon pemahaman ini. Mereka menegaskan bahawa pembelajaran sosial dan emosional bukan proses yang hanya berlaku dalam diri murid, tetapi juga terjadi di antara murid dan guru, yakni dalam interaksi harian, dalam hubungan, dalam budaya yang hidup di sekolah. Maknanya, pendidikan karakter bukanlah program yang disuntik dari luar, tetapi ekosistem pembelajaran sosial yang terbina melalui cara guru berkomunikasi, cara pentadbir memimpin, dan cara warga sekolah saling berhubungan.

Dari perspektif ini, pendidikan karakter harus dilihat bukan sebagai modul tambahan atau “program nilai mingguan” yang bersifat sementara, tetapi sebagai ruang pembentukan budaya sekolah yang baharu, sebuah budaya kesejahteraan sosial yang menghubungkan aspek emosi, moral, dan intelektual seluruh warga sekolah.

Apabila pendidikan karakter dijadikan nadi budaya sekolah, ia menumbuhkan suasana yang penuh empati, hormat, dan tanggungjawab sosial. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi model emosi dan moral yang hidup. Murid pula belajar bahawa belajar itu bukan sekadar untuk pandai, tetapi untuk menjadi manusia yang berguna dan berjiwa sejahtera.

Maka, pendidikan karakter hakikatnya ialah projek pembudayaan yang membentuk manusia dan masyarakat melalui sekolah sebagai ekosistem moral. Inilah yang menjadikannya agenda penting bukan hanya untuk “pembinaan murid”, tetapi untuk pembaharuan sosial secara lebih luas.

Dan perkara ini tidak mungkin akan tercapai dengan pendekatan ‘business as usual’.

Dr. Radin Muhd Imaduddin
Felo Penyelidik Pendidikan MADANI

image

Saya kongsikan rujukan untuk rakan-rakan penyelidik dan educationist lain.

1. Elias, Maurice J. (2009). “Social-Emotional and Character Development and Academics as a Dual Focus of Educational Policy.” Educational Policy, 23(6), 831–846.

2. Flay, Brian R., & Allred, Carol G. (2010). “The Positive Action Program: Improving Academics, Behavior, and Character by Teaching Comprehensive Skills for Successful Learning and Living.” Dalam International Research Handbook on Values Education and Student Wellbeing, disunting oleh Terence Lovat, Ron Toomey & Neville Clement, hlm. 471–501. Dordrecht: Springer.

3. Cohen, Jonathan. (2006). “Social, Emotional, Ethical, and Academic Education: Creating a Climate for Learning, Participation in Democracy, and Well-Being.” Harvard Educational Review, 76(2), 201–237.

4. Berkowitz, Marvin W., & Bier, Michelle C. (2007). “What Works in Character Education.” Journal of Research in Character Education, 5, 29–48.

5. Althof, Wolfgang, & Berkowitz, Marvin W. (2006). “Moral Education and Character Education: Their Relationship and Roles in Citizenship Education.” Journal of Moral Education, 35(4), 495–518.

6. Folsom, Christy. (2009). Teaching for Intellectual and Emotional Learning (TIEL): A Model for Creating Powerful Curriculum. Lanham, MD: Rowman & Littlefield Education.

7. Lerner, Richard M., Lerner, Jacqueline V., & Benson, Janette B. (2011). “Positive Youth Development: Research and Applications for Promoting Thriving in Adolescence.” Advances in Child Development and Behavior, 41, 1–17.

8. O’Connor, Rachel, De Feyter, Jessica, Carr, Alexis, Luo, Jun, & Romm, Heidi. (2017). A Review of the Literature on Social and Emotional Learning for Students Ages 3–8: Characteristics of Effective Social and Emotional Learning Programs (REL 2017–245). Washington, DC: U.S. Department of Education, Institute of Education Sciences, National Center for Education Evaluation and Regional Assistance, Regional Educational Laboratory Mid-Atlantic.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top