Pada hari Jumaat yang lalu, 21 November 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan satu program Siri Syarahan Pendidikan Hikmah Madani yang dianjurkan sebulan sekali. Ini merupakan siri yang kedua, siri pertama bulan lepas menampilkan pengisian oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Usman Bakar, Rektor UIA.
Kali ini, kita bertuah kerana berpeluang mendengar syarahan daripada Prof. Dr. Khairuddin Al-Junied dari Singapura, yang kini merupakan Professor di ISTAC IIUM. Beliau memulakan bicaranya dengan beberapa statistik tentang masa depan dan ciri-ciri generasi muda hari ini. Beliau menekankan bahawa pelajar moden mempunyai empat ciri utama:
1. Awareness – kesedaran terhadap isu global dan sekeliling.
2. Activistic – sifat proaktif dan keinginan untuk bertindak terhadap isu.
3. Well-informed – akses kepada maklumat luas dan pengetahuan yang tinggi.
4. Impulsive – ekspresif dan mudah bertindak secara spontan.
Saya melihat realiti ini selaras dengan pandangan Ustaz Sidiq Fadzil dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek tentang fenomena ‘kebanjiran idola ketandusan teladan’, yang menjadi asas kepada cabaran pendidikan hari ini dan masa depan. Guru tidak lagi boleh sekadar menjadi penyampai maklumat. Mereka perlu menjadi “teacher coach”, membimbing dan belajar bersama pelajar. Dalam tradisi Islam, peranan ini bukan hanya mu’alim (pengajar), tetapi juga merangkumi murabbi, pembimbing yang membentuk akhlak, dan mu’adib yang membentuk karakter dan adab.
Dengan latar ini, berikut adalah sepuluh perkara yang menjadi key takeaway dari bicaranya:
1. Ukur Kejayaan Berdasarkan Usaha, Bukan Hanya Skor
Keputusan peperiksaan tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal. Yang lebih penting ialah sejauh mana pelajar berusaha dan belajar daripada kesilapan. “Kegagalan yang indah” perlu diraikan sebagai peluang pertumbuhan.
2. Ciptakan Keselamatan Psikologi di Bilik Darjah
Ketakutan menghalang pelajar daripada berkembang. Suasana yang selamat membolehkan mereka berani mencuba, membuat kesilapan, dan belajar dengan bebas.
3. Fahami Generasi Digital
Pelajar moden sedar isu global, aktif menyuarakan pendapat, tetapi mudah tertekan oleh aliran maklumat tanpa henti. Tugas guru adalah membantu mereka menyalurkan kesedaran ini ke arah tindakan produktif.
4. Guru Sebagai Mentor dan Jurulatih
Lebih daripada sekadar mengajar, guru perlu menjadi pembimbing proses pembelajaran, mentor, dan fasilitator yang membantu pelajar membangunkan kemahiran hidup dan kesedaran diri.
5. Libatkan Komuniti dan Sumber Luar
Sekolah bukan entiti terasing. Kerjasama dengan komuniti, syarikat, dan program CSR boleh mempertingkatkan infrastruktur dan menyediakan pelajar ruang yang kondusif untuk berkembang.
6. Sekolah yang ceria, Inspirasi yang Kuat
Persekitaran sekolah mempengaruhi motivasi pelajar. Bangunan yang bersih dan ceria menyampaikan mesej bahawa pendidikan itu dihargai dan membangkitkan kebanggaan mereka.
7. Galakkan Kreativiti dan Ekspresi
Aktiviti seni, lukisan, dan projek kreatif bukan sekadar hiburan. Ia membolehkan pelajar menghadapi cabaran, menyalurkan ekspresi, dan membangunkan kemahiran penyelesaian masalah.
8. Pendidikan Adalah Maraton, Bukan Pecut
Fokus pada pertumbuhan berterusan, bukan hasil segera. Galakkan pelajar “berlumba dengan diri sendiri” dan memperbaiki catatan mereka sendiri, bukannya bersaing semata-mata dengan orang lain. Saya fikir, ini mesej yang paling penting dalam syarahan ini, sekaligus menolak pendidikan yang berkiblatkan peperiksaan.
9. Utamakan Kesihatan Mental
Aliran maklumat dan tekanan tinggi boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar. Pendekatan pendidikan perlu seimbang, memberi ruang untuk rehat, refleksi, dan ekspresi diri.
10. Tindakan Kecil, Impak Besar
Reformasi pendidikan tidak semestinya kompleks. Projek kecil seperti mempercantik sekolah atau melibatkan pelajar dalam aktiviti praktikal boleh mencetus perubahan besar dan mendedahkan masalah tersembunyi yang perlu diperbaiki.
Penutup:
Prof. Dr. Khairuddin Al-Junid menekankan bahawa reformasi pendidikan bukan sekadar soal kurikulum atau teknologi, tetapi soal pemikiran baharu tentang bagaimana kita memahami pelajar, guru, dan kejayaan itu sendiri. Dengan mempraktikkan sepuluh prinsip ini, pendidikan bukan sahaja menjadi lebih relevan dan manusiawi, tetapi juga mampu membina generasi muda yang berdaya saing, kreatif, dan tahan lasak.
Catatan DR




