UPSR dan PT3 – Burung Kakaktua

Apabila Ketua Pengarah Pendidikan menyebut bahawa mengembalikan semula UPSR atau PT3 akan melahirkan generasi burung kakak tua, beliau sebenarnya sedang mengajak kita menatap cermin lama, iaitu wajah pendidikan kita sendiri. Wajah yang telah lama kita solek dengan angka, gred dan markah, tetapi kehilangan cahaya kejujuran dan makna sebenar pembelajaran.

Kenyataannya itu tidak salah. Namun, lebih penting ialah keberanian kita mengakui bahawa sistem terdahulu, dan mungkin juga sistem yang sedang berjalan ini juga, telah membentuk budaya pendidikan yang tidak sihat. Obsesi terhadap peperiksaan awam menjadikan kita terlalu result-oriented hingga mengorbankan jiwa pendidikan itu sendiri.

Kita mencipta high stake exam seperti UPSR, PT3, seolah-olah masa depan seorang anak boleh diramal hanya melalui satu kertas soalan. Lalu sekolah, guru dan ibu bapa berpakat secara tidak rasmi dalam satu perlumbaan yang tidak sihat, bukan lagi untuk melahirkan pelajar berfikir, tetapi pelajar yang patuh kepada skema jawapan. Akhirnya, kita semua mencari jalan pintas untuk melahirkan pelajar straight A. Aktiviti sahsiah, program pembinaan karakter, nilai, integriti, dan semangat gotong royong, semuanya dikorbankan di altar pencapaian akademik.

Dan bila sistem berubah, ketika UPSR dimansuhkan, kita masih tidak berubah. Kita terus menipu diri. Markah PBD dicantikkan, laporan sekolah digilap, seolah-olah kecemerlangan boleh disolek dengan magis. Cikgu, PPD, JPN pula berlumba-lumba mahu kelihatan paling cemerlang. Maka seluruh ekosistem pendidikan kita, tanpa sedar, telah menjadi mesin kosmetik, memperindah luaran, tetapi mengabaikan isi. Katanya mengejar KPI? Betul kah? KPI apa? Jadi, dengan mengembalikan UPSR, sudah tiada budaya yang telah kita amalkan lebih 30 tahun?

Pendidikan bukan pertandingan. Ia bukan tentang siapa yang lebih awal sampai ke destinasi, tetapi siapa yang benar-benar faham makna perjalanan itu. Bila sekolah menjadi arena perlawanan, murid menjadi mangsa, guru pula menjadi jurulatih yang tertekan untuk menang. Kita hilang nilai asas: amanah.

Akhirnya, saya fikir, persoalan besarnya kini bukan sekadar kembalikan atau tidak peperiksaan awam, tetapi apakah kita benar-benar bersedia untuk membina budaya belajar yang jujur dan berintegriti? Kerana jika mentaliti kita masih sama, jika kita masih mengukur kejayaan berdasarkan angka semata, maka walau apa pun sistem yang kita pilih, hasilnya tetap sama, iaitu generasi burung kakaktua yang bijak menghafal, tetapi tumpul berfikir.

Bertaubatlah. Pendidikan perlu menjadi tempat kita menyemai kebijaksanaan, bukan menanam ketakutan. Ia mesti mengajar anak bangsa berani bertanya, bukan hanya pandai menjawab. Pendidikan masa hadapan perlu memupuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif, bersikap aktif, peduli umat, berintegriti dan memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara secara berakhlak, beradab dan bermaruah… Melihat perbahasan hari ini.. Kita sudah jauh tersimpang..

Sudah tiba masanya kita berhenti menjadi sistem yang obses dengan skor, dan mula membina sistem yang mendidik manusia, bukan mesin. Jika tidak, selamanya kita akan kekal dalam kitaran lama, menukar nama dasar, tetapi tidak mengubah fikiran.

Dan itu, saya tegaskan, adalah bentuk kegagalan yang paling senyap tetapi paling berbahaya dalam sejarah pendidikan kita.

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top