Pada ketika ini, anak-anak kita sebenarnya ada 11 tahun tempoh persekolahan untuk meneroka bakat mereka. Ya, 11 tahun. Dari mereka umur 7 tahun masuk Tahun 1, sampailah umur 17 tahun di Tingkatan 5. Tapi jujurnya… berapa banyak daripada 11 tahun itu yang kita benar-benar benarkan mereka meneroka diri dan membangunkan potensi dan bakat mereka sendiri? Sebelum ini? Tiada?
Kalau kita bercakap tentang era sebelum ini, zaman kita semua dibesarkan dalam sistem peperiksaan… tuan-tuan, memang sempit ruangnya. Ingat tak… Tahun 1 sampai Tahun 3, kita belajar asas. Masuk Tahun 4, kita dah mula pasang gear tinggi sebab UPSR dah menghantui sejak awal. Tahun 5 pula penuh dengan UPKK, PSRA dan macam-macam lagi. Masa tahun 6, belum masuk bulan Jun, dah lepaskan segala jawatan dan aktiviti untuk fokus UPSR. Lepas tu, bila naik Tingkatan 1, baru nak sesuaikan diri persekolahan menengah, tapi Tingkatan 2 dah kena had sebab Tingkatan 3 ada PT3.
Akhirnya apa jadi?
Hampir keseluruhan 11 tahun itu kita habiskan dengan mengejar peperiksaan, bukan mengejar potensi.
Tak sempat nak kenal minat.
Tak sempat nak faham bakat.
Tak sempat nak gali kekuatan diri.
Dan hari ini, bila ada yang kata,
“Anak saya dah hilang motivasi belajar sebab tak ada UPSR, tak ada peperiksaan tahun lima…”
Kita jadi bimbang, kita resah, seolah-olah tanpa peperiksaan, sekolah ini hilang makna.
Tuan-tuan, di sinilah kita kena berhenti, bertenang dan berfikir semula secara rasional.
Pendidikan bukan berhenti pada umur 12 tahun.
Pendidikan bukan berhenti pada Tahun 6.
Pendidikan bukan ditentukan oleh satu kertas ujian.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita jelas, “Pendidikan ialah usaha yang berterusan… “
Kata Kuncinya, BERTERUSAN
Bukan enam tahun.
Bukan sembilan tahun.
Bukan sebelas tahun pun.
Ia perjalanan seumur hidup. Yang perlu kita pupuk adalah keinginan untuk terus mencari ilmu walaupun tiada peperiksaan… Saya tak maksudkan sehingga tamat persekolahan 17 tahun, saya maksudkan sehingga tamat kehidupan yang agaknya mencecah 90 tahun.
Jadi, kalau ada yang risau tentang motivasi murid, sebenarnya kita perlu semak balik apa yang kita percaya tentang pendidikan. Apa yang kita faham tentang makna murid datang ke sekolah.
Kalau kita benar-benar nak bina negara, kita kena beri ruang. Maksudnya, ruang sebenar untuk anak-anak ini meneroka bakat mereka, bukan sekadar “survive” peperiksaan.
Itulah tugas guru. Itu amanah sekolah. Secara berterusan, mencungkil dan membangunkan bakat murid.
Dan tugas itu bukan kecil. Tugas itu sebenarnya, adalah membina manusia secara menyeluruh, bukan hanya kognitif.
Bukan sekadar markah.
Bukan sekadar A atau B.
Bukan sekadar graf peratusan.
Kita bercakap tentang intelek, ya. Tapi kita juga bercakap tentang jasmani, emosi, rohani, sosial, keseluruhan diri seorang manusia.
Tuan-tuan, anak-anak kita hari ini ada peluang yang tak pernah kita dapat dahulu. Mereka ada 11 tahun perjalanan pembelajaran yang tidak lagi dikongkong peperiksaan awam seperti dulu. Dan sepanjang tempoh itu, mereka ada ruang untuk mengenal diri, mengasah bakat, dan membina keyakinan.
Jadi mari kita betulkan naratif. Peperiksaan bukan hilang makna, kita cuma mengembalikan makna pendidikan yang sebenar.
Kerana yang membina masa depan negara ini bukan sekadar keputusan peperiksaan,
tetapi manusia yang berkembang sepenuhnya.
DR




