1. Apa itu UEC?
UEC (Unified Examination Certificate) ialah peperiksaan yang dianjurkan oleh Dong Zong, dilaksanakan di 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (Chinese Independent High School). Bahasa pengantarnya Mandarin, dan kurikulumnya berbeza daripada kurikulum kebangsaan.
2. Adakah UEC setaraf dengan SPM?
Dari sudut Dong Zong, ya. Tetapi dari sudut kerangka undang-undang Malaysia, tidak, kerana SPM ialah peperiksaan kebangsaan yang diwajibkan oleh Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), dan merupakan syarat asas kemasukan ke IPTA serta perkhidmatan awam.
3. Apa prinsip utama yang menjadi asas sistem pendidikan kebangsaan?
Akta Pendidikan 1996 menetapkan tiga perkara besar, bahasa yang sama, kurikulum yang sama dan peperiksaan yang sama:
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama,
Kurikulum Kebangsaan (KSSM/KP2027)
Peperiksaan yang sama, iaitu SPM.
4. Mengapa UEC tidak boleh terus diiktiraf untuk kemasukan ke IPTA atau sektor awam?
Kerana UEC:
- Tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama,
- Tidak mengajar mata pelajaran teras seperti ditetapkan Kurikulum Kebangsaan,
- Tidak selari dengan peperiksaan kebangsaan (SPM),
Oleh itu melanggar Akta Pendidikan Kebangsaan jika diterima sebagai laluan rasmi.
5. Bukankah Malaysia membenarkan pendidikan pelbagai aliran?
Betul. Malaysia membenarkan pelbagai sistem pendidikan (IB, IGCSE, Tahfiz, pondok, Azhariy, dan lain-lain. Namun, SEMUA SISTEM alternatif tetap perlu memenuhi mata pelajaran teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam/Moral) sekiranya mahu berada dalam kerangka pendidikan kebangsaan atau laluan ke IPTA dan sektor awam.
6. Adakah berlaku diskriminasi pelajar UEC jika tidak diiktiraf kerajaan?
Tidak.
Pelajar dan ibu bapa BEBAS memilih sekolah mereka dan seharusnya BERTANGGUNGJAWAB terhadap implikasinya, sama seperti pelajar tahfiz yang memilih laluan Mesir/Yaman, atau pelajar IGCSE yang memilih laluan IPTS. Jika ingin masuk sektor awam atau IPTA, semua pelajar tanpa pengecualian mesti memenuhi syarat kebangsaan.
7. Adakah UEC diterima di IPTS atau universiti luar negara, termasuk IPT milik negeri-negeri?
Ya.
Sejak 2014, IPTS di Malaysia boleh menerima UEC untuk kemasukan, selaras dasar jaminan kualiti MQA. Begitu juga IPT di bawah pemilikan negeri, dianggap sebagai IPTS. Pengiktirafan di luar negara pula tidak tertakluk kepada Akta Pendidikan Malaysia, maka banyak universiti luar menerima UEC.
8. Mengapa Kerajaan tidak boleh mengiktiraf UEC untuk sektor awam?
Kerana sektor awam mesti mematuhi:
- Dasar bahasa kebangsaan,
- Prinsip pendidikan kebangsaan, dan
- Syarat wajib lulus SPM (Bahasa Melayu dan Sejarah).
Jika pengecualian diberikan kepada UEC, ia melanggar Akta Pendidikan, dan membuka ruang ketidakadilan kepada calon daripada sistem lain.
9. Apa risiko jika UEC diiktiraf sebagai laluan rasmi negara?
Ada beberapa risiko yang perlu diambil kira:
- membuka ruang kepada kaum lain menuntut sistem pendidikan masing-masing,
- meningkatkan polarisasi kaum,
- menjejaskan matlamat perpaduan dalam dasar pendidikan kebangsaan,
- bercanggah dengan prinsip Rukun Negara (Keluhuran Perlembagaan)
10. Adakah UEC boleh diterima jika kurikulumnya dipinda?
Ya
Menurut pandangan akademik, pengiktirafan hanya boleh dipertimbang jika UEC:
- mengajar mata pelajaran teras dalam standard kurikulum kebangsaan,
- menyelaraskan standard Bahasa Melayu dan Sejarah setaraf SPM,
- selari dengan dasar bahasa pengantar kebangsaan,
- mematuhi Akta Pendidikan 1996
11. Jika begitu, apakah sikap yang wajar dalam isu UEC?
Pendiriannya:
- Malaysia boleh menerima sistem pendidikan alternatif, tetapi MESTI selari dengan dasar kebangsaan dalam mata pelajaran teras.
- IPTA dan sektor awam mesti kekal menjadikan SPM (BM & Sejarah wajib lulus) sebagai syarat minimum.
- Sebarang pengiktirafan tanpa pematuhan kepada Akta Pendidikan adalah bercanggah dengan asas kenegaraan.
12. Apa kesimpulan besar dalam isu UEC?
Isu UEC bukan soal diskriminasi. Ia soal memelihara akta pendidikan, dasar bahasa kebangsaan, struktur negara, dan matlamat perpaduan.
Sistem pendidikan kebangsaan ialah tunjang pembinaan negara. Sesiapa pun yang ingin berada dalam kerangka rasmi negara perlu memenuhi standard asas yang sama.
13. Apakah beza SMJK dengan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menggunakan UEC?
Perbezaannya sangat asas. SMJK berada dalam sistem pendidikan kebangsaan, mematuhi Kurikulum Kebangsaan, bahasa pengantar BM/BI, peperiksaan kebangsaan dan menerima peruntukan kerajaan serta lantikan guru oleh KPM.
SMPC pula ialah sekolah alternatif, mengikut kurikulum persendirian, menggunakan Mandarin sebagai bahasa pengantar utama, menggubal silibus sendiri, dan menduduki UEC.
Jadi, isu UEC bukan isu sistem sekolah Cina kerana sekolah Cina arus perdana (SMJK) telah pun lama diarusperdanakan dan diiktiraf secara rasmi.
14. Adakah terdapat negara lain yang menerima peperiksaan persendirian sebagai laluan ke sektor awam?
Secara amnya, tiada.
Kebanyakan negara, termasuk Singapura, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, UK menetapkan peperiksaan kebangsaan negara masing-masing sebagai syarat laluan rasmi ke universiti awam dan perkhidmatan kerajaan. Sistem persendirian dibenarkan, tetapi tetap terpisah daripada laluan rasmi negara.
Malaysia sebenarnya jauh lebih fleksibel, kerana masih membenarkan sistem alternatif wujud tanpa sekatan, cuma tidak boleh menggantikan peperiksaan kebangsaan.
15. Adakah UEC boleh dijadikan salah satu komponen nilai tambah (bukan laluan utama) dalam pertimbangan kemasukan?
Tidak.
Ini kerana ia tetap melanggar asas undang-undang pendidikan negara.
Untuk laluan rasmi, standard minimum mesti sama untuk semua pelajar, iaitu SPM dengan lulus BM dan Sejarah. Jika UEC dijadikan komponen tambahan, ia tetap mewujudkan dua standard berbeza dalam satu sistem negara.
Namun, UEC boleh kekal sebagai peperiksaan alternatif untuk laluan IPTS dan luar negara, sama seperti IB, IGCSE dan lain-lain, tanpa menjejaskan struktur kebangsaan.
DR
![]()
Soalan bonus
16. Adakah UEC dipolitikkan?
Ya, UEC sering menjadi isu politik walaupun akar permasalahannya BERSIFAT TEKNIKAL. Hal ini disebabkan ia melibatkan identiti kaum, bahasa pengantar, dan autonomi sekolah vernakular SMPC, yang mudah dijadikan modal politik.
Parti politik ada yang menjanjikan pengiktirafan untuk menarik sokongan minoriti, manakala pihak lain menolaknya bagi menjaga sokongan majoriti.
Realitinya, isu UEC bukan semata-mata tentang hak atau diskriminasi, tetapi pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 dan standard kebangsaan.
Perbincangan sering dipengaruhi sentimen dan naratif emosi, sehingga aspek teknikal seperti mata pelajaran teras, bahasa pengantar, dan peperiksaan kebangsaan hilang fokus.
Kesimpulannya, UEC, secara asasnya, ia adalah ISU PENDIDIKAN DAN UNDANG-UNDANG NEGARA. Laluan rasmi ke IPTA dan sektor awam tetap memerlukan satu standard kebangsaan yang sama untuk semua pelajar.





