UPSR Tidak Perlu Dikembalikan

Beberapa pihak mencadangkan agar UPSR dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian akademik murid. Mereka berpendapat peperiksaan nasional dapat menilai potensi murid dan memberi arah sebelum melangkah ke pendidikan menengah. Namun, pandangan ini wajar dikaji semula.

image

Kita tidak menolak peperiksaan. Kita tidak takut kepada peperiksaan. Tetapi kita mesti berani mengakui bahawa sistem pendidikan negara pernah terlalu taksub dengan peperiksaan. Obsesi terhadap markah telah melahirkan budaya yang menilai angka lebih tinggi daripada potensi insan. Pemansuhan UPSR bukanlah kesilapan, malah ia adalah langkah berani untuk menamatkan kitaran lama yang sudah tidak relevan dengan dunia hari ini.

Dunia pendidikan kini bergerak ke arah pentaksiran autentik, yang menilai perkembangan sebenar murid, bukan sekadar jawapan yang dihafal. Kepercayaan perlu diberikan kepada guru, yang dibekalkan instrumen pentaksiran berterusan, data perkembangan murid, dan bantuan teknologi seperti kecanggihan AI untuk menilai potensi pelajar secara holistik. Pendidikan harus membina manusia seimbang, maksudnya cemerlang dalam akademik, berkemahiran, berakhlak dan bersedia menghadapi masa depan.

Teguran baginda Tuanku Sultan Perak amat tepat. Baginda menekankan bahawa sistem pendidikan yang terlalu fokus pada akademik telah mengabaikan pembinaan karakter, akhlak dan sahsiah murid. Kementerian Pendidikan telah bergerak ke hadapan, menyahut seruan ini dengan inisiatif menekankan kemahiran insaniah, literasi digital dan nilai murni.

Teguran serupa turut diangkat oleh YAB Perdana Menteri, menegaskan bahawa pendidikan mesti membina pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak tinggi dan berkemahiran. Sekolah harus menjadi ruang untuk membentuk manusia, bukan kilang peperiksaan.

Beberapa insiden kebelakangan ini, kes buli, tikam-bunuh, dan jenayah seksual dalam kalangan remaja sering dijadikan alasan bahawa sistem pendidikan gagal kerana tiadanya UPSR dan PT3. Ini tafsiran yang silap. Masalah ini bukan berpunca daripada ketiadaan peperiksaan, tetapi daripada sistem sosial dan pendidikan yang terlalu lama dan secara keterlaluan menekankan akademik tanpa mengimbangi pembangunan nilai, empati dan kesejahteraan emosi murid.

Jika ketiadaan peperiksaan menjadi punca, bagaimana pula dengan kes berkaitan kanak-kanak berumur sembilan tahun yang belum pernah menduduki UPSR? Jadi, isunya bukan peperiksaan, tetapi cara kita mentafsir pendidikan itu sendiri. Dalam era media sosial yang pantas, masyarakat mudah terpengaruh oleh naratif viral tanpa menunggu dapatan sebenar daripada pihak berkuasa.

Perubahan ke arah sistem pendidikan holistik masih muda. Kita perlu memberikan masa dan kestabilan dasar supaya pembaharuan ini berakar kuat. Pendidikan bukan makmal eksperimen politik yang diubah setiap kali menteri bertukar atau tekanan media memuncak. Anak-anak bukan tikus makmal yang kita boleh buat sesuka hati. Maka, Reformasi pendidikan mesti berasaskan kepentingan generasi masa depan, bukan kepentingan politik semasa. Kita mesti menoktahkan keputusan pendidikan berasaskan kepentingan politik sempit. Yang utama, pendidikan perlu bebas daripada cengkaman naratif politik kepartian sempit.

Semalam, 7 November 2025, Malaysia mencatat sejarah baharu apabila terpilih sebagai ahli Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025–2029, dengan undian tertinggi daripada negara-negara anggota. Ini bukan simbol semata-mata. Sebenarnya, ia pengiktirafan dunia terhadap arah tuju dan komitmen Malaysia dalam membangunkan sistem pendidikan progresif, seimbang dan berpaksikan nilai kemanusiaan. Ini bukan retorik, inilah realiti kemajuan pendidikan negara.

Perlantikan ini membuktikan bahawa langkah reformasi pendidikan yang sedang dijalankan bukan langkah ke belakang, tetapi langkah ke hadapan yang diiktiraf di pentas antarabangsa. Dunia memerhati Malaysia, dan dunia percaya kepada kemampuan kita untuk menyumbang kepada pendidikan global. Ini menegaskan bahawa pendidikan Malaysia berada di landasan yang betul dan menjadi tanggungjawab kita untuk terus memperkukuh hala tuju ini.

Oleh itu, kita perlu terus berani melangkah ke hadapan dengan gagah, namun berhati-hati, penuh kewaspadaan, dan yakin bahawa reformasi pendidikan ini adalah langkah yang tepat untuk generasi masa depan. Pendidikan bukan projek politik atau eksperimen jangka pendek. Ia adalah amanah bersama untuk membina insan seimbang, berilmu, berakhlak, dan bersedia menghadapi cabaran global.

DR

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top