Dunia sudah bercakap tentang AI. Kita pula..
Kita masih terperangkap dalam polemik yang sebenarnya tidak membawa ke mana mana, sama ada UPSR patut dikembalikan, PT3 relevan atau tidak. Ya, sebenarnya, perbahasan itu tidak membawa kita ke depan.
Masa depan pendidikan Malaysia bukan tentang peperiksaan semata-mata, tetapi tentang bagaimana kita membina pelajar yang kreatif, kritis, dan berdaya saing dalam dunia digital. Ini merupakan salah satu bidang perbahasan isu masa depan, khususnya dalam bidang pendidikan.
Saya nak bawa pembaca kepada Laporan UNESCO AI and the Future of Education (2025) yang memberi amaran dan inspirasi pada masa sama. Tetapi tanpa guru yang peduli, empati, dan beretika, AI hanyalah teknologi canggih tanpa jiwa. Dan inilah kali pertama dalam sejarah kemanusiaan, kita ada isu mesin yang bukan lagi pasif, tetapi ejen aktif, atau “aktor baharu” dalam pendidikan yang mampu mengajar, memberi maklum balas, dan berinteraksi secara emosi.
Dalam konteks ini, Malaysia menghadapi cabaran sebenar, iaitu jurang digital yang masih melebar antara bandar dan luar bandar, dan sistem penilaian yang terlalu fokus pada markah, bukan kreativiti dan pembinaan makna. Jika kita terus berpaut kepada struktur lama, AI hanya akan memperluas ketidaksamaan. Adakah sistem pendidikan Malaysia bersedia melihat AI sebagai rakan, atau sekadar teknologi yang dipaksa masuk ke bilik darjah? Atau kita terlalu letih dengan isu isu disiplin, moral dan etika, dan pilih untuk tinggalkan AI di luar pagar sekolah?
Sebaliknya, dengan Dasar Pendidikan Digital 2023, kita boleh meluaskan perbahasan kita dengan mula merancang AI sebagai rakan strategik, menyokong guru, memperluas akses, dan memupuk pembelajaran reflektif yang menghormati budaya dan bahasa tempatan.
Pelajaran penting daripada laporan ini jelas, reformasi pendidikan mesti diteruskan, berani dan berpandangan jauh. Kita tidak lagi boleh terperangkap dalam isu kecil yang tidak membawa perubahan. Kita perlu berbicara tentang agenda besar, seperti literasi digital, keadilan sosial, penilaian kreatif, dan pembangunan guru sebagai pemimpin beretika.
Masa depan bukan untuk mereka yang bertakung pada nostalgia. Masa depan pendidikan Malaysia adalah untuk pelajar yang bukan sahaja cerdas, tetapi berbudaya, beretika, dan mampu memimpin dalam dunia yang semakin kompleks. AI memberi peluang, tapi reformasi adalah kunci. Malaysia mesti melangkah ke hadapan, bukan sekadar berdiskusi tentang masa lalu.
Antara pertanyaan untuk Malaysia hari ini yang mesti kita jawab,
- Adakah kita cukup berani untuk merombak sistem penilaian lama?
- Adakah kita bersedia mengangkat literasi digital, keadilan sosial, dan kepimpinan guru beretika sebagai teras pendidikan?
- Adakah kita mahu AI menjadi pengimbang yang memperluas potensi murid, atau langsung mengabaikannya?
- Apakah modul latihan guru semasa memadai atau perlu dirombak sepenuhnya untuk menghadapi era digital dan pedagogi Bersepadu?
- Bagaimana Malaysia membangun framework AI pendidikan beretika yang menghormati hak asasi, kepelbagaian budaya, dan nilai kemanusiaan? Dan macam-macam lagi persoalan yang boleh kita tanyakan.
Masa depan pendidikan Malaysia bergantung pada jawapan kita sekarang. AI memberi peluang luar biasa, tetapi tanpa visi manusiawi dan dasar yang berani, kita akan melepaskan masa depan pelajar kita begitu sahaja. Reformasi Pendidikan bukan pilihan lagi, ia keperluan.
DR





