Ada yang berkata, “Sudahlah. Dia sudah dihukum. Maafkan sahajalah.”
Benar.
Islam mengajar kita tentang kemaafan. Tetapi, pada waktu sama, Islam juga mengajar bahawa amanah mesti dipelihara dan pengkhianatan terhadap amanah adalah dosa yang besar.
Sebab itu, isu 1MDB bukan lagi sekadar soal dosa seorang individu dengan seorang individu. Ia adalah soal amanah sebuah negara.
Beberapa hari lalu di Dewan Rakyat, satu soalan penting dikemukakan. Berapakah sebenarnya harga yang terpaksa dibayar oleh Malaysia akibat skandal 1MDB?
Menurut jawapan rasmi Menteri Kewangan, jumlah keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan kini mencecah RM51.4 bilion!!!
Tuan-tuan…
RM51.4 bilion!
Itulah harga yang terpaksa dibayar oleh negara akibat sebuah pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Namun angka itu bukan bermaksud kerajaan hanya duduk berdiam diri. Sejak tahun 2018, kerajaan bersama pelbagai agensi dalam dan luar negara telah menggandakan usaha menjejaki aset yang hilang.
Hasilnya, sehingga 31 Mei 2026, sebanyak RM31.3 bilion aset berjaya dipulihkan. Itu satu pencapaian yang besar.
Tetapi perjuangan itu masih belum selesai. Kerana walaupun aset berjaya diperoleh semula, kerajaan masih berdepan baki obligasi kewangan sebanyak RM20.1 bilion yang perlu diselesaikan.
Lebih membimbangkan, masih terdapat kira-kira RM8.9 bilion baki hutang Sukuk IMTN, merangkumi RM5.0 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah, yang hanya akan matang sehingga tahun 2039.
Ini bermakna, walaupun skandal itu berlaku lebih sedekad lalu, kesan kewangannya masih terus ditanggung sehingga hari ini.
Bayangkan begini…
Seorang murid yang baru melangkah ke Tahun Satu pada tahun 2026 akan menamatkan persekolahan Tingkatan Lima sekitar tahun 2037.
Pada ketika itu pun.. Negara masih belum selesai melunaskan komitmen hutang 1MDB. Nampak??
Itulah panjangnya kesan sebuah pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Tetapi siri kali ini saya tidak mahu bercakap tentang wang. Saya mahu bercakap tentang sesuatu yang jauh lebih mahal daripada RM51.4 bilion.
NILAI.
MARUAH.
INTEGRITI.
Kerana wang yang hilang masih boleh dicari. Tetapi apabila sesebuah bangsa kehilangan kompas moralnya…
kerugiannya jauh lebih besar.
Serius, Apa sebenarnya yang sedang kita ajar kepada anak-anak kita?
Adakah kita sedang mengajar bahawa rasuah tidak mengapa… asalkan pernah berjasa?
Adakah kita sedang mengajar bahawa merompak harta negara berbilion ringgit boleh dimaafkan… asalkan pernah membina jalan, sekolah atau memberi bantuan?
Adakah kita sedang mengajar bahawa pengkhianatan terhadap amanah rakyat bukan lagi satu dosa besar… asalkan kita menyukai orangnya? Begitu?
Kalau itulah yang kita ajarkan hari ini…
jangan hairan jika suatu hari nanti anak-anak kita pula berkata,
“Ayah… kalau saya meniru dalam peperiksaan tetapi saya tetap mendapat keputusan cemerlang… tak apa, kan?”
“Mak… kalau saya ambil duit syarikat tetapi saya gunakan sebahagiannya untuk membantu orang lain… tak apa, kan?”
Bukankah logiknya sama?
Kita tidak boleh mengajar anak-anak bahawa matlamat yang baik menghalalkan cara yang salah. Kalau hari ini kita berkata,
“Tak mengapa dia rasuah… asalkan banyak berjasa.”
Jangan marah jika esok anak kita berkata,
“Tak mengapa saya menipu… asalkan saya berjaya.”
Kerana itulah nilai yang sedang kita Wariskan. Bukan melalui buku. Bukan melalui sekolah. Tetapi melalui sikap kita sendiri.
Sebab itu, bila saya terdengar ada orang berkata, “Dia sudah dihukum. Berilah peluang kedua.”
Saya ambil sikap begini… Setiap manusia berhak berubah. Setiap manusia boleh bertaubat. Kita juga diajar supaya memaafkan.
TETAPI memaafkan seseorang tidak pernah bererti kita mengangkat pengkhianatan terhadap amanah rakyat sebagai sesuatu yang boleh diterima.
Ikutlah Nabi SAW sepenuhnya.
Baginda mengajar kita memaafkan.
Baginda juga mengajar kita menunaikan amanah dan menjauhi pengkhianatan.
Jangan ambil agama sekerat-sekerat.
Yang lebih saya bimbangkan bukan lagi jumlah RM51.4 bilion itu. Itu soal kewangan negara.
Yang lebih saya bimbangkan ialah… kita sudah mula kehilangan rasa malu terhadap rasuah. Ini jauh lebih bahaya untuk negara dan generasi masa depan.
Apabila seorang yang telah disabitkan oleh mahkamah diraikan seperti wira… Apabila pengkhianatan terhadap amanah rakyat dianggap perkara biasa… Apabila penyokong lebih mempertahankan individu daripada mempertahankan prinsip…
Ketika itulah sebuah bangsa sedang kehilangan hati nuraninya.
Negara tidak akan hancur kerana seorang perasuah. Tetapi negara boleh hancur apabila jutaan rakyat mula percaya bahawa rasuah bukan lagi sesuatu yang memalukan.
Pada hari itu…
Undang-undang tidak lagi cukup.
Mahkamah tidak lagi cukup.
SPRM juga tidak lagi cukup.
Kerana kerosakan itu bukan lagi pada sistem.
Kerosakan itu sudah masuk ke dalam pemikiran masyarakat.
Sebab itu, jika selepas mengetahui bahawa negara telah menanggung RM51.4 bilion obligasi akibat 1MDB…
Walaupun RM31.3 bilion aset berjaya dipulihkan… Kerajaan masih perlu menyelesaikan RM20.1 bilion lagi… Dan sebahagian komitmen itu hanya akan selesai sekitar 2039…
…masih ada yang memilih untuk mengangkat perasuah sebagai wira…
…maka masalah sebenar bukan lagi pada perasuah.
Masalahnya ialah kita.
Kitalah yang sedang menentukan sama ada generasi akan datang akan membenci rasuah…
…atau menganggapnya sebagai perkara biasa.
Negara tidak akan hancur pada hari wang rakyat dicuri. Tetapi, negara akan benar-benar hancur pada hari rakyat berhenti menganggap pengkhianatan terhadap amanah sebagai satu dosa.
Dan pada hari kita mengangkat seorang yang mengkhianati amanah rakyat sebagai idola…
…pada hari itulah kita sedang mengajar anak-anak bahawa integriti boleh dijual, amanah boleh dirunding dan rasuah hanyalah kesalahan biasa.
Pada saya, itulah kerugian yang jauh lebih besar daripada RM51.4 bilion. ![]()
Kerana apabila sebuah bangsa kehilangan rasa malu terhadap rasuah, yang musnah bukan sekadar ekonomi.
Yang musnah ialah jiwa bangsa itu sendiri.
DR





