Learning Habits

Bayangkan sebuah bilik darjah yang sangat teratur. Guru mengajar mengikut jadual, murid mencatat dengan tekun, latihan disiapkan, dan hampir semua berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Namun beberapa minggu kemudian, apabila ditanya semula, sebahagian besar pengetahuan itu hilang. Ini biasa berlaku? kan?

Apa yang tinggal? Yang tinggal biasanya hanyalah teknik menjawab, bukan kefahaman. Pelajar mungkin dapat menjawab soalan pentaksiran. Kita seterusnya memanggil ini “berjaya”, tetapi hakikatnya sistem itu hanya melatih murid untuk lulus, bukan untuk belajar.

Dalam konteks inilah buku Learning Habits oleh Richard Wheadon menjadi relevan, malah mencabar. Buku ini mengingatkan bahawa pembelajaran bukan sekadar penguasaan kandungan, tetapi hasil interaksi antara tiga sistem utama, iaitu belajar, berfikir dan tabiat. Ketiga-tiganya membentuk satu kitaran dinamik yang menentukan sama ada seseorang itu benar-benar menjadi pembelajar yang berdikari atau sekadar penghafal sementara.

Apabila kita bawa kerangka ini ke dalam konteks perubahan kurikulum di Malaysia, termasuk usaha ke arah Kurikulum Persekolahan 2027, penekanan kepada KBAT, serta agenda pendidikan digital, satu persoalan yang masih perlu kita jawab, adakah kita benar-benar mengubah cara murid belajar, atau sekadar menukar apa yang mereka perlu belajar?

Di atas kertas, kita berada di landasan yang betul. Naratif pendidikan negara semakin menekankan penguasaan pelbagai kemahiran, termasuk kemahiran berfikir, pembelajaran bermakna, dan pembangunan holistik. Namun dalam amalan sedia ada, sistem kita masih kuat berkiblatkan peperiksaan. Penilaian masih menjadi kompas utama. Guru diburu silibus, murid diburu markah. Sad truth yang barangkali masih menebal dan mungkin mengambil sedikit masa lagi untuk berubah sepenuhnya.

Maka, saya fikir, di sinilah kritik perlu dibuat secara jujur.

Sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan, sebenarnya secara tidak langsung merosakkan ekosistem learning–thinking–habits yang cuba dibina oleh Wheadon. Apabila fokus utama ialah jawapan yang betul dalam masa terhad, murid cenderung menggunakan fast thinking, iaitu secara heuristik, tekaan, dan hafalan. Mereka tidak dilatih untuk slow thinking, iaitu amalan menganalisis, mempertimbang, meragui, dan memperhalusi pemahaman.

Lebih membimbangkan, sistem ini tidak memberi ruang kepada pembentukan tabiat pembelajaran yang sebenar. Tabiat seperti retrieval practice, refleksi kendiri, disiplin membaca secara mendalam, atau ketahanan menghadapi “valley of disappointment” tidak sempat terbina kerana semuanya dikejar oleh tarikh peperiksaan seterusnya.

Kita akhirnya menghasilkan murid yang cekap menjawab, tetapi tidak tahan belajar. Ya. dan inilah yang biasa kita buat selama ini…

Saya berpandangan, jika kita benar-benar mahu bergerak ke hadapan, maka reformasi kurikulum tidak boleh berhenti pada dokumen atau kandungan. Ia mesti menyentuh struktur masa, autonomi guru, dan budaya bilik darjah.

Pertama, isu autonomi guru. Dalam kerangka Wheadon, pembelajaran yang berkesan memerlukan penyesuaian berterusan mengikut konteks murid, tahap kefahaman, dan dinamika kelas. Ini tidak boleh dicapai jika guru hanya menjadi pelaksana silibus yang ketat. Guru perlu diberikan ruang untuk membuat keputusan pedagogi, iaitu bila perlu memperlahankan pengajaran, bila perlu mengulang, bila perlu memberi ruang untuk murid berfikir.

Tanpa autonomi, guru tidak dapat membina thinking culture dalam kelas. Yang berlaku hanyalah “content delivery”. Sekarang, kita ada perkara ini? Jawapannya, ada. Ya, malah telah pun diberikan secara hitam putih menerusi SPI khusus pada 2023. Tetapi, daripada aspek amalan, perkara ini masih belum mengakar sepenuhnya.

Kedua, isu masa. Pembelajaran yang mendalam memerlukan masa, maksudnya, masa untuk murid bergelut dengan konsep, membuat kesilapan, membetulkan pemahaman, dan membina ‘skema’. Skema yang murid sendiri bina, bukan daripada jawapan guru. Namun realitinya, masa sering menjadi musuh. Amalan pula sering diikat dengan silibus dan jadual ketat, dan tekanan penilaian menjadikan pembelajaran satu perlumbaan, bukan proses. Pentaksiran Berasaskan Sekolah, PBS yang sepatutnya memberikan kuasa penuh kepada guru, menjadi tidak bermakna apabila kuasa hierarki bilik darjah berfalsafahkan perlumbaan, istilahnya, racing and ranking.

Dalam keadaan ini, mustahil untuk membentuk tabiat pembelajaran yang berkualiti. Tabiat tidak terbina melalui paksaan jangka pendek, tetapi melalui pengulangan yang konsisten dalam persekitaran yang stabil.

Ketiga, dan ini paling asas, iaitu kita perlu mengalihkan fokus daripada “apa yang murid capai” kepada “siapa murid itu menjadi”. Wheadon secara tersirat menekankan bahawa habit of learning bukan sekadar kemahiran, tetapi sebahagian daripada karakter. Saya bercakap soal ‘kemenjadian’ dalam konteks karakter atau tabiat seorang pelajar (learning habits).

Murid yang mempunyai tabiat belajar yang baik ialah murid yang sabar menghadapi kesukaran, jujur terhadap tahap kefahaman sendiri, berani mencabar pemikiran sendiri, dan konsisten dalam usaha walaupun tanpa ganjaran segera. Nampak? Ini bukan sekadar isu akademik. Ini isu pembentukan insan.

Dalam wacana pendidikan Malaysia hari ini, kita sering bercakap tentang “kemenjadian murid”. Namun jika kita tidak serius membina tabiat belajar (learning habits), istilah itu akan kekal sebagai slogan. Kemenjadian tidak berlaku melalui peperiksaan, tetapi melalui pembentukan karakter yang berakar pada cara seseorang itu belajar dan berfikir.

Akhirnya, buku Learning Habits memberi satu peringatan yang cukup jelas, bahawa transformasi pendidikan bukan soal kandungan, teknologi, atau intervensi baharu semata-mata. Ia tentang membina sistem dalaman dalam diri murid, iaitu bagaimana mereka memproses maklumat, bagaimana mereka membuat keputusan, dan bagaimana mereka bertindak secara konsisten.

Saya tegaskan sekali lagi. Untuk kehadapan, kita perlu keluar daripada habit yang lama. Jika kita terus terperangkap dalam sistem yang terlalu memuja peperiksaan, kita mungkin akan terus menghasilkan pelajar yang lulus pengujian yang bersifat paper-n-pencil, tetapi tidak berkembang.

Dan dalam kita merencana dan memulakan langkah baharu dalam Rencangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, tabiat ini perlu kita tinggalkan.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top