Rencana Khas: Guru Bitara, Nadi Negara

Ada istilah yang tidak lahir sekadar untuk hiasan bahasa. Istilah ini hadir kerana masyarakat memerlukan kata yang lebih tepat untuk menangkap sesuatu yang besar, halus dan mendalam. Begitulah dengan perkataan bitara. Bitara bukan sekadar bermaksud baik, apatah lagi biasa. Bitara membawa makna unggul, istimewa dan menonjol pada tahap yang tinggi.

Dalam konteks pendidikan, apabila kita menyebut guru bitara, kita tidak hanya merujuk guru yang cekap menyelesaikan tugas sehari-harian. Malahan, kita merujuk guru yang memiliki nilai tambah yang jelas, iaitu ilmu yang matang, sahsiah yang kukuh, kebijaksanaan yang tajam dan pengaruh pendidikan yang meninggalkan kesan yang panjang.

Tema “Guru Bitara, Nadi Negara” dipilih sebagai Tema Hari Guru 2026. Tema ini menjadisangat bermakna apabila kita memahami la tar waktunya. Tema ini bukan slogan yang tiba-tiba muncul untuk memeriahkan sambutan Hari Guru, kemudian berlalu tanpa jejak. Tema ini hadir dalam suasana pendidikan negara yang sedang bergerak ke satu fasa baharu, iaitu fasa yang menuntut ketelitian, kesungguhan dan kejelasan hala tuju. Di sinilah tema ini menjadi relevan. Tema ini mengangkat guru bukan sebagai pelaksana rutin semata-mata, tetapi sebagai tunjang kepada perubahan yang sedang dan akan berlaku.

Mengapakah guru layak dipandang pada martabat yang tinggi? Di sinilah hadis yang sering disebut itu menjadi sangat bermakna. Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa Allah, para malaikat, penghuni langit dan bumi, bahkan semut di dalam lubangnya dan ikan di laut, berselawat ke atas orang yang mengajarkan manusia kebaikan. Hadis ini tidak wajar dibaca secara tergesa-gesa. Hadis ini bukan sekadar pujian umum kepada orang yang mengajar. Hadis ini membawa isyarat yang lebih mendalam, bahawa kerja mengajar kebaikan itu diangkat oleh seluruh alam. Yang kecil, yang besar, yang di langit, yang di bumi, semuanya seakan-akan menjadi saksi kepada kemuliaan tugas itu.

Maknanya jelas. Guru bukan hanya penting dalam susunan organisasi sekolah. Guru punya darjat yang tinggi dalam susunan kemanusiaan. Dalam bahasa yang lebih lembut, kita boleh menyebutnya sebagai karamah insaniah seorang guru. Karamah di sini bukan dalam erti luar biasa yang mistik, tetapi dalam makna kemuliaan manusia yang diangkat oleh amanah ilmu dan tanggungjawab mendidik.

Guru yang mengajar kebaikan bukan sekadar menyampaikan fakta bagi menghabiskan sukatan pelajaran untuk peperiksaan, hakikatnya dia sedang memindahkan nilai, membentuk watak dan menyuburkan manusia. Oleh sebab itu, martabat dan harakat guru tidak boleh dikecilkan menjadi kerja pejabat, kerja waktu atau tugasan teknikal semata-mata. Profesion keguruan juga tidak wajar dilihat sebagai profesion biasa.

Dapatkan artikel penuh Rencana Khas: Guru Bitara, Nadi Negara ini di majalah Pelita Bahasa edisi Mei 2026 keluaran Dewan Bahasa & Pustaka.

Langgan secara muat turun format PDF melalui https://jendeladbp.my/ujana/pelita-bahasa-mei-2026/

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top