Ada kenyataan penting daripada YBM Pendidikan dua tiga hari lepas. Tapi, saya lihat, tidak banyak atau sangat sedikit yang menyahut dan menyambut… iaitu tentang pendidikan kepada anak-anak tanpa dokumen dan pelarian.
Mungkin kerana ia tidak sensasi. Mungkin juga kerana isu ini sering kita anggap “pinggiran”. Tetapi kalau kita benar-benar memahami maksud di sebalik kenyataan itu, kita akan sedar, ini bukan perkara kecil. Ini adalah satu pernyataan komitmen. Komitmen kemanusiaan.
Dalam realiti Malaysia hari ini, anak-anak pelarian dan tanpa dokumen memang wujud di sekitar kita. Mereka membesar di sini, tetapi tidak benar-benar berada dalam sistem pendidikan formal. Sebahagian besar bergantung kepada pusat pembelajaran komuniti dan pusat pendidikan alternatif (ALC) yang digerakkan oleh NGO, masyarakat sivil, serta sokongan daripada UNHCR.
Namun dalam masa yang sama, kita juga bukan negara yang kosong pengalaman. Sistem kita sudah mempunyai ruang tertentu untuk kelompok rentan. SBJK, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih adalah contoh bagaimana negara membuka laluan kedua kepada kanak-kanak yang tercicir untuk kembali mendapat pendidikan. Ini menunjukkan bahawa pendekatan inklusif bukan sesuatu yang asing dalam sistem kita, cuma ia belum diperluas kepada semua kategori.
Di sinilah isu ini menjadi lebih kompleks daripada sekadar buat, melepaskan batok di tangga atau benar-benar melakukan perubahan.
Mengangkat pendidikan untuk anak-anak pelarian bukan sekadar soal belas ihsan. Ia melibatkan persoalan dasar, kerana kedudukan mereka dalam kerangka undang-undang negara masih belum jelas sepenuhnya. Ia melibatkan kapasiti sistem, kerana sekolah kita sendiri sedang berdepan cabaran sedia ada. Dan ia juga menyentuh sensitiviti masyarakat, kerana akan ada persoalan tentang keutamaan dan keadilan.
Sebab itu apabila Kementerian merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi lain, ia memberi gambaran bahawa perkara ini tidak dilihat secara sempit. Ia memerlukan pendekatan seluruh kerajaan, melibatkan pendidikan, keselamatan, kebajikan dan pengurusan sosial secara serentak. Semua ini istilahnya, ‘tricky’. Banyak cabaran bersifat kemungkinan dan andaian…
Namun di sebalik semua cabaran ini, kita tidak boleh menafikan satu perkara asas. Seorang kanak-kanak tetap seorang kanak-kanak. Dia tidak memilih untuk lahir tanpa dokumen. Dia tidak memilih untuk menjadi pelarian. Tetapi masa depannya sangat ditentukan oleh satu perkara, sama ada dia diberi peluang untuk belajar atau tidak. Tahukah kita, seseorang pelarian tidak akan dipanggil pelarian jika dia sanggup dan rela meninggalkan negara mereka? Dia lari, semata-mata hanya untuk menjaga nyawa.
Di sinilah kita perlu lebih matang sebagai masyarakat. Bukan dengan menolak kerana ia sukar, dan bukan juga menerima secara membuta tuli. Tetapi dengan membuka ruang perbincangan yang jujur, bagaimana kita boleh melaksanakan idea ini, idea pendidikan untuk anak-anak ini secara berperingkat, tersusun dan tidak menjejaskan sistem sedia ada.
Dalam konteks ini, wajar untuk kita mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan juga Kerajaan MADANI. Bukan kerana semuanya sudah selesai, tetapi kerana keberanian untuk membuka ruang ini.
Kerana perubahan besar selalunya tidak bermula dengan pelaksanaan yang sempurna. Ia bermula dengan keberanian untuk menyebut sesuatu yang sebelum ini tidak disebut.
Dan akhirnya, persoalan ini kembali kepada kita semua. Adakah kita benar-benar percaya bahawa pendidikan itu hak sejagat? Benar-benar percaya? Soalkan diri kita sendiri betul-betul.
Jika ya, maka perbincangan ini tidak boleh kita elakkan. Ia mesti kita hadapi dengan rasional, dengan empati, dan dengan kesediaan untuk mencari jalan.
Kerana masa depan pendidikan tidak hanya ditentukan oleh siapa yang berada dalam sistem, tetapi juga oleh siapa yang kita pilih untuk tidak kita tinggalkan.
DR





