Hikmah di Sebalik Perjanjian Berat Sebelah

Belajar daripada Peristiwa Hudaibiyah, Hikmah di Sebalik Perjanjian Berat Sebelah.

Dalam sejarah sirah Nabi Muhammad SAW, kita mengenali satu peristiwa besar yang disebut sebagai Perjanjian Hudaibiyah. Ia berlaku pada tahun keenam Hijrah apabila Nabi SAW bersama rombongan para sahabat menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah. Namun, perjalanan itu terhalang oleh Quraisy yang tidak membenarkan umat Islam masuk ke Makkah.

Akhirnya, wakil Quraisy yang bernama Suhail bin Amru hadir untuk berunding. Perjanjian yang dimeterai sangat berat sebelah, antaranya umat Islam tidak dibenarkan mengerjakan umrah tahun itu, sebaliknya perlu pulang ke Madinah, dan beberapa syarat lain yang tampak merugikan umat Islam.

Bantahan Sayyidina Umar

Ketika itu, Sayidina Umar al-Khattab RA membantah keras kerana beliau tidak dapat menerima kelemahan yang tampak nyata pada umat Islam. Namun, Nabi SAW menenangkan para sahabat dengan penuh hikmah.

Baginda SAW melihat jauh ke hadapan bahawa perdamaian sementara dengan Quraisy akan membuka ruang dakwah lebih luas kepada kabilah-kabilah Arab yang lain, tanpa dihalang oleh ketegangan peperangan dengan Quraisy.

Ternyata, strategi damai itu membuahkan hasil. Dalam masa dua tahun, Islam berkembang pesat di seluruh Semenanjung Arab. Apabila Quraisy akhirnya melanggar perjanjian, Nabi SAW kembali dengan 10,000 tentera dan memasuki Makkah tanpa pertumpahan darah, peristiwa yang kita kenali sebagai Fathul Makkah.

Berdamai Bukan Bererti Tunduk

Perjanjian Hudaibiyah mengajar kita bahawa menerima kehadiran musuh dalam rundingan tidak bererti mengiktiraf kezaliman mereka. Sebaliknya, ia membuka pintu diplomasi dan strategi untuk tujuan lebih besar iaitu kemenangan Islam dan penyebaran risalah tauhid.

Nabi SAW tidak “bersahabat” dengan Suhail bin Amru, tetapi menerima keberadaannya di meja rundingan kerana itu saluran yang wujud untuk mencapai kepentingan strategik umat.

Apa yang Kita Belajar?

Daripada sirah ini, kita belajar bahawa diplomasi kadangkala menuntut kita menelan kepahitan jangka pendek demi membuka ruang kemenangan jangka panjang. Sama seperti Nabi SAW menerima kehadiran Suhail bin Amru di Hudaibiyah, pemimpin hari ini juga mungkin perlu menerima kehadiran tokoh dunia yang kontroversial untuk membuka jalan perundingan yang lebih besar.

Tujuannya bukan tunduk atau bersahabat dengan penzalim, tetapi untuk menggunakan peluang strategik demi membela mereka yang tertindas, sebagaimana umat Islam ketika itu akhirnya berjaya membuka Makkah secara damai.

Dr. Radin Muhd Imaduddin

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top