Dalam perjalanan panjang membina masyarakat berilmu dan berakhlak, kita sering terperangkap dalam satu kekeliruan besar, seolah-olah pendidikan hanyalah soal penyampaian ilmu, bukan pembinaan insan. Hakikatnya, pesan yang sering diulang oleh Allahyarham Dr. Abd Halim El-Muhammady untuk mengukuhkan tarbiyyah, serta jangan lelah dalam usaha dakwah, sebenarnya adalah falsafah besar yang sangat relevan untuk difahami dalam kerangka pendidikan arus hari ini, khususnya dalam pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang mengangkat agenda kemenjadian insan sejahtera.
Tarbiyyah, dalam pengertian yang sebenar, bukan sekadar pendidikan formal yang berpusat pada kurikulum dan peperiksaan. Ia adalah proses pembinaan manusia secara menyeluruh, iaitu menguatkan akidah, membentuk akhlak, menyucikan jiwa dan menajamkan fikrah.
Dalam bahasa pendidikan kontemporari, inilah yang kita sebut sebagai pembentukan karakter dan nilai. Maka, apabila sistem pendidikan hari ini menekankan ciri utama insan sejahtera sebagai beradab, ia sebenarnya sedang kembali kepada asas yang telah lama ditegaskan dalam tradisi tarbiyyah.
Adab bukan sekadar kesantunan luaran, tetapi disiplin dalaman yang mengatur hubungan manusia dengan ilmu, dengan guru, dengan masyarakat, dengan alam, dan dengan Tuhan. Tanpa adab, ilmu boleh menjadi alat yang merosakkan.
Justeru, penekanan kepada pembentukan karakter dalam kurikulum persekolahan 2027 bukan satu tambahan kosmetik, tetapi satu pembetulan arah yang amat diperlukan. Ia menandakan kesedaran bahawa kecemerlangan akademik semata-mata tidak memadai untuk melahirkan manusia yang seimbang.
Namun, pada mana-mana perancangan dasar, cabaran sebenar bukan pada dasar itu, tetapi pada pelaksanaan. Kita pun maklum, sistem pendidikan kita terlalu lama terikat dengan budaya pencapaian segera, gred, ranking, dan keputusan peperiksaan biasanya menjadi ukuran utama kejayaan. Dalam suasana ini, pembinaan adab dan karakter sering terpinggir kerana ia tidak mudah diukur.
Di sinilah pesan Allahyarham menjadi kritikal, iaitu untuk kukuhkan dalaman sebelum mengejar luaran. Jika asas ini diabaikan, maka segala pencapaian akademik tidak akan mampu menjamin kemenjadian insan yang sebenar.
Lebih menarik, Allahyarham berpesan, “jangan mudah lelah”, hakikatnya selari dengan roh Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri yang menegaskan bahawa “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha BERTERUSAN…”. Frasa ini bukan sekadar retorik dasar, tetapi satu prinsip asas yang menuntut kesabaran dan ketekunan dalam membina manusia.
Pembentukan adab dan karakter tidak berlaku dalam tempoh singkat. Ia tidak boleh dicapai melalui satu program, satu kursus, atau satu peperiksaan. Ia adalah hasil daripada usaha berterusan yang menuntut pengulangan, konsistensi dan kesungguhan, daripada guru, sekolah dan keseluruhan sistem.
Maka, “jangan mudah lelah” dalam konteks ini bukan sekadar seruan emosi, tetapi satu disiplin pendidikan. Guru tidak boleh cepat berputus asa apabila murid tidak berubah serta-merta. Sekolah tidak boleh mengalah kepada tekanan jangka pendek sehingga mengabaikan matlamat jangka panjang.
Hakikatnya, keletihan dalam pendidikan sering berpunca daripada jangkaan yang tidak selari dengan realiti. Kita mahukan perubahan segera, sedangkan pendidikan adalah proses yang perlahan dan berlapis. Kita mahukan hasil yang boleh diukur dengan cepat, sedangkan nilai dan adab terbentuk secara halus dan beransur. Di sinilah pentingnya memahami bahawa pendidikan, seperti dakwah, adalah perjalanan jangka panjang yang menuntut istiqamah.
Dalam masa yang sama, tarbiyyah juga berfungsi membina keikhlasan dalam pendidikan. Jika dalam dakwah terdapat risiko riya’ dan pencitraan, dalam pendidikan pula kita berhadapan dengan budaya mengejar KPI, ranking dan statistik. Tanpa asas nilai yang kukuh, pendidikan boleh kehilangan tujuan asalnya. Maka, pendidik perlu kembali kepada niat asas, iaitu mendidik untuk membentuk manusia, bukan sekadar menghasilkan angka.
Lebih daripada itu, pendekatan dalam mendidik juga perlu berasaskan hikmah dan kebijaksanaan. Dalam masyarakat yang rencam, pendekatan keras dan menghukum tidak lagi berkesan. Pendidikan memerlukan sentuhan insani, empati, kelembutan dan kefahaman konteks. Ini selari dengan prinsip dakwah yang menekankan hikmah sebagai pendekatan utama.
Akhirnya, jika kita benar-benar serius dengan agenda kemenjadian insan sejahtera, maka kita perlu melakukan anjakan yang lebih mendasar, daripada “mengajar untuk lulus” kepada “mendidik untuk menjadi manusia”. Ini bukan perubahan kecil, tetapi perubahan paradigma. Ia menuntut keberanian dasar, kesabaran pelaksanaan, dan kefahaman mendalam tentang makna pendidikan itu sendiri.
Pesan Allahyarham Dr. Abd Halim El-Muhammady, dalam konteks ini, bukan sekadar nasihat kepada pendakwah, tetapi panduan strategik kepada sistem pendidikan negara. Kukuhkan tarbiyyah, kerana di situlah lahirnya adab. Jangan mudah lelah, kerana pendidikan, seperti dakwah, adalah usaha berterusan yang tidak pernah selesai.
DR




