Bila kita bercakap tentang kualiti guru, biasanya fokus kita pada ilmu, pedagogi dan nilai. Itu semua memang teras. Tapi ada satu perkara asas yang selalu terlepas pandang, sedangkan kesannya besar, iaitu kesihatan fizikal guru. Ini bukan cerita pasal rupa. Bukan soal cantik atau kursus. Bukan juga soal IQ, EQ, atau siapa layak siapa tidak. Ini cerita tentang satu perkara mudah, bahawa guru jadi lebih baik bila mereka sihat.
Secara umum, kesihatan sering diukur melalui BMI. BMI ideal berada antara 18.5 hingga 24.9, iaitu tahap paling rendah risiko dari sudut kesihatan. Itu keadaan paling baik. Tetapi kita juga realistik. Dalam dunia sebenar, tidak semua orang berada pada tahap ideal. Sistem pendidikan faham perkara ini. Sebab itu fokusnya bukan pada kesempurnaan, tetapi pada keupayaan untuk berfungsi dengan baik setiap hari.
Hakikatnya, kerja cikgu bukan kerja pasif.
Cikgu bukan duduk sepanjang masa. Cikgu berdiri lama di dalam kelas. Bergerak dari satu bilik darjah ke bilik darjah lain. Naik turun tiga, empat tingkat sehari. Urus murid yang aktif dan pelbagai Ragam. Terlibat pula dengan kokurikulum, program sekolah, mesyuarat, urusan ibu bapa dan komuniti.
Semua ini guna tenaga, guna badan, dan guna emosi. Bila badan sihat, tumpuan jadi lebih baik. Emosi lebih stabil. Interaksi dengan murid pun lebih positif. Sebab itu kecergasan penting. Guru yang sihat biasanya lebih konsisten hadir ke sekolah, kurang keletihan fizikal dan emosi, lebih fokus semasa mengajar dan mampu bertahan lebih lama dalam profesion
Data kita juga jelas. Antara SEBAB UTAMA guru bersara awal ialah faktor kesihatan fizikal. Setiap tahun, negara kehilangan kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang guru senior berumur 50 hingga 59 tahun, kebanyakannya kerana masalah kesihatan fizikal. Bila fizikal mula uzur, keletihan mental pun menyusul, dan akhirnya produktiviti harian terjejas. Kesan ini bukan hanya dirasai oleh guru, tetapi juga oleh murid dan keseluruhan ekosistem sekolah.
Di sinilah datangnya perbincangan tentang BMI 35. Kita kena jelas dari awal, BMI 35 bukan BMI ideal. Ia jauh daripada ideal. Malah, BMI 30 ke atas sudah dikategorikan sebagai obes, dan BMI 35 berada dalam kelas obesiti tahap dua. Tetapi dari sudut fungsi kerja, BMI 35 masih dalam julat seseorang guru boleh berfungsi dengan baik. Masih boleh bergerak aktif. Masih boleh melaksanakan tugas harian tanpa sekatan serius.
Atas sebab itulah, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menetapkan BMI 35 sebagai had maksimum untuk kemasukan ke profesion keguruan. Maksudnya jelas, iaitu BMI 35 dan ke bawah. Ini bukan kompromi longgar, tetapi pendekatan realistik yang mengambil kira realiti kehidupan, sambil menjaga keperluan fungsi kerja jangka panjang. Itu pun ramai yang tak lepas peringkat ini.
Apabila BMI meningkat jauh melepasi tahap ini, risiko kesihatan seperti penyakit tidak berjangkit, masalah sendi dan keletihan kronik meningkat dengan ketara. Ini bukan sekadar angka dalam laporan kesihatan. Ia memberi kesan langsung kepada kualiti kerja dan kesejahteraan jangka panjang seorang guru. Jadi, memberi perhatian kepada kesihatan sejak awal sebenarnya adalah satu bentuk penjagaan profesion, bukan sekatan.
Lebih penting, guru yang menjaga kesihatan menghantar mesej yang kuat kepada murid. Murid belajar bukan hanya daripada apa yang diajar, tetapi daripada apa yang mereka lihat setiap hari. Bila guru menunjukkan disiplin menjaga diri, murid belajar tentang tanggungjawab, keseimbangan hidup dan menghargai kesihatan. Pendidikan jadi lebih hidup, lebih tulen, dan lebih bermakna.
Akhirnya, bercakap tentang kesihatan guru bukan soal mencari salah atau menyalahkan sesiapa. Ia tanda sistem yang matang dan berfikir jauh ke hadapan. Pendidikan ialah amanah jangka panjang. Kalau kita mahu guru berkhidmat dengan baik sepanjang kerjaya mereka, kesihatan mesti dilihat sebagai aset, bukan isu.
Percayalah, guru yang sihat menjadikan pendidikan kita lebih baik.
DR





