Membaca Isyarat Keputusan SPM 2025

SPM 2025 perlu dibaca dalam kerangka yang lebih besar, bukan sekadar angka tahunan. Ini ialah kohort pertama yang melalui keseluruhan sistem tanpa UPSR dan PT3, dan menariknya, data menunjukkan sistem tidak runtuh, malah semakin stabil.

Dalam konteks makro, ada tiga isyarat penting yang kini semakin jelas.

Pertama, generasi ini ialah generasi pasca pemansuhan PPSMI dan pra pelaksanaan DLP iaitu generasi SPM 2023, 2024 & 2025, di mana mereka menggunakan bahasa Melayu dalam pembelajaran bagi Sains dan Matematik. Dan jelas sekali, tidak melemahkan pencapaian mereka. Sebaliknya, ia menyokong kefahaman dan pemikiran aras tinggi. Ini dapat dilihat secara tidak langsung melalui kestabilan prestasi keseluruhan seperti peningkatan GPK kepada 4.42 serta pengukuhan kumpulan pertengahan (23.76% kepujian).

Kedua, ketiadaan peperiksaan awam di peringkat rendah dan menengah rendah tidak menjejaskan prestasi di hujung sistem. Kohort ini membuktikan bahawa murid masih mampu bertahan dan berfungsi dalam SPM, malah dengan pola pencapaian yang lebih seimbang, bukan terlalu tertumpu kepada kelompok elit semata-mata. Sekaligus menolak andaian popular sebelum ini yang menyatakan ketiadaan UPSR dan PT3 akan melemahkan murid-murid. Jelas andaian itu boleh dilupakan.

Ketiga, pendekatan kurikulum berasaskan standard melalui KSSR dan KSSM, dengan penekanan kepada KBAT telah menunjukkan kesan sebenar. Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kategori tertentu, secara keseluruhan Gred Purata Kebangsaan terus membaik dan kualiti pembelajaran semakin konsisten dari tahun ke tahun, malah terbaik sejak format baharu diperkenalkan, serta terbaik sejak formula KBAT 50% digunakan sejak 2021.

Jika itu kerangkanya, data SPM 2025 memberi pengesahan yang lebih konkrit.

Pertama, ini jelas generasi tanpa UPSR dan PT3, dan data menunjukkan mereka tidak tercicir, malah stabil dari segi asas pencapaian.

Kedua, ini juga generasi pasca pandemik. Trajektori sejak 2020 menunjukkan sistem bukan sahaja pulih, tetapi semakin tersusun dan terkawal. Tidak keterlaluan kita boleh katakan bahawa daya tahan generasi ini tinggi ketimbang pelbagai cabaran sejak COVID-19.

Ketiga, indikator paling jujur, dan saya fikir perlu diberikan perhatian, iaitu kehadiran calon menunjukkan perubahan struktur yang nyata.

  • 2020: 19,601 orang
  • 2021: 10,681 orang
  • 2022: 14,858 orang
  • 2023: 10,160 orang
  • 2024: 8,108 orang
  • 2025: 7,099 orang

Tuan-tuan lihat lah. Daripada hampir 20 ribu pada 2020 menurun secara signifikan kepada sekitar 7 ribu. Jelas menunjukkan bahawa ini bukan turun biasa. Ini tanda intervensi benar-benar berfungsi di lapangan.

Keempat, kumpulan paling tercicir semakin mengecil. Calon yang gagal semua subjek menurun kepada 1,631 (0.42%), berbanding 1,789 (0.47%). Ingat ye, calon SPM 2025 lebih ramai ketimbang calon 2024. Maknanya, kita dapat selamatkan lebih ramai anak-anak kita.

Kelima, kategori gagal sekurang-kurangnya satu mata pelajaran juga menurun daripada 30.67% kepada 30.59%. Walaupun peratusannya atau pergerakan kecil, tetapi konsisten.

Keenam, kumpulan pertengahan semakin mengukuh. 92,347 calon (23.76%) mencapai sekurang-kurangnya kepujian. Ini bukan angka biasa, ini asas kekuatan sistem pendidikan. Hal ini, kita perlu berikan kredit kepada amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang sebenarnya mengangkat kelompok pertengahan.

Ketujuh, kadar lulus pula meningkat kepada 141,728 calon (36.47%), menunjukkan lebih ramai berada dalam zon kompeten. Adakah ini suatu kebetulan? Tidak. Ini bukan suatu kebetulan. Ini adalah implikasi berjangka panjang PBD dalam mengukuhkan asas pembelajaran anak-anak.

Kelapan , GPK 4.42 mengukuhkan trend peningkatan nasional yang konsisten sejak sekurang-kurangnya enam tahun kebelakangan. Walaupun secara peribadi, saya berpandangan angka 4.xx bukanlah suatu gred yang boleh terlalu dibanggakan, namun secara umumnya, peningkatan secara berterusan ini wajar diberikan kredit.

Kesembilan, jurang bandar–luar bandar secara konsisten juga semakin mengecil, dan kali ini kepada 0.04 mata (0.45 → 0.41). Ini menunjukkan peningkatan berlaku secara lebih adil, bukan tertumpu kepada kawasan tertentu. Istilahnya, akses dan pendidikan bermutu berterusan.

Kesepuluh, dan akhirnya, kita juga perlu jujur. Bilangan calon semua A (A+, A, A-) menurun sedikit daripada 3.65% kepada 3.55%. Ini memberi isyarat bacaan bahawa sistem ketika ini lebih berjaya mengangkat keseluruhan asas berbanding melonjakkan kelompok paling atas. Walau bagaimanapun, kita perlu insafi, bahawa itu bukan kelemahan. Itu pilihan kita, iaitu sebolehnya kita mengangkat kesemua dan kelompok terbanyak.

Kesimpulannya, bila semua data ini dibaca secara menyeluruh, gambaran besarnya jelas.

SPM 2025 bukan sekadar keputusan peperiksaan.

Ia adalah bukti bahawa kita perlu percaya kepada proses pembelajaran. Trust the process. Trust the teachers. Trust the struggles and efforts from every single of us for our children. Percayalah, kita semua sayangkan pendidikan negara. Maka, Ayuh, kita teruskan dengan melonjakkan lagi sistem pendidikan kita menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang telah pun diluncurkan.

DR

image

image
image
image

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top