Dalam membicarakan soal pendidikan, masyarakat awam sering terperangkap dalam satu simplifikasi yang berbahaya, seolah-olah sesiapa yang “tahu” sesuatu, secara automatik mampu “mengajar” sesuatu. Tak betul tu..
Saya berikan analogi begini. Kita tidak akan menerima seorang doktor yang terus merawat pesakit tanpa latihan klinikal yang mencukupi. Kita juga tidak akan membenarkan seorang jurutera membina jambatan hanya bersandarkan teori semata-mata. Tetapi dalam pendidikan, kita kadang-kadang terlalu cepat meremehkan pedagogi, seolah-olah sesiapa sahaja yang ada ijazah boleh masuk kelas dan mengajar.
Hakikatnya, ilmu kedoktoran, Kejuruteraan, atau apa sahaja bidang profesional, teknikal, mahupun kemanusiaan, ilmu pendidikan merupakan suatu bidang profesional yang berbeza. Maksudnya, tidak semua doktor boleh mengajar. Tidak semua jurutera boleh mengajar. Dan tidak semua profesional mampu menjadi guru. Dengan kata lain, Ilmu keguruan wajib menyempurnakan ilmu pedagogi.
Saya mulakan dengan tiga mesej ini dalam dapatan kajian TALIS 2026, berkaitan pengetahuan dan kemahiran guru dalam pedagogi serta perkaitannya dalam keberhasilan pendidikan.
Pertama, mengajar adalah profesion berasaskan pengetahuan, bukan sekadar pengalaman, General pedagogical Knowledge, GPK diiktiraf sebagai pengetahuan khusus yang membezakan guru daripada profesional lain.
Kedua, latihan dan pembangunan profesional bukan pilihan, dalam beberapa sistem seperti Shanghai, majoriti guru mengakui latihan memberi impak langsung kepada amalan pengajaran mereka.
Ketiga, cabaran guru semakin kompleks, di mana guru kini berdepan tekanan kerja, tuntutan emosi, dan keperluan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu seperti AI.
Di sinilah pentingnya kita memahami GPK sebagai asas kepada profesion keguruan. Laporan OECD TALIS 2026 melalui Teacher Knowledge Survey (TKS) menunjukkan bahawa GPK bukan sekadar teori, tetapi mempunyai kaitan yang kuat dengan keberhasilan murid. Dalam analisis rentas negara, terdapat hubungan yang hampir linear antara tahap GPK guru dengan pencapaian murid dalam PISA.
Lebih daripada itu, kesannya dapat dilihat secara langsung dalam bilik darjah. Di beberapa negara seperti Morocco dan Arab Saudi, peningkatan tahap GPK dikaitkan dengan peningkatan sehingga 16% hingga 22% masa kelas digunakan untuk pengajaran sebenar, bukan sekadar mengawal disiplin.
Apa maksudnya dalam bahasa mudah?
Bayangkan satu waktu pengajaran 60 minit. Guru yang kurang menguasai pedagogi mungkin kehilangan banyak masa untuk menenangkan kelas, mengulang arahan, atau mengurus kekeliruan murid. Akhirnya, hanya sebahagian masa benar-benar digunakan untuk belajar. Tetapi guru yang mempunyai GPK yang baik tahu bagaimana menetapkan rutin, memberi arahan jelas, dan mengawal kelas dengan cekap. Hasilnya, daripada 60 minit itu, mungkin tambahan 10 hingga 13 minit lagi benar-benar digunakan untuk pembelajaran.
Nampak kecil, tetapi inilah beza antara kelas yang “sibuk” dengan kelas yang benar-benar “belajar”.
Ini memberi gambaran jelas, bahawa pedagogi menentukan kualiti masa pembelajaran.
Dapatan TALIS ini memberikan satu hujah yang penting. Isu utama bukan sekadar kecukupan guru, tetapi sejauh mana guru benar-benar bersedia dari sudut pedagogi. Namun dalam realiti semasa, termasuk di Malaysia, kita sedang melalui satu fasa peralihan. Pendekatan seperti Contract of Service (COS) diperkenalkan bagi mengisi kekosongan guru dengan segera. Maksudnya, mereka yang telah mempunyai ijazah pertama, daripada pelbagai bidang profesional, teknikal dan kemanusiaan, memasuki sistem pendidikan, mengajar di sekolah tanpa mempunyai pengetahuan pedagogi. Dari sudut dasar, ini adalah keperluan. Tetapi dari sudut profesionalisme, ia membawa satu cabaran yang perlu kita hadapi dengan matang.
Maksudnya sejak beberapa tahun sebelum ini, guru baharu masuk ke bilik darjah dengan berbekalkan content knowledge mereka sahaja, ya, mereka tahu tentang subjek tertentu untuk mengajar mata pelajaran tertentu. Tetapi dalam tempoh awal, mereka mungkin belum menguasai GPK, memandangkan proses pembelajaran bagi mendapatkan diploma pendidikan diberikan tempoh sehingga tiga tahun, dengan mengikuti kelas dalam hujung minggu dan cuti persekolahan.
Maka, kita sedang dan akan terus melihat situasi di mana guru masih belajar memahami cara merancang pengajaran, mengurus kelas, menilai pembelajaran, dan menyesuaikan pendekatan dengan keperluan murid. Yang masih tak faham sistem persekolahan, sistem urus tadbir KPM JPN PPD, malah dokumen dokumen rujukan penting pun masih banyak berlaku.
Di sinilah guru-guru sendiri perlu melihat dengan lebih adil. Sebab itu lah, kita perlu luruskan kefahaman asas kita. Latihan bukan beban. Ia adalah keperluan profesional. Apa buktinya? Dapatan TALIS TKS mendapati, guru dengan GPK lebih tinggi melaporkan tahap stres yang lebih rendah dalam sekurang-kurangnya separuh negara peserta, merangkumi termasuk beban kerja dan tuntutan profesional.
Kita juga perlu meluruskan persepsi terhadap perubahan sistem latihan. Pengumuman pemansuhan SPLKPM mulai tahun ini bukan dengan premis pendirian atau bermaksud latihan tidak lagi penting. Sebaliknya, ia adalah usaha menambah baik sistem yang sebelum ini membebankan dan kurang efisien. Fungsi latihan itu sendiri tidak hilang, pelaporan latihan kini dipindahkan kepada sistem yang lebih tersusun melalui HRMIS, selari dengan amalan penjawat awam yang lain.
Hari ini, keperluannya jelas, 40 jam latihan setahun tetap perlu dipenuhi, tetapi tanpa kerumitan sistem lama. Ini bukan soal dokumentasi semata-mata, tetapi soal komitmen terhadap pembangunan profesional berterusan.
Dan kita perlu jujur, bahawasanya dalam pendidikan, tiada siapa yang “sudah lengkap”.
Guru muda mungkin lebih terdedah kepada teknologi baharu seperti AI dan inovasi digital. Tetapi guru senior pula mempunyai kekuatan dalam aspek yang lebih mendalam, seperti pengurusan kelas, jaringan luas dalam sektor pendidikan dan kebijaksanaan membuat keputusan dalam situasi kompleks. Di sinilah sebenarnya kekuatan sebenar profesion keguruan, iaitu saling melengkapi, bukan saling mengatasi.
Laporan OECD juga menunjukkan bahawa guru yang aktif berkolaborasi dan berkongsi amalan dengan rakan sejawat cenderung mempunyai tahap GPK yang lebih tinggi. Ini memberi mesej penting, iaitu pembangunan profesional bukan sekadar kursus, tetapi juga perlu menjadi budaya.
Akhirnya, kita perlu kembali kepada prinsip asas, bahawa pendidikan adalah profesion berasaskan pengetahuan. Ia memerlukan latihan, refleksi, dan pembaharuan yang berterusan. Bukan kerana guru tidak cukup baik. Tetapi kerana dunia pendidikan sentiasa berubah, dan guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah bersama.
DR
Nota kaki:
Malaysia tidak terlibat dan menyertai kajian TALIS Teacher Knowledge Survey ini. Namun, dapatan daripada negara-negara yang terlibat memberikan gambaran empirik yang boleh dijadikan rujukan dan cerminan. Cabaran sebenar adalah bagaimana kita menyesuaikan pengajaran daripada dapatan global ini dengan konteks tempatan, budaya sekolah, dasar pendidikan, dan realiti bilik darjah di Malaysia.





