Murid Cuci Tandas

Isu pelajar cuci tandas ni, kalau kita tengok sekali imbas, nampak macam isu kecil. Tapi sebenarnya, dia buka satu soalan besar, kita nak didik anak-anak jadi apa sebenarnya? Nak anak sekadar pandai jawab soalan, atau betul-betul nak anak jadi manusia, jadi ‘orang’?

Sebab kalau kita rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tujuan pendidikan tu jelas. Nak lahirkan insan seimbang. Bukan sekadar A dalam exam, tapi ada adab, ada tanggungjawab, ada jati diri. Tapi jujur lah, lama dah kita lari dari landasan tu. Kita terlalu fokus exam, sampai benda asas macam pembentukan karakter jadi nombor dua… atau kadang-kadang hilang terus.

Kalau kita yang membesar era 70-an, 80-an, 90-an, kita tahu benda ni bukan benda baru. Dulu kita kutip sampah, kita bersihkan kelas, ada sekolah sampai tahap cuci tandas. Kita buat je. Tak ada isu pun. Tak ada siapa rasa hina. Tapi bila masuk hujung 90-an, sistem kita mula berubah. Semua nak kejar keputusan. Sekolah dinilai ikut result. Guru dinilai ikut result. Ibu bapa pun tekan result. Maka perlahan-lahan, benda-benda yang tak masuk exam… kita buang.

Hari ini, bila kita cuba bawa balik melalui modul Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027, terus jadi polemik. Yang menariknya, bila tengok Jepun, kita kagum. “Hebatnya anak Jepun, bersih, disiplin.” Kita share video, kita puji. Padahal mereka buat benda yang sama melalui budaya Osoji, iaitu murid cuci kelas, cuci tandas, jaga sekolah.

Tapi bila kita buat dekat sini?

Ni komen-komen yang kita terima.

“KPM jamban.”

“Tak sanggup anak aku buat kerja macam tu.”

Nampak tak konflik kita? Kita nak hasil, tapi kita tak nak anak-anak lalui proses pendidikan.

Tahukah kita, sebenarnya, anak-anak sebenarnya tak ada masalah pun. Mereka ni tulus. Kalau suruh buat secara betul, dengan kawan-kawan, mereka okay je. Kadang siap enjoy lagi. Yang jadi masalah ni… orang dewasa. Kita yang over-interpret. Kita yang inject emosi. Kita yang politicize benda yang sepatutnya simple.

Dan sekarang ni, kita berdepan satu lagi cabaran, iaitu kontradiksi nilai yang semakin jelas. Benda yang negatif diangkat, benda yang baik dipersoalkan. Ikut arus politik kepartian yang sempit. Maka, naratif jadi terbalik. Jadi, kalau kita terus ikut arus pentaksuban politik, kita akan hanyut. Akhirnya, apa pun dasar pendidikan akan dilihat dari lensa emosi, bukan rasional.

Sebab itu, dalam soal pendidikan, ada batasnya. Kita boleh beri pandangan, tapi kita juga perlu tahu di mana perlu percaya kepada kepakaran. Serahkan kepada orang pendidikan untuk merangka dan melaksanakan. Jangan semua benda kita nak lebih tahu, lebih cepat menghukum, tanpa memahami konteks sebenar.

Padahal, kalau kita fikir betul-betul, asas karakter tu bermula dari benda paling basic, iaitu tentang kebersihan. Anak yang biasa jaga kebersihan, dia belajar disiplin. Dia belajar tanggungjawab. Dia belajar hormat ruang orang lain. Dia belajar bahawa tempat awam tu amanah bersama. Itu bukan pelajaran kecil. Itu asas kehidupan.

Sebab tu, dalam modul Pembentukan Karakter ni, benda macam cuci tandas tu jangan kita tengok sempit. Itu bukan tujuan. Itu alat. Alat untuk bina manusia. Dan kita tak perlu pun nak “cover” atau tukar nama bagi nampak lembut. Ini memang sebahagian daripada pendidikan. Memang sebahagian daripada kurikulum. Memang komponen penting.

Mulai 2027, KPM akan peruntukan slot 15 minit setiap hari, dari Tahun 1 sampai Tingkatan 5, ini bukan program suka-suka. Ini latihan berulang. Hari-hari. Tahun demi tahun. Di situlah karakter terbina.

Cuma satu je, guru kena faham peranan. Ini bukan sekadar buat aktiviti, isi masa, atau berteori. Ini proses untuk memberikan makna. Murid bukan sekadar buat, tapi kena faham kenapa dia buat.

Dan kalau kita nak faham kenapa pendekatan ini ditekankan hari ini, sebenarnya ia bukan sesuatu yang asing bagi kepimpinan negara. Anwar Ibrahim sendiri, ketika mengemudi Yayasan Anda Akademik suatu ketika dahulu, sangat menitikberatkan tarbiyah melalui amalan, termasuk menjaga kebersihan tandas sebagai latihan disiplin dan pembinaan diri. Maksudnya, ini bukan idea baru yang tiba-tiba muncul. Ini konsisten dengan falsafah pendidikan yang beliau bawa sejak dahulu.

Akhir sekali, kita kena jujur. Masalah sikap hari ini, berkaitan isu kebersihan, vandalisme, tak rasa tanggungjawab, itu bukan muncul tiba-tiba. Itu hasil apa yang kita tekankan… dan apa yang kita abaikan. Jadi bila kita bawa balik pembentukan karakter melalui KP2027 ini, sebenarnya kita bukan undur ke belakang.

Kita tengah betulkan balik arah.

Dan dalam hal ini, kita bersyukur kerana ada kepimpinan yang jelas arah tuju, Anwar Ibrahim dan Fadhlina Sidek yang konsisten membawa agenda Insan syumul, Karamah Insaniah, dan pendidikan manusiawi dengan asas tarbiyah yang kukuh.

Akhirnya, mudah je..

Kalau kita nak anak jadi manusia yang betul, jangan terlalu cepat menolak proses yang membentuk mereka.

Sebab karakter… memang tak lahir dari cakap-cakap. Atau exam…

Ia lahir dari berbuat.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top