Sebagai Yang Dipertua PIBG, saya tidak melihat isu sumbangan ini dari jauh. Saya melihatnya dari dalam, daripada pengalaman sendiri, daripada mesyuarat, perbincangan, sehinggalah pelaksanaan di sekolah. Pada saya, PIBG bukan sekadar organisasi biasa-biasa untuk support sekolah, tetapi cerminan kepada tahap kepercayaan antara ibu bapa dan sekolah.
Saya bersyukur, di sekolah kami, walaupun sebuah sekolah agama luar bandar dengan kira-kira 1,400 murid, pelibatan ibu bapa sangat baik. Tiga tahun berturut-turut, kadar kutipan sumbangan PIBG melebihi 94 peratus, malah tahun lalu mencecah 100 peratus. Kehadiran Mesyuarat Agung juga memberangsangkan. Maksudnya, dewan penuh hingga ke akhir sidang walaupun berlarutan ke tengah hari.
Ini bukan sembang kosong. Ini tanda kepercayaan.
Dalam pengalaman saya, sumbangan PIBG benar-benar digunakan untuk perkara asas yang memberi kesan langsung kepada murid. Sebagai contoh, tahun lepas sahaja, sekitar RM50,000 diperuntukkan untuk penyenggaraan tandas. Kita bercakap tentang kebersihan, keselesaan dan maruah anak-anak. Perkara kecil di mata sesetengah orang, tetapi besar maknanya dalam kehidupan harian murid.
Namun apabila timbul kes murid cemerlang yang didakwa tidak menerima sijil kerana tunggakan PIBG, perbincangan terus menjadi panas. Naratif cepat berubah, tiba-tiba PIBG dilihat sebagai beban, dan hujah “tidak wajib bayar” diulang siar berkali-kali tanpa melihat gambaran yang lebih besar. **Bila disemak, bukan tidak diberikan sijil, murid itu tidak diberikan saguhati PIBG.
Saya fikir, kita perlu jernihkan keadaan.
Ya, PIBG adalah sumbangan, bukan yuran wajib. Malah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/2004, Perkara 37(a) jelas menyatakan bahawa anggota persatuan TIDAK BOLEH DIPAKSA memberi apa-apa sumbangan. Prinsip ini penting sebab ia melindungi ibu bapa daripada tekanan atau paksaan.
Tetapi kita perlu FAHAM MAKSUDNYA DENGAN TEPAT.
Ia BUKAN LESEN UNTUK LEPAS TANGAN. Ia bukan alasan untuk menolak terus tanggungjawab. Ia diwujudkan untuk menjaga keadilan, bukan untuk melemahkan semangat kebersamaan.
Siapa dan bila ditentukan jumlah sumbangan? Untuk makluman semua, sumbangan ini bukan ditentukan sewenang-wenangnya. Ia dibincangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung PIBG, iaitu oleh ibu bapa sendiri. Ini bermakna ia adalah KEPUTUSAN BERSAMA, BUKAN PAKSAAN SEPIHAK.
KENAPA KENA ADA SUMBANGAN? APA IMPLIKASINYA?
Tuan-tuan,
Dana PIBG inilah yang menggerakkan banyak program sokongan pembelajaran murid-murid. Cikgu-cikgu nak buat kelas tambahan, modul, program kecemerlangan, aktiviti kokurikulum, kebajikan murid. Bila kutipan kukuh, sekolah boleh merancang dengan baik. Bila lemah, peluang anak-anak turut terjejas.
Tugas PIBG? Kita support usaha ini.
Cuba bayangkan situasi ini. Anak kita hadir sertai kelas tambahan anjuran PIBG sekolah, diuruskan oleh pihak sekolah, ikut program motivasi, guna kemudahan yang diselenggara dan dibiaya penuh melalui dana PIBG. Kita ada keupayaan kewangan, tetapi tidak menyumbang apa-apa. Kemudian anak kita berjaya, cemerlang, mungkin 9A.
Kita raikan kejayaan itu.
Tetapi, kita perlu tanya diri sendiri, kita menyumbang, atau sekadar menumpang?
Ini bukan soal menafikan usaha anak. Ini soal ADAB DALAM KEBERSAMAAN.
Sebab itu, kita tidak boleh terlalu mudah berlindung di sebalik hujah “tidak wajib”. Tidak wajib dari segi peraturan, tetapi tidak bermakna kita bebas daripada TANGGUNGJAWAB MORAL sebagai SEBAHAGIAN DARIPADA KOMUNITI PENDIDIKAN.
Dalam masa yang sama, jika ada yang mempersoalkan ketelusan PIBG, itu hak yang wajar. Sebab itu ada jawatankuasa, audit dan pembentangan kewangan dalam mesyuarat. Jika ragu, semak. Jika tidak setuju, suarakan. Sistem itu ada. Namun jangan kita ambil satu kes salah laksana yang berlaku di mana-mana, lalu menolak keseluruhan peranan PIBG sekolah anak-anak kita. Kan aneh?
Kita juga perlu adil kepada sekolah. Jika ada tindakan yang dilihat keras, seperti menahan sijil, kita boleh tidak bersetuju. Tetapi jangan terus meletakkan semua kesalahan pada satu pihak.
Akhirnya, isu ini bukan tentang wajib atau tidak.
Ia tentang sikap.
Adakah kita melihat pendidikan anak-anak sebagai tanggungjawab bersama, atau sekadar sesuatu yang kita serahkan kepada orang lain?
Dalam sistem yang dibina atas kesepakatan, keikhlasan bukan sekadar memberi, tetapi memahami peranan masing-masing. Ada yang memberi lebih, ada yang memberi sedikit, dan ada yang belum mampu, itu kita raikan. Namun jika mampu tetapi memilih untuk tidak menyumbang, sambil terus menikmati hasil, itu bukan lagi menumpang, itu menghakis semangat kebersamaan.
Kita tidak perlu terlalu keras hingga hilang ihsan, tetapi juga tidak boleh terlalu longgar hingga hilang prinsip. Komuniti yang sihat lahir daripada keseimbangan, antara keikhlasan memberi dan kesedaran untuk tidak sekadar mengambil.
DR






