Saya merujuk kepada satu tulisan yang sedang tular di media sosial, seperti di pautan ini:
https://www.facebook.com/share/p/18GYP1EAF3
Artikel tersebut mengangkat naratif bahawa keputusan peperiksaan negara, khususnya SPM, yang didakwa sebagai “keajaiban kosmetik”, sambil mengepilkan poster janaan AI yang memaparkan wajah Menteri Pendidikan. Seolah-olah peningkatan yang berlaku bukan hasil pembelajaran sebenar, tetapi manipulasi sistem, seolah-olah ada campur tangan Menteri. Tulisan ini disediakan bagi menjawab tuduhan yang jelas tidak bertanggungjawab tersebut.
Pertama sekali, kita perlu luruskan asas hujah. SPM hari ini bukan sistem baharu. Ia sistem yang sama sejak puluhan tahun lalu. Lembaga Peperiksaan sama. Prinsip pentaksiran sama. Standard asas juga tidak berubah secara sewenang-wenangnya.
Jadi persoalannya mudah, yang dipertikai ini SPM lima tahun kebelakangan, atau keseluruhan sistem SPM itu sendiri? Dan mungkin saya perlu ingatkan, anda juga sendiri keluaran sistem yang sama.
Kedua, hujah bahawa peningkatan prestasi selepas lima tahun adalah “mencurigakan” langsung tidak logik.
Kita baru keluar daripada krisis pendidikan terbesar dalam sejarah moden, iaitu COVID-19. Sekolah ditutup lama, pembelajaran terganggu, jurang akses melebar. Malah, tempoh penutupan sekolah di Malaysia antara yang paling panjang berbanding banyak negara lain, sekitar 174 hari, lebih lama daripada purata negara OECD. Sudah tentu prestasi SPM ketika itu lebih rendah ketimbang tahun-tahun berikutnya. Di mana yang tidak logik? Itu realiti global.
Pada masa yang sama, negara juga berdepan ketidaktentuan politik yang berlarutan, dengan perubahan pentadbiran yang kerap. Semua ini memberi kesan langsung kepada kestabilan dan fokus sistem pendidikan. Kita wajar bersyukur, pencapaian SPM ketika itu tidak terlalu merosot ketimbang sebelumnya, memandangkan format baharu juga bermula pada tahun 2021.
Tetapi persoalan yang lebih rasional ialah ini, adakah selepas lima tahun sejak 2021, takkan tiada pemulihan berlaku? Atau kita nak percaya keadaan hari ini lebih buruk daripada zaman COVID?
Logik apa yang digunakan?
Seterusnya, artikel itu memetik PISA 2022 sebagai bukti kelemahan. Ya, itu data penting. Sekali lagi, saya perlu berikan konteks. Pentaksiran PISA ketika itu adalah kepada kohort zaman COVID-19, iaitu pada masa seluruh sistem pendidikan kita sedang “sakit”. Skor PISA di seluruh dunia menurun. Ada beberapa negara sahaja yang menunjukkan daya tahan yang baik.
Baik, Yang tidak disebut artikel itu ialah apa yang berlaku di negara kita selepas itu.
Tahukah kita, dari 2023 hingga 2025, pelbagai intervensi dilaksanakan, termasuklah Program Anak Kita, tambah sekolah, tambah guru, baiki sekolah daif, kurangkan beban guru, kemaskan kurikulum, beri autonomi pengajaran dan sebagainya.
Ini bukan langkah kosmetik. Ini kerja sebenarnya yang berlaku di lapangan.
Jadi bila ada peningkatan selepas tempoh itu, apa yang pelik? Atau kita memang mahu percaya bahawa semua usaha ini langsung tiada kesan?
Ketiga, artikel tersebut sangat selektif dalam memilih data. Ia hanya memetik data penandaarasan antarabangsa ketika kita berada dalam fasa krisis, tetapi mengabaikan data terkini selepas pemulihan.
Sebagai contoh, dalam SEA-PLM 2024, iaitu data terbaharu. Malaysia muncul sebagai tempat teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM bagi domain penulisan, dengan skor jauh mengatasi purata serantau. Hampir 80% murid berada pada tahap sederhana dan tinggi, dan 21% pada tahap tertinggi. Pencapaian negara jauh mengatasi negara-negara serantau lain!
Kemahiran penulisan ini bukan kemahiran asas. Ia memerlukan kemahiran berfikir, menyusun idea, dan berhujah.
Jadi saya tanya secara mudah, kalau murid kita “tak boleh membaca”, macam mana mereka boleh menulis pada tahap terbaik di rantau ini?
Ini bukan soal persepsi. Ini soal logik.
Keempat, dakwaan bahawa peningkatan SPM itu “kosmetik” juga tidak berasas. Kalau kita faham statistik, kita tahu bahawa trend SPM sebenarnya stabil dan konsisten dari tahun ke tahun. Tiada lonjakan luar biasa, tiada “spike” mencurigakan.
Graf dia normal. Konsisten. Bertambah baik secara berperingkat.
Jadi persoalannya, yang kau curiga ni sebab apa sebenarnya? Sebab data itu pelik, atau sebab naratif yang kau pegang tak selari dengan data?
Akhirnya, kita perlu sebut perkara ini dengan jujur.
Saya tidak percaya yang penulis artikel itu salah faham. Pada fikiran saya, penulis telah mengamalkan apa yang disebut sebagai ‘selective framing’, iaitu memilih data tertentu, membuang konteks, dan membina cerita yang nampak meyakinkan tetapi sebenarnya pincang.
Artikel yang saya tulis ini bukanlah untuk mempertahankan KPM secara membuta tuli. Ada yang akan kata tulisan ini ‘defensif.’ Saya tidak peduli dengan tuduhan itu. Pada saya, kritikan dalam pendidikan itu perlu. Tetapi kritik mesti adil, berlapis, dan berasaskan keseluruhan data. Bukan ambil data masa kita “sakit”, kemudian pura-pura tak nampak bila kita mula pulih.
Pendidikan negara memang belum sempurna.
Tetapi ia juga tidak statik. Ia sedang berubah.
Dan yang lebih penting, ia sedang bertambah baik.
Kalau kita terus ulang naratif bahawa “semuanya gagal”, akhirnya kita bukan sahaja mengelirukan masyarakat, kita juga merendahkan usaha sebenar yang sedang berlaku di bilik darjah. Dan itu bukan kritikan. Itu tuduhan dan dakwaan jahat yang hanya akan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
Kalau ada perbezaan pandangan terhadap kepimpinan atau dasar, itu ruang yang terbuka. Tetapi jangan sampai kebencian politik mendorong kita memutar fakta dan mengorbankan masa depan anak-anak.
Sudah-sudahlah.
DR





