Kritik atau Maki? Bezakan Sebelum Kita Bersuara

Kita mula dengan soalan paling asas, apa itu kritik?

Kritik bukan sekadar bercakap. Ia menilai dengan tujuan memperbaiki. Ada fakta, ada hujah, ada asas. Kau boleh tak setuju, boleh keras, boleh tegas, tetapi masih fokus pada isu, bukan menyerang orang. Dalam dunia pendidikan dan masyarakat, kritik itu penting. Tanpa kritik, sistem akan jadi beku. Tetapi kritik juga ada syarat, iaitu disiplin. Kalau emosi lebih laju daripada akal, itu bukan kritik. Itu reaksi.

Baik, kalau begitu, apa pula caci maki hamun hina? Ini kritik? Jawapannya mudah, tuan-tuan.. bukannnn.

Caci, maki, hamun dan hina itu bukan alat untuk memperbaiki. Ia bukan datang daripada analisis, bukan daripada hujah. Ia datang daripada emosi yang tidak dikawal. Bila bahasa sudah jadi kasar dan menjatuhkan, fokus bukan lagi pada isu, tetapi pada maruah orang.

Kritik cuba membetulkan.

Caci maki cuba melampiaskan.

Kritik membuka ruang untuk orang berfikir.

Caci maki menutup ruang itu terus.

Sebab itu, bila kita dengar orang bercakap dengan nada menghina, walaupun ada sedikit kebenaran dalam isi, mesej itu tetap gagal sampai. Orang tidak akan melihat hujah, mereka hanya akan rasa diserang.

Masalah besar hari ini bukan kerana terlalu banyak kritik.

Masalahnya, terlalu banyak hina yang disangka kritik.

Kemudian muncul satu bentuk yang ramai keliru, macam mana pula jika kritik sambil maki?

Secara jujurnya, ini bukan kategori baharu. Ini kritik yang sudah rosak. Ini yang paling ramai kita tak sedar, kita pun terjebak.

Bila hujah dicampur dengan carutan, mesej jadi lemah. Orang tidak lagi mendengar isi, mereka hanya melihat cara. Dan cara yang kasar akan menutup ruang untuk orang berfikir. Ada yang kata, “kalau tak keras, orang tak dengar.” Ya, tegas itu perlu. Tetapi tegas tidak sama dengan kasar. Tegas itu terkawal. Kasar itu hilang kawalan.

Bagaimana pula dengan sindiran?

Sindiran ini ada seninya. Kalau kena cara, ia juga boleh jadi kritik yang halus, tidak menekan, tetapi sampai. Orang tidak terasa dipukul, tetapi tetap sedar. Namun realitinya hari ini, banyak sindiran hanyalah hina versi berlapik. Ayat nampak bijak, tetapi niatnya memperlekeh. Orang mungkin ketawa, tetapi yang terkena akan rasa dipermainkan. Walaupun kita guna istilah ‘sentap’ dibalut pula dengan perkataan ‘tarbiyyah’ pula.

Bezanya mudah.

Sindiran yang baik membuat orang berfikir.

Sindiran yang rosak membuat orang terasa dihina.

Tambahan pula, sindiran ini berisiko. Tidak semua orang faham konteks. Silap gaya, mesej tidak sampai, konflik pula yang membesar.

Kita pergi kepada satu lagi isu. Kenapa ada kritik yang nampak seperti tahu semua?

Ini berlaku apabila seseorang sudah membuat judgment lebih awal. Dia sudah putuskan sebelum mendengar. Bila pihak autoriti beri penjelasan, dia tidak mahu terima. Hati sudah tertutup. Maka apa sahaja fakta selepas itu hanya ditolak.

Ini bukan lagi kritik. Hakikatnya, ini hanya usaha untuk membenarkan apa yang sudah dipercayai.

Kritik yang matang ada satu ciri penting, di mana kesediaan untuk berubah bila berdepan fakta yang lebih kuat. Tanpa itu, ia bukan kritik, tetapi pegangan yang kaku.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu jujur, kritik berlebihan pun satu masalah. Bila semua benda nampak salah, itu bukan lagi kritikal. Itu “mata lalat”. Tidak nampak bunga, hanya nampak yang buruk. Yang tak buruk pun dikatakan buruk. Lama-kelamaan, orang tidak lagi percaya kerana nampak terlalu berat sebelah. Kritik yang sihat ada imbangan. Ia mengakui yang baik, dan menegur yang lemah.

Sekarang bayangkan bila semua ini dicampur. Kau kritik, nasihat, hina, carut, dalam satu nafas.

Apa jadi?

Mesej jadi rosak. Orang tidak tahu sama ada kita mahu membina atau menyerang. Hujah tenggelam, emosi naik. Lebih teruk, bila perkara ini berlaku di media sosial, ia mudah bertukar menjadi buli siber. Satu komen keras diikuti puluhan komen lain. Individu diserang beramai-ramai. Ini bukan lagi kritik, tetapi tekanan kolektif.

Dan dalam keadaan tertentu, ia boleh melangkaui batas hingga menjadi fitnah, menyebarkan sesuatu tanpa asas, menjatuhkan maruah orang. Di sini, isu bukan lagi sekadar komunikasi. Ia sudah masuk wilayah tanggungjawab moral, bahkan urusan akhirat.

Namun kita pun tahu, gaya seperti ini memang viral. Lagi kasar, lagi cepat naik. Sebab orang bertindak balas terhadap emosi. Bad news always a good news. Yang ada kepentingan politik, pun akan ambil kesempatan untuk jadi champion.

Tetapi, dalam Islam, viral bukan ukuran kebenaran. Ia hanya ukuran perhatian. Dalam jangka pendek, mungkin nampak berpengaruh. Dalam jangka panjang, kredibiliti akan terhakis.

Akhirnya, kita berdepan pilihan, nak jadi viral, atau nak jadi bermakna? Kalau boleh kedua-duanya, itu ideal. Tetapi jika terpaksa memilih, lebih baik perlahan tetapi membina, daripada cepat tetapi merosakkan.

Dan satu lagi realiti, tidak semua perkara perlu dijawab. Ada konten yang memang sengaja dicipta untuk mencetus reaksi. Jika kita melayan tanpa berfikir, kita sebenarnya sedang bermain dalam permainan mereka.

Jadi sebelum bercakap atau menulis, atau menghasilkan content, tanya diri sendiri, Aku nak baiki keadaan, atau aku sekadar nak lepaskan geram? Atau sekadar into the scene? Tak nak FOMO?

Nasihatnya begini.

Kalau nak baiki, jaga bahasa, jaga niat, jaga cara. Kalau sekadar nak lepaskan, jangan guna nama kritik. Kerana akhirnya, beza semua ini bukan pada istilah. Tetapi pada kesan. Dan sebagai penutup, kita kembali kepada peringatan yang sangat asas tetapi sering kita abaikan.

Saya tinggalkan tuan-tuan dengan tiga sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang saya fikir WAJIB menjadi panduan kita,

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim

“Seorang Muslim itu adalah orang yang mana Muslim lain selamat daripada lidah dan tangannya.” Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim

Peringatan yang cukup keras untuk zaman media sosial hari ini, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang dia dengar.” Riwayat Sahih Muslim

Akhirnya, ya, kita di Malaysia, dalam Perlembagaan, kita ada kebebasan untuk bersuara. Tetapi kita tidak bebas daripada melakukan fitnah, mengeluarkan kata jelek yang menghina pemimpin, atau kata menghasut dalam konteks merosakkan keharmonian negara.

Saya maksudkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Akta MCMC 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

DR

image

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top