Tragedi September 2026

Ketika seluruh negara bercuti, berehat bersama keluarga dan meraikan Hari Malaysia, MCA Selangor mengadakan Kongres Negeri dan meluluskan tujuh resolusi berkaitan pendidikan.

Tujuh tuntutan itu ialah:

1. UEC diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan bagi kemasukan ke universiti awam.

2.UEC diiktiraf bagi tujuan pelantikan dalam perkhidmatan awam.

3. Pengiktirafan itu hendaklah dilaksanakan melalui mekanisme yang dikatakan adil, telus dan seragam.

4. Mekanisme kemasukan ke IPTA melalui STPM, matrikulasi dan program asasi dikaji semula.

5. Sistem kemasukan universiti awam melalui UPU turut dikaji semula, dengan penekanan kepada pencapaian akademik dan merit.

6. MCA mahu semua pelajar yang layak diberikan peluang yang sama rata dalam laluan pendidikan tinggi.

7. Kerajaan diminta mendedahkan data kemasukan, peruntukan kuota dan kriteria pemilihan secara terbuka bagi semua laluan pendidikan tinggi

Terus terang saya katakan, saya kecewa. Pada saya, ini suatu tragedi. Bukan kerana UEC tidak boleh dibincangkan. Tetapi kerana kenapa mesti pada 16 September?

Hari Malaysia sepatutnya menjadi hari kita paling kuat mengangkat perkara yang menyatukan kita. Hari kita mengingatkan bahawa walaupun rakyat Malaysia berbeza bangsa, agama, bahasa dan latar belakang, kita berkongsi satu negara.

Tetapi pada hari yang sepatutnya menyatukan kita, kita mengangkat pula tuntutan yang menyentuh struktur pendidikan nasional dan perkara-perkara yang kita semua tahu sangat sensitif.

Apakah kita tidak belajar daripada sejarah negara sendiri?

Kerajaan MADANI sebenarnya sudah membuka pintu universiti kepada lepasan UEC. Tetapi membuka pintu tidak bermaksud menukar rumah.

Pada Mei 2026, Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan laluan ke IPTA bagi pelajar daripada aliran pendidikan di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan, termasuk lepasan SMPC/UEC.

Bagi calon yang mempunyai SPM penuh, mereka boleh memohon melalui UPUOnline berdasarkan merit, pakej mata pelajaran yang ditetapkan KPM serta syarat am dan khas program. Bagi lepasan SMPC/UEC yang mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah melalui Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui KPM, beberapa program tertentu turut dibuka.

Baca betul-betul. Ya, bagi calon yang mempunyai SPM.

Tetapi ada satu perkara yang mesti difahami dengan jelas. Kerajaan tidak mengiktiraf UEC sebagai persijilan nasional. Kerajaan memberikan laluan kepada lepasan UEC dalam kerangka sistem nasional.

Nampak tak perbezaannya?

Masalahnya sekarang, MCA Selangor meminta sesuatu yang jauh lebih besar.

Pengiktirafan penuh UEC untuk universiti awam. Pengiktirafan UEC untuk perkhidmatan awam. Dan pada masa sama, mekanisme STPM, Matrikulasi, Asasi dan UPU mahu dikaji semula atas asas prestasi akademik dan merit.

Di sinilah kita perlu berhenti dan berfikir. Saya setuju merit penting. Tetapi merit bukan bermaksud kuota mesti dihapuskan.

Matrikulasi ialah contoh paling jelas. Kemasukan menggunakan pencapaian dan merit, tetapi kerajaan tetap mengekalkan kuota 90% Bumiputera dan 10% bukan Bumiputera.

Merit ada. Kuota pun ada.

Jangan gunakan perkataan “merit” seolah-olah ia secara automatik memadam sejarah, dasar afirmatif dan kerangka Perlembagaan negara.

Dalam perkhidmatan awam juga begitu. Ini bukan sekadar soal siapa mendapat keputusan akademik paling tinggi. Ini soal kelayakan untuk memasuki institusi negara, tertakluk kepada skim, peraturan dan dasar yang ditetapkan kerajaan.

Dan pendidikan negara juga bukan menu yang boleh kita pilih ikut selera. Kita boleh mempunyai pelbagai aliran pendidikan. Tetapi satu negara tetap memerlukan SATU kerangka pendidikan nasional. SPM tetap syarat wajib kemasukan ke IPTA.

Sebab itu, parti politik Melayu utama dalam negara perlu mengeluarkan kenyataan sikap. Apakah pendirian kamu? Waima parti komponen yang bersama-sama kamu membuat tuntutan seperti itu, apa pendirian kamu?

Hari Malaysia sepatutnya menjadi hari kita bercakap tentang apa yang menyatukan Malaysia, bukan menambah perkara yang merenggangkan kita.

Kalau benar mahu mempertahankan kedaulatan negara, inilah masanya menjelaskan kepada rakyat tentang Perlembagaan, dasar afirmatif, merit, kuota, SPM dan Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Jangan hanya bersuara apabila perkara ini datang dari musuh politik kita. Bersuaralah ketika asas negara sedang dipersoalkan.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top