Semalam saya berada di Kelantan bersama Pengetua dan Guru Besar serta guru-guru dari beberapa daerah. Dalam sesi dialog, antara perkara yang paling kerap dibangkitkan ialah kekurangan guru Bahasa Inggeris dan guru yang boleh mengajar MUET, khususnya di sekolah-sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam.
Saya bertanya kepada beberapa sekolah. Berapa orang guru Bahasa Inggeris yang kurang?
Ada yang kata seorang. Ada dua. Ada tiga.
Apabila bergerak dari satu sekolah ke sekolah lain, cerita yang sama berulang.
Saya bertanya pula kepada PPD. Mereka mengakui memang ada kekurangan guru Bahasa Inggeris dan MUET.
Tetapi apabila ditanya soalan yang lebih asas, Adakah perjawatan guru di Kelantan masih belum penuh?
Jawapannya… PENUH.
Geran perjawatan sudah mencukupi.
Jadi, masalahnya bukan semata-mata guru tidak cukup.
Guru ada. Perjawatan ada. Tetapi guru yang diperlukan tidak semestinya guru yang ada.
Di sinilah kita perlu melihat Egtukar dari sudut yang lebih luas.
Kita faham mengapa guru mahu pulang. Ada yang sudah bertahun-tahun PJJ dengan pasangan. Ada anak yang semakin membesar. Ada ibu bapa yang semakin berusia. Ada yang sudah 10 atau 15 tahun menunggu.
Itu semua cerita yang sangat manusiawi.
Pada waktu ini, kita boleh berbangga menyatakan, 80% permohonan PJJ berjaya kita aturkan untuk kembali bersama-sama dalam satu negeri… Tinggi, kan? Tetapi apa harga yang kita bayar untuk pencapaian itu?
Cuba renung dalam-dalam… Apabila guru berpindah masuk ke negeri yang tidak memerlukan opsyennya, akhirnya guru itu mungkin perlu mengajar subjek di luar opsyen kerana itulah keperluan sekolah.
Guru itu tidak salah. Tetapi, pada masa yang sama, keperluan murid juga tidak boleh dilupakan.
Sebab itu, apabila kita bercakap tentang egtukar, kita jangan hanya bertanya, Guru mahu pergi ke mana? Kita perlu bertanya juga, Sekolah memerlukan guru yang bagaimana?
Menariknya, apabila kita bandingkan pola egtukar dengan pencapaian SPM, kita mendapat satu lagi perspektif.
Kelantan, Terengganu dan Kedah merupakan negeri yang relatif sukar dimasuki dan pada masa yang sama sangat kecil yang mahu keluar. Berbeza dengan Selangor dan Pahang pula lebih dinamik dari sudut mobiliti.
Untuk artikel yang ini, saya petik lima negeri ini untuk kita bahaskan. Tiga negeri susah masuk, dua negeri lagi banyak keluar-masuk.
Kita lihat Gred Purata Negeri, GPN SPM bagi tahun 2018 sehingga 2025. Untuk kefahaman pembaca, nilai GPN yang semakin kecil, menunjukkan nilai yang lebih baik. Saya lampirkan pada gambar di bawah.
A. Terengganu dan Pahang menunjukkan penambahbaikan yang paling jelas. Kedua-duanya memperlihatkan trend pencapaian yang konsisten menurun dari segi GPN, dan pada 2025 berada pada kedudukan terbaik dalam kumpulan lima negeri yang dibandingkan.
B. Kelantan menunjukkan pemulihan yang ketara selepas kemerosotan parah pada 2021. GPN menurun daripada 5.10 pada 2021 kepada 4.60 pada 2025. Namun, pencapaiannya masih berada di belakang Terengganu dan Pahang.
C. Kedah pula mengalami turun naik sepanjang tempoh tersebut. Selepas mencatat 5.14 pada 2021, GPN kembali menurun kepada 4.52 pada 2025. Walaupun menunjukkan pemulihan, pencapaiannya masih belum menghampiri tahap Terengganu dan Pahang.
D. Selangor menunjukkan peningkatan yang lebih sederhana tetapi agak konsisten, khususnya selepas 2021. GPN menurun daripada 4.87 pada 2021 kepada 4.52 pada 2025. Pada 2025, Selangor berada pada paras yang sama dengan Kedah dan sedikit lebih baik daripada Kelantan, tetapi masih di belakang Terengganu dan Pahang
Ini bukan bermaksud mobiliti guru menentukan pencapaian SPM. Data ini tidak membuktikan sebab-akibat. Tetapi ia menimbulkan persoalan dasar yang penting.
Maksudnya, jika Terengganu sukar masuk dan memang amat sedikit yang keluar, tetapi pencapaian SPMnya sangat baik..
Manakala Kelantan dan Kedah yang juga mempunyai mobiliti yang ketat menunjukkan trajektori yang berbeza, malah paling terkebelakang antara lima negeri perbandingan.
Justeru soalannya, Apakah sebenarnya yang membezakan pengurusan guru dan sekolah mereka?
Jawapannya mungkin bukan pada jumlah guru semata-mata.
Mungkin pada padanan guru dengan keperluan sekolah.
Maka saya fikir sudah tiba masanya kita memikirkan semula egtukar.
Kita perlu bergerak daripada sekadar melihat kekosongan kepada sistem padanan berasaskan data. Sistem perlu melihat opsyen, kekosongan sebenar, enrolmen, unjuran persaraan, lokasi, pengalaman dan keperluan sekolah.
Saya ingin mencadangkan agar kita melangkah ke arah membina AI Matching Engine yang mencadangkan padanan paling munasabah antara guru dan sekolah.
AI tidak membuat keputusan. AI membantu pengurusan melihat pilihan berdasarkan data yang jauh lebih lengkap.
Kemudian, kita boleh mempertimbangkan pemberatan merit. Ya, saya fikir, sudah tiba masanya kita menggunakan meritokrasi dalam egtukar.
Tempoh menunggu perlu diambil kira, tetapi bukan sebagai tiket automatik. Keperluan opsyen kritikal, PJJ, pasangan, anak-anak, ibu bapa dan faktor kemanusiaan lain boleh diberikan pemberatan yang bersesuaian.
Bagi negeri yang sangat kompetitif untuk dimasuki, merit boleh membantu menghasilkan shortlist calon yang benar-benar munasabah untuk pertimbangan.
Dan jangan lupa satu lagi perkara, iaitu dinamika umur dan pengalaman dalam sesebuah sekolah.
Kita tidak mahu sekolah terlalu didominasi guru senior. Kita juga tidak mahu sekolah dipenuhi guru baharu sehingga pengalaman dan kepakaran tidak mencukupi.
Guru berpengalaman membawa kepakaran dan memori institusi. Guru yang lebih muda membawa perspektif baharu, tenaga dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Jadi apabila mengurus pertukaran, kita bukan hanya bertanya, Siapa keluar dan siapa masuk?
Tetapi paradigma kita perlu berubah, kepada persoalan, Apakah komposisi guru yang tinggal selepas pertukaran itu?
Saya faham guru yang sudah 10 atau 15 tahun menunggu.
Tetapi saya juga perlu mempertahankan prinsip bahawa kita berada dalam perkhidmatan awam. Kita ada hak untuk memohon, tetapi bukan entitlement mutlak untuk memilih tempat bertugas.
Dalam masa yang sama, profesionalisme tidak boleh menjadi alasan untuk kita mengabaikan kemanusiaan.
Begitu juga, kemanusiaan tidak boleh menjadi alasan untuk kita mengabaikan profesionalisme dan keperluan murid.
Menyatukan kedua-duanya memang susah. Tetapi itulah cabaran kepimpinan.
Kita perlu membina sistem yang mampu melihat guru sebagai manusia, tetapi pada masa yang sama mengurus guru sebagai sumber profesional yang perlu ditempatkan berdasarkan keperluan perkhidmatan. Lagipun, dah lama juga kita menggunakan sistem egtukar ini. Sudah tiba masanya untuk penambahbaikan.
Dan saya percaya, kalau kita benar-benar mahu melakukan reformasi pendidikan, kita tidak boleh hanya mengubah kurikulum, buku teks atau sistem pentaksiran.
Ada ketika kita perlu berani menyentuh sistem di belakang sistem.
eGTukar mungkin salah satunya.
Reformasi pendidikan memerlukan perubahan yang substantif, perubahan pada cara kita membuat keputusan, cara kita menggunakan data dan cara kita melihat manusia dalam sistem pendidikan.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti melihat eGTukar sekadar sebagai sistem pertukaran guru. Kita perlu menjadikannya sistem teacher deployment intelligence.
Kerana akhirnya, core business kita bukan memindahkan guru. Core business kita ialah memastikan anak-anak mendapat guru yang mereka perlukan.
Dan untuk itu, kita perlu berani melakukan perubahan.
Mungkin sudah sampai masanya kita buat reformasi eGTukar.
DR





