UEC Bukan Keutamaan Negara Buat Masa Ini.

Banyak Lagi Agenda Pendidikan Yang Lebih Mendesak.

Sejak 1957, Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang pelbagai aliran tetapi tetap berteraskan satu dasar kebangsaan. Ketika Ordinan Pelajaran diperkenalkan, 134 Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) diberi pilihan jelas, iaitu menyertai sistem kebangsaan atau kekal sebagai sekolah persendirian.

Maka, sebanyak 74 buah sekolah memilih untuk mengintegrasikan bahasa kebangsaan, mengikuti kurikulum nasional dan menduduki peperiksaan arus perdana seperti SPM dan STPM. Inilah sekolah yang kita kenali sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), telah pun diiktiraf, diarusperdanakan, dan diterima dalam laluan pendidikan serta pekerjaan kerajaan.

Baki 60 buah SMPC pula kekal sebagai sekolah persendirian dan kemudian membangunkan peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC) pada tahun 1975. Di sinilah muncul naratif panjang berkaitan tuntutan pengiktirafan yang sehingga hari ini masih tiada kata putus. Sehingga kini, maknanya, polemik ini telah pun mencapai 50 TAHUN, dan kebiasaannya akan terus dipolemikkan ketika di musim pilihan raya atau berkaitan dengannya.

Namun, jauh lebih penting untuk kita akui, Malaysia bukan negara yang menghalang pilihan pendidikan. Maksudnya, dalam negara ini, ada sistem pendidikan tahfiz, pondok, Azhariy, IB, IGCSE, dan macam-macam lagi.. Semuanya bebas beroperasi mengikut keperluan masing-masing, selagi dalam lingkungan peraturan yang berkuat kuasa.

Tetapi bagi memasuki IPT Awam dan sektor kerajaan, standard minimum negara adalah jelas, itulah SPM, dengan syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. Ini asas kenegaraan, bukan soal politik atau etnik.

Menariknya, hanya UEC berterusan menuntut pengiktirafan penuh, disebut oleh beberapa pihak, dari masa ke masa. Anehnya, sistem lain, tahfiz, pondok, Azhariy, IB, IGCSE, dan macam-macam lagi…boleh pula menerima standard kebangsaan, mengambil SPM sebagai syarat, atau memilih laluan IPTS, termasuk IPT milik kerajaan negeri, dan IPT luar negara tanpa mengheret negara ke dalam polemik berpanjangan.

Di sinilah persoalan strategik perlu kita benar-benar fikirkan.

Adakah isu UEC benar-benar isu yang memerlukan PERHATIAN SEGERA negara?

Atau

adakah kita sedang mengalihkan fokus daripada masalah pendidikan yang jauh lebih kritikal dan memberikan impak kepada jutaan murid?

Jika kita jujur menilai keutamaan nasional, bukankah ada isu yang jauh lebih penting, lebih mendesak, dan lebih memberi kesan langsung kepada majoriti rakyat.

1. Penguasaan asas literasi dan numerasi yang masih lemah

Negara perlu memperkukuh asas membaca, menulis dan mengira di peringkat awal persekolahan, sebelum berbalah tentang peperiksaan alternatif.

2. Jurang bandar-luar bandar yang ketara

Akses internet, kemudahan sekolah, kualiti guru dan peluang pembelajaran masih jauh tidak seimbang. Ini isu nasional yang memerlukan intervensi segera. Ya, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

3. Pembangunan guru sebagai jantung sistem pendidikan

Kita memerlukan ekosistem latihan yang lebih tangkas, berterusan dan berimpak untuk meningkatkan kompetensi guru.

4. Integrasi sosial dan interaksi antara murid pelbagai kaum

Bagaimana kita mahu membina perpaduan jika murid semakin membesar dalam silo sistem yang berbeza, kurikulum berbeza, bahasa pengantar berbeza, latihan guru berbeza dan peperiksaan berbeza?

5. Daya saing murid dalam ekonomi digital dan era AI

Perubahan teknologi jauh mendahului persediaan sistem pendidikan kita. Ini memerlukan fokus total negara.

Saya senaraikan lima Isu ini, sebenarnya saya fikir ada banyak lagi. Yang saya amat pasti, isu-isu ini bukan milik mana-mana kaum atau aliran. Ini isu yang disepakati seluruh rakyat, tanpa pertikaian. Yang kita juga nampak, pihak Kementerian Pendidikan bersungguh-sungguh sedang berusaha keras mengatasi isu ini dengan pelbagai inisiatif dan intervensi.

Tapi, komitmen kita? Sokongan kita? Usaha kita? Alihkan kepada isu lain? Yang mungkin membawa pergaduhan dan perselisihan sesama kita?

Begini ya.. Saya mohon apalah kiranya, kita tangguhkan dahulu isu 50 tahun yang tak selesai ini untuk kita sama-sama prioritikan AGENDA BERSAMA. Maksud saya, Isu yang mana orang cina, Melayu, India, kadazan, Iban, dan lain-lain setuju perlu diutamakan.

UEC adalah isu kompleks yang melibatkan dasar bahasa, hala tuju negara dan struktur pendidikan sejak 1957. Ia wajar diperhalusi, tetapi bukan pada masa sistem pendidikan kita sendiri sedang berdepan cabaran asas.

Ini Untuk masa ini, kita perlu memfokuskan tenaga, sumber dan minda nasional kepada agenda yang benar-benar meningkatkan kualiti pendidikan rakyat secara inklusif. Maaf ye, saya fikir ini lebih produktif berbanding akhirnya kita sendiri terperangkap dan bergaduh sesama kita disebabkan hal yang sebenarnya ada banyak lagi perkara BERSAMA yang lebih penting dan utama.

Cuma, persoalan besar untuk kita renungkan bersama-sama.

Bagaimana murid Malaysia boleh benar-benar berinteraksi dan membina identiti kebangsaan bersama jika sistem persekolahan kita semakin berbeza dari segi falsafah, kurikulum, bahasa pengantar, latihan guru dan peperiksaan? Sebenarnya, model negara maju mana yang kita sebenarnya sedang cuba tiru yang rupanya sebegitu rupa? China? Taiwan? Amerika? Negara-negara Eropah? Soalan ini serius. Model negara mana?

DR

image
image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top