Siri 2 Melawan Rasuah: Mahkamah Sudah Menghukum. Mengapa Masih Ada Yang Mahu Mengangkatnya?

Perdebatan mengenai 1MDB dan SRC International sering tersasar daripada persoalan yang paling asas.

Ada yang bercakap tentang jasa.

Ada yang bercakap tentang simpati.

Ada yang bercakap tentang politik.

Tetapi persoalan yang sepatutnya kita bincangkan ialah, persoalan utama, Apakah sebenarnya yang telah diputuskan oleh mahkamah? Ini adalah jalur penting dalam konteks kenegaraan.

Bukankah dalam sebuah negara demokrasi yang berteraskan Perlembagaan, mahkamah ialah institusi yang diberi kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak. Bukan media sosial. Bukan ceramah politik. Bukan sentimen penyokong.

Mahkamah membuat keputusan berdasarkan dokumen, keterangan saksi, hujah peguam dan undang-undang. Ada tiga peringkat. Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes SRC International, Datuk Seri Najib Razak telah disabitkan atas tujuh pertuduhan.

Tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Sabitan itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan akhirnya diputuskan semula oleh Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi negara.

Ertinya, KETIGA-TIGA peringkat mahkamah mencapai kesimpulan yang SAMA.

YA, MALAH, SEMUA HAKIM MENCAPAI KEPUTUSAN SAMA.

Bahawa pertuduhan tersebut dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Kes 1MDB pula lebih besar.

Pada November 2024, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas 25 pertuduhan, melibatkan 4 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Hukumannya ialah 15 tahun penjara serta denda RM11.38 bilion!!!!!

Ia merupakan denda jenayah terbesar yang pernah dikenakan oleh mahkamah di Malaysia.

Persoalannya, mengapa hukuman itu begitu berat?

Jawapannya ada dalam penghakiman.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan bahawa kesalahan tersebut bukan sekadar melibatkan sejumlah wang yang besar, tetapi merupakan penyalahgunaan jawatan pada peringkat tertinggi kerajaan. Mahkamah mendapati kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB telah digunakan dalam cara yang bercanggah dengan amanah yang diberikan kepada seorang pemimpin negara.

Lebih penting daripada itu ialah pemerhatian hakim terhadap kesan jenayah tersebut.

Mahkamah menegaskan bahawa beban kewangan akibat skandal 1MDB bukan ditanggung oleh pelaku semata-mata, tetapi oleh rakyat Malaysia. Liabiliti itu akan terus memberi kesan kepada kewangan negara untuk tempoh yang panjang.

Inilah sebabnya hukuman dalam kes jenayah kewangan tidak boleh dilihat semata-mata daripada jumlah wang yang terlibat.

Mahkamah melihat kesannya kepada negara.

Mahkamah melihat kesannya kepada institusi.

Mahkamah melihat kesannya kepada keyakinan rakyat.

Mahkamah melihat kesannya kepada generasi akan datang.

Dalam penghakiman SRC pula, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyatakan bahawa amanah yang diberikan kepada seorang penjawat awam atau pemimpin adalah amanah yang sangat besar. Apabila amanah itu disalahgunakan untuk kepentingan sendiri, kesalahan tersebut menjadi jauh lebih serius kerana ia melibatkan pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

Sebab itu, dalam hampir semua negara, jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin menerima perhatian yang jauh lebih besar berbanding jenayah biasa.

Seorang pencuri mungkin mencuri wang daripada seorang mangsa. Tetapi seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa boleh menyebabkan kerugian kepada seluruh negara.

Itulah bezanya.

Ada yang berhujah, “Bukankah setiap orang berhak mendapat simpati?”

Ya, sudah tentu.

Setiap orang berhak mendapat layanan adil di mahkamah. Setiap orang berhak membuat rayuan mengikut saluran undang-undang. Sebab itu, ada tiga peringkat mahkamah. Dalam hal ini, kesimpulan mahkamah kekal SAMA.

Setiap orang berhak memohon pengampunan mengikut Perlembagaan. Ini terpulanglah kepada YDPA di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada Majlis Pengampunan.

Tetapi hak-hak tersebut tidak mengubah hakikat bahawa sabitan jenayah dibuat oleh mahkamah berdasarkan proses perundangan.

Dalam masyarakat yang matang, kita boleh menghormati hak seseorang di sisi undang-undang tanpa menafikan kesalahan yang telah dibuktikan oleh mahkamah.

Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar. Mengapa masih ada yang mahu mengangkat seorang yang telah disabitkan sebagai wira?

Ini bukan soal kebencian.

Ini soal nilai yang mahu kita wariskan kepada generasi mendatang.

Bayangkan seorang guru memberitahu murid-murid bahawa meniru dalam peperiksaan adalah salah.

Tetapi pada masa yang sama, guru itu memuji seorang pelajar yang telah dibuktikan menipu kerana pelajar tersebut pernah banyak berjasa kepada sekolah.

Apakah mesej yang diterima oleh murid?

Bahawa jasa boleh memadamkan kesalahan?

Bahawa populariti lebih penting daripada integriti?

Bahawa amanah boleh diketepikan jika seseorang mempunyai pengaruh?

Saya fikir, negara tidak boleh dibina di atas prinsip seperti itu. Hakikatnya, semua pemimpin mempunyai jasa. Tetapi jasa bukan lesen untuk melanggar undang-undang.

Jika kita menerima logik bahawa jasa menghapuskan jenayah, maka seluruh sistem keadilan akan runtuh. Undang-undang akan bergantung kepada siapa seseorang itu, bukan kepada apa yang dilakukannya.

Itulah sebabnya prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) sangat penting.

Undang-undang mesti mengatasi individu.

Institusi mesti mengatasi personaliti.

Negara mesti mengatasi kepentingan politik.

Hari ini mungkin tokoh yang kita sokong.

Esok mungkin tokoh yang kita tentang.

Tetapi jika kita memilih untuk menghormati keputusan mahkamah hanya apabila ia memihak kepada pihak yang kita sukai, maka kita sebenarnya tidak mempertahankan keadilan. Kita hanya mempertahankan kepentingan sendiri.

Pengajaran terbesar daripada kes SRC International dan 1MDB bukan sekadar bahawa rasuah itu salah.

Pengajarannya ialah sebuah negara hanya akan kekal kuat apabila amanah dihormati dan undang-undang ditegakkan tanpa memilih bulu.

Mahkamah telah menjalankan tanggungjawabnya. Kini tanggungjawab itu beralih kepada rakyat. Kita mesti menentukan jenis negara yang ingin kita wariskan kepada anak-anak kita.

Sebuah negara yang mengajar bahawa kuasa adalah amanah. Atau sebuah negara yang mengajar bahawa kuasa boleh menjadi pelindung kepada penyalahgunaan amanah.

Pilihan itu bukan lagi di tangan mahkamah. Pilihan itu berada di tangan masyarakat. Kerana sejarah menunjukkan bahawa sesebuah negara tidak mula rosak apabila rasuah berlaku.

Negara mula rosak apabila masyarakat berhenti menganggap rasuah sebagai sesuatu yang memalukan.

Apabila titik itu dilalui, keruntuhan institusi hanya menunggu masa.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top