Kita Marah Budak Membuli, Tetapi Jangan Buat-Buat Seolah-olah Sistem Belum Berbuat Apa-Apa. Dan jangan pula kita buat seolah-olah buli hanya berlaku di sekolah kerajaan.
Bacalah…
Tahukah kita, dalam beberapa bulan ini sahaja, kita melihat kes melibatkan MRSM, SMK, SBP dan maahad tahfiz. Ada yang dilaporkan kepada polis, ada yang ditangani institusi masing-masing, dan ada yang sampai ke Tribunal Antibuli. Daripada 56 laporan yang diterima Tribunal sejak 16 Jun, 15 kes pula berlaku di luar pengawasan institusi pendidikan.
Kes MRSM Muar, misalnya, berakhir dengan empat pelajar dibuang dan dua digantung.
Maksudnya mudah. Buli bukan masalah satu jenis sekolah. Dan buli bukan masalah sekolah semata-mata.
Yang dibuang, rasa-rasa, dibuang ke mana? ![]()
Sebab itu saya agak hairan apabila tujuh perkara yang dikemukakan Asyraf Wajdi sebagai “langkah radikal” dibaca seolah-olah KPM belum melakukan perkara-perkara tersebut. Aduhaiii…
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sudah menjawab satu persatu. Dan apabila kita semak, banyak daripadanya memang sudah ada atau sedang dilaksanakan.
1. Soal warden profesional sepenuh masa?
KPM sudah mempunyai lebih 10,000 warden asrama dan telah menambah lebih 300 Pembantu Warden Asrama (bukan guru) melalui MySTEP untuk membantu pemantauan, khususnya pada waktu malam.
Pendekatannya ialah menambah tenaga sokongan secara berperingkat supaya keselamatan murid diperkukuh tanpa meletakkan seluruh beban pengawasan asrama di atas bahu guru.
2. Soal zero tolerance?
Garis panduan mencegah dan menangani buli sudah lama wujud dan diperkukuh melalui Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli 2023.
3. Soal Akta Antibuli?
Sudah ada. Tribunal Antibuli juga sudah berfungsi sebagai saluran khusus untuk mangsa mendapatkan remedi. Sekolah pun terlibat secara langsung.
4. Soal menghukum pihak yang menutup kes?
KPM sudah menyatakan bahawa kecuaian atau usaha melindungi kes tidak boleh dibiarkan. Saluran aduan buli juga telah diperkukuh, termasuk mekanisme yang membolehkan pengadu membuat aduan tanpa nama.
5. Soal CCTV?
KPM sedang memperluas pemasangan CCTV secara berperingkat berdasarkan kawasan dan sekolah berisiko. Bukan semuanya boleh dipasang serentak, tetapi pendekatannya jelas, iaitu tambah pengawasan di tempat yang mempunyai blind spot.
6. Soal sistem amaran awal?
KPM juga sudah bergerak ke arah pengesanan awal melalui pemantauan, saluran aduan dan intervensi SAFE.
7. Soal memutuskan budaya senioriti?
Itu juga sedang ditangani. Senioriti yang bermaksud membimbing tidak menjadi masalah. Tetapi senioriti yang bertukar menjadi pukul, ugut atau memalukan junior bukan tradisi. Itu salah laku.
Adakah semua ini sudah sempurna?
Tidak.
Dan kalau buli masih berlaku, kita mesti berani bertanya mengapa sistem yang sudah diwujudkan gagal mencegah, mengesan atau bertindak lebih awal.
Itulah perbahasan yang lebih serius.
Bukan siapa paling radikal. Bukan siapa paling cepat mengeluarkan tujuh cadangan.
Kerana buli bukan pertandingan siapa paling keras selepas tragedi berlaku.
Buli ialah masalah manusia.
Kita marah budak memaki kawannya, tetapi orang dewasa memaki lawan politik.
Kita marah budak menyebarkan aib, tetapi netizen menyebarkan tangkap layar dan cerita peribadi orang lain demi engagement.
Kita marah budak mengejek rupa, keluarga dan latar belakang orang lain, tetapi orang dewasa menjadikannya bahan serangan.
Kita marah budak mentertawakan orang yang sedang berduka, tetapi ada orang dewasa yang mentertawakan kematian orang yang mereka benci.
Kita marah budak mengerumuni seorang mangsa, tetapi di media sosial kita sendiri boleh melihat beratus-ratus orang menyerang seorang individu secara berjemaah hanya kerana tidak bersetuju dengannya.
Ahli politik pula kadang-kadang bertikam lidah bukan sekadar tentang dasar. Bahasa yang digunakan boleh menjadi penghinaan peribadi.
Content creator pula tahu benar bahawa kemarahan menjual. Tajuk yang mengapi-apikan, sindiran yang menjatuhkan maruah dan kandungan yang mempermalukan orang lain mudah mendapat perhatian.
Kemudian kita mahu anak-anak belajar bahawa manusia mesti dihormati?
Mereka sedang menonton kita.
Kemudian kita bertanya… Buat-buat bertanya…
Kenapa budak-budak sekarang jadi pembuli?
Mereka belajar daripada siapa?
Tuan-tuan…
Anak-anak tidak membesar dalam vakum. Mereka melihat kita. Mereka mendengar kita. Mereka meniru cara kita melayan manusia yang kita tidak suka.
Kita mahu sekolah melahirkan manusia bertamadun, tetapi di luar sekolah kita menunjukkan bahawa menghina, memalukan, menuduh dan membuli boleh diterima, asalkan mangsanya ialah orang yang kita tidak suka?
Begitu?
Jadi jangan hanya melihat buli sebagai masalah sekolah.
Sekolah boleh tambah warden. CCTV boleh ditambah. Akta boleh dikuatkuasakan. Portal boleh diperbaiki. Sistem amaran awal boleh diperkukuh.
Tetapi seorang anak datang ke sekolah selepas bertahun-tahun dibentuk oleh rumah, keluarga, rakan, internet dan masyarakat.
Buli bukan bermula di pagar sekolah.
Kalau rumah mengajar makian, media sosial mengajar penghinaan, ahli politik menormalisasikan serangan peribadi, content creator menjadikan penghinaan sebagai kandungan dan netizen menjadikan kerumunan digital sebagai hukuman, jangan kita terkejut apabila anak-anak membawa budaya itu ke sekolah.
Tak masuk kita cerita promosi normalisasi buli dalam layar TV dan filem lagi…
Jadi…
Buli bukan isu sekolah semata-mata. Ia isu masyarakat.
Dan pendidikan pertama tentang bagaimana kita menghormati manusia lain bukan bermula di sekolah.
Ia bermula di rumah.
DR





