Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita membaca beberapa berita tentang buli yang cukup mengganggu fikiran.
A. Jun lalu, kita membaca tentang kes buli di sebuah MRSM di Johor sehingga seorang pelajar berusia 14 tahun dilaporkan mahu keluar daripada institusi tersebut.
B. Minggu ini pula, dua pelajar sebuah maahad tahfiz di Parit, masing-masing berusia 13 dan 14 tahun, dihadapkan ke mahkamah berhubung pertuduhan mencederakan seorang pelajar menggunakan seterika.
C. Hari ini pula, kita membaca berita menyayat hati mengenai Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq, murid SMK Zaaba, Kuala Pilah, dengan dakwaan yang turut mengaitkan isu buli.
Tiga perkembangan. Tiga latar institusi yang berbeza.
Maka, satu perkara perlu kita fahami, bahawa buli bukan masalah yang unik kepada sekolah kerajaan. Bukan masalah MRSM. Bukan masalah tahfiz. Bukan juga masalah satu generasi sahaja.
Sebab itu saya tidak fikir kita perlu tergesa-gesa menjadikan isu ini sebagai isu politik, apatah lagi menyalahkan Menteri Pendidikan secara mudah.
Buli sudah wujud jauh sebelum hari ini.
Zaman kita dahulu pun ada budaya senioriti yang keterlaluan. Ada pelajar yang takut kepada senior, dipaksa, dihina atau disakiti. Bezanya, banyak perkara berlaku tanpa kamera, tanpa media sosial dan tanpa diketahui masyarakat dalam masa yang singkat.
Hari ini persekitarannya berbeza.
Anak-anak kita bukan sahaja belajar daripada keluarga, guru dan rakan. Mereka juga hidup dalam dunia internet. Mereka boleh melihat pelbagai bentuk keganasan, penghinaan dan tingkah laku agresif hanya melalui telefon di tangan mereka.
Di sinilah cabaran kita menjadi lebih kompleks. Sempadan antara gurauan, permainan dan keganasan boleh menjadi kabur. Apa yang dianggap main-main oleh seorang anak mungkin sangat menyakitkan bagi anak yang lain.
Dan apabila seseorang sudah cedera, takut atau tertekan, kita tidak boleh lagi berlindung di sebalik alasan, “Alaa… Budak-budak.. Gurau sahaja.”
Data PISA juga mengingatkan kita bahawa buli bukan masalah yang baru muncul. Dan kenapa pada saya, dapatan PISA berkaitan kesejahteraan sosial dan emosional murid lebih perlu diambil perhatian untuk peningkatan aspek kognitif.
Pada 2018, 36 peratus pelajar Malaysia melaporkan menjadi mangsa buli sekurang-kurangnya beberapa kali sebulan. Pada 2022, angka yang dilaporkan ialah 22 peratus bagi pelajar perempuan dan 29 peratus bagi pelajar lelaki. PISA 2025 pula mencatatkan 27 peratus.
Jadi, tidak tepat untuk kita sekadar mengatakan, “Budak sekarang lebih teruk.”
Tidak.
Buli memang sudah lama wujud. Yang berubah ialah persekitaran, bentuk pendedahan dan cara anak-anak kita berinteraksi.
Malah PISA 2025 turut memberikan perhatian kepada buli siber. Di Malaysia, lima peratus pelajar melaporkan maklumat yang mengganggu tentang diri mereka diterbitkan dalam talian tanpa kebenaran sekurang-kurangnya beberapa kali sebulan. Tinggi!
Justeru, pendidikan antibuli kita juga perlu berubah. Kita perlu mengajar mereka apa itu buli, di mana batas gurauan, apa akibat keganasan dan mengapa maruah serta keselamatan orang lain mesti dihormati.
Kita juga perlu lebih peka terhadap tanda-tanda awal. Anak yang tiba-tiba takut ke sekolah, mahu keluar asrama, meminta berpindah atau berubah tingkah laku mungkin sedang menyampaikan sesuatu yang kita belum dengar.
Dalam kes yang sedang berlaku, berikan ruang kepada pihak berkuasa seperti pihak polis, KPM dan pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan. Jangan sesekali mendahului siasatan. Jangan menghukum melalui media sosial. Kadangkala perbuatan netizen ini juga suatu pembulian yang tak munasabah.
Dan saya perlu tegaskan, jangan sesekali politikkan penderitaan anak-anak. Tetapi, pada masa yang sama, jangan pula kita mengecilkan masalah.
Jika siasatan membuktikan berlaku buli, tindakan yang sewajarnya mesti diambil. Jika ada kelemahan sistem, perbaiki. Jika ada anak menjadi mangsa, lindungi.
Kerja kita bukan sekadar mencari siapa yang salah. Kerja kita ialah mendidik, mencegah dan membina budaya yang menolak buli.
Kerana akhirnya, sekolah kerajaan, MRSM, tahfiz atau mana-mana institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat seorang anak belajar tanpa rasa takut.
Buat keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq, marilah kita hadir dengan doa, bukan spekulasi, dengan empati, bukan pertuduhan.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan memberikan kekuatan kepada seluruh keluarganya.
Semoga kebenaran ditemukan, dan daripada setiap peristiwa ini, kita belajar menjaga anak-anak kita dengan lebih baik.
DR





