UCAPAN YDP PIBG SRA KAMPUNG MEDAN -7 MAC 2026

1. Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan ini, kita berkumpul dalam Mesyuarat Agung PIBG SRA Kampung Medan kali ke-28 dengan satu perasaan yang cukup istimewa. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah yang kita lalui setiap tahun.

2. Ramadan adalah bulan yang menghidupkan kembali hubungan manusia dengan wahyu. Ia bulan muhasabah. Bulan untuk kita bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana kita memahami tujuan hidup, dan sejauh mana kita benar-benar mengambil pelajaran daripada Al-Qur’an yang diturunkan kepada umat manusia.

3. Ramadan menjadi mulia kerana di dalamnya berlaku satu peristiwa besar dalam sejarah kemanusiaan, turunnya Al-Qur’an. Allah sendiri mengingatkan kita dalam firman-Nya:

“Shahru Ramadan alladhī unzila fīhi al-Qur’ān, hudan linnās.”Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan di dalamnya Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia.

4. Peristiwa Nuzul Al-Qur’an bukan sekadar satu catatan sejarah agama. Ia menandakan lahirnya sebuah kitab yang membangunkan akal manusia. Wahyu pertama yang turun bukanlah perintah yang rumit, tetapi satu arahan yang sangat asas dan sangat mendalam maknanya, Iqra’, bacalah.

5. Di sinilah mesej besar Islam bermula. Islam tidak membina umatnya atas kejahilan, tetapi atas ilmu. Namun membaca yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an bukan sekadar membaca huruf atau mengumpul maklumat. Ia adalah membaca dengan kesedaran bahawa manusia hidup di bawah pandangan Tuhan.

Iqra’ bismi rabbika alladhī khalaq.

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

6. Maknanya ilmu itu mesti lahir bersama iman. Kita membaca dunia dengan kesedaran bahawa Tuhan itu wujud, memerhati dan membimbing kehidupan manusia.

7. Namun Al-Qur’an tidak berhenti pada tahap membaca. Ia mengajak manusia untuk berfikir, merenung dan mentadabbur. Berkali-kali Al-Qur’an bertanya kepada manusia:

Afalā ta‘qilūn, tidakkah kamu menggunakan akal?

Afalā tatafakkarūn, tidakkah kamu berfikir?

Afalā yatadabbarūn al-Qur’ān, tidakkah mereka mentadabbur Al-Qur’an?

8. Soalan-soalan ini sebenarnya adalah pendidikan Al-Qur’an kepada manusia. Al-Qur’an tidak mahu kita menjadi umat yang sekadar membaca. Al-Qur’an mahu kita menjadi umat yang berfikir.

9. Sebab itu Ramadan bukan sekadar bulan tilawah, tetapi bulan tadabbur. Kita membaca ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi pada masa yang sama kita mencari makna di sebaliknya. Apakah yang Allah ingin ajarkan kepada kita melalui ayat-ayat ini?

10. Al-Qur’an sendiri menjelaskan tujuan besar ibadah puasa dalam Ramadan. La‘allakum tattaqūn. Supaya kamu menjadi orang yang bertakwa. Takwa ini sebenarnya satu konsep yang sangat luas. Ia bukan sekadar rasa takut kepada Tuhan, tetapi kesedaran yang mendalam bahawa setiap tindakan kita berada dalam pengawasan Allah. Kesedaran ini membentuk disiplin diri, membentuk akhlak, dan akhirnya membentuk masyarakat yang lebih baik.

11. Namun kita juga harus faham satu perkara penting. Ramadan hanyalah madrasah latihan. Ia melatih jiwa kita selama sebulan. Tetapi matlamat sebenar bukan hanya menjadi baik sepanjang Ramadan. Matlamatnya ialah supaya nilai takwa itu hidup selepas Ramadan.

12. Di sinilah muncul satu pemahaman yang penting. Takwa tidak boleh berhenti pada kesolehan spiritual semata-mata. Takwa mesti melahirkan kesolehan sosial. Ya, Soleh Ritual, Soleh Sosial.

13. Orang yang bertakwa bukan sekadar rajin beribadah secara peribadi. Orang yang bertakwa juga peduli kepada masyarakat. Peduli kepada komuniti. Peduli kepada pendidikan anak-anak.

14. Sebab itu Al-Qur’an mengajarkan satu prinsip yang sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat, “Wa ta‘āwanū ‘ala al-birri wa al-taqwā.” Hendaklah kamu saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

15. Pada saya, inilah ruh sebenar kewujudan PIBG. Ia adalah ruang kerjasama antara ibu bapa, guru dan komuniti untuk membina masa depan anak-anak kita bersama.

16. Semangat ta‘awun ini sebenarnya kita saksikan dengan sangat jelas ketika sekolah kita diuji dengan bencana ribut pada 15 Oktober 2025 yang lalu. Peristiwa tersebut menyebabkan kerosakan besar kepada beberapa kemudahan sekolah dengan anggaran kos mencecah hampir satu juta ringgit.

Ia bukan ujian yang kecil.

17. Tetapi dalam saat yang mencabar itu, kita melihat sesuatu yang sangat mengharukan. Kita melihat solidariti masyarakat. Ibu bapa, komuniti setempat dan pelbagai pihak tampil membantu. Bantuan datang daripada banyak pihak termasuk kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan juga perhatian daripada Pejabat Perdana Menteri sendiri.

18. Di situlah kita sedar satu perkara. Apabila masyarakat bersatu dalam kebaikan, cabaran yang besar pun boleh kita hadapi bersama. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit usaha membaik pulih dan menambah baik kemudahan sekolah telah dan sedang dilaksanakan. Ada perkara yang telah berjaya kita selesaikan, dan ada juga perancangan yang sedang berjalan.

19. Antaranya pembaikan surau sekolah yang kini jauh lebih selesa untuk digunakan oleh para pelajar, termasuk dengan kemudahan penyaman udara.

20. Kadang-kadang dalam kehidupan ini, di sebalik ujian Allah sebenarnya menyelitkan hikmah. Ujian mengingatkan kita tentang pentingnya kebersamaan. Pentingnya kepedulian. Dan pentingnya tanggungjawab terhadap institusi pendidikan anak-anak kita.

21. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua ibu bapa atas sokongan yang amat memberangsangkan kepada PIBG.

22. Berdasarkan rekod yang kita miliki, kadar ibu bapa yang telah melunaskan sumbangan PIBG telah mencecah lebih daripada 94 peratus. Ini satu angka yang sangat tinggi. Dan pada saya, ini bukan sekadar angka. Ini adalah tanda kepercayaan. Ini adalah tanda komitmen ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak kita.

23. Bagi pihak PIBG, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu bapa atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan. Kami yang berada dalam jawatankuasa PIBG ini hanyalah dipilih untuk memikul amanah bagi mewakili ibu bapa semua.

24. Sudah tentu dalam menjalankan amanah ini mungkin ada kekurangan dan kelemahan di pihak kami. Jika ada salah dan silap sepanjang kami melaksanakan tanggungjawab ini, kami memohon maaf dengan setulus hati.

25. Akhirnya, izinkan saya memaklumkan bahawa tahun ini merupakan tahun pemilihan baharu bagi kepimpinan PIBG. Ini bermakna penggal pentadbiran kami yang diberi amanah sebelum ini telah sampai ke penghujungnya.

26. Sepanjang tempoh tersebut, kami telah berusaha sedaya upaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami. Namun sebagai manusia biasa, tentu ada kekurangan dan kelemahan di pihak kami. Pada kesempatan ini kami dengan rendah hati memohon kemaafan atas segala salah dan silap sepanjang kami memikul amanah ini.

27. Kami juga memohon doa daripada semua agar kepimpinan PIBG yang bakal dipilih selepas ini akan terus dipermudahkan urusan mereka dalam membawa sekolah ini ke arah yang lebih baik.

28. Kerana akhirnya kita semua berkongsi satu harapan yang sama. Kita mahu anak-anak yang belajar di sekolah ini bukan sekadar menjadi pelajar yang cemerlang. Kita mahu mereka menjadi manusia yang berilmu, berakhlak, dan berjiwa besar.

29. Dan mudah-mudahan segala usaha kecil yang kita lakukan bersama ini menjadi sebahagian daripada amal kebajikan yang diberkati oleh Allah.

30. Kerana pada akhirnya, pendidikan bukan hanya membina pelajar yang pandai. Pendidikan membina manusia yang bertakwa.

Dan itulah sebenarnya tujuan besar yang diajarkan oleh Al-Qur’an kepada kita.

Insya-Allah.

image

image

image

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top