Hentikan “Ranking” Sekolah

Setiap kali keputusan SPM diumumkan, kita masih terperangkap dalam ritual lama, ada sahaja entah pihak mana yang menyusun sekolah, menamakan siapa paling di atas, membuat ranking dan membandingkan siapa di atas, siapa di bawah. Walhal, secara dasar, amalan ini sudah lama ditinggalkan. Namun dalam ruang awam, budaya ranking terus hidup, malah semakin agresif. Akhirnya, dibuat kesimpulan yang bukan-bukan.

Masalahnya bukan sekadar pada angka. Masalahnya ialah cara kita memahami pendidikan itu sendiri. Kita perlu bermula dengan satu penegasan, bahawa PENDIDIKAN BUKAN PERLUMBAAN. Ia bukan tentang siapa paling tinggi kedudukannya, tetapi tentang sejauh mana sistem itu mampu membina manusia.

Apabila kita menyusun sekolah berdasarkan gred purata, lalu mengisytiharkan sekolah mana paling cemerlang HANYA DENGAN SATU ANGKA GPS, kita sebenarnya sedang menyempitkan sesuatu yang sangat luas.

Malah, realiti di lapangan jauh lebih rumit daripada apa yang terlihat dalam satu angka.

Setiap sekolah beroperasi dalam ekosistem yang berbeza. Contohnya aliran dan mata pelajaran. Ada yang beraliran sains tulen STEM A, Sains gunaan STEM B, ada yang teknikal dan Vokasional STEM C, ada yang berteraskan agama, dan ada yang menggabungkan pelbagai laluan.

Struktur kurikulum tidak sama. Pendekatan pengajaran berbeza. Aras kesukaran mata pelajaran dalam aliran juga tidak seragam, malah boleh berubah mengikut tahun bergantung kepada pola soalan.

Dalam keadaan ini, membandingkan gred purata antara sekolah bukan sekadar tidak tepat, malah ia tidak sah dari segi asas analisis. Jelas it’s not apple to apple.

Tambahan pula, faktor lain yang lebih besar sering diabaikan. Bilangan murid tidak sama. Latar sosioekonomi berbeza. Tahap kemudahan dan prasarana tidak seragam. Ada sekolah yang bermula dengan kelebihan kerana pemilihan pelajar, ada yang menerima semua lapisan tanpa tapisan. Semua ini memberi kesan langsung kepada pencapaian, tetapi hilang begitu sahaja apabila semuanya diringkaskan kepada satu angka.

Di sinilah letaknya kecacatan utama dalam amalan ranking.

Lebih membimbangkan, apabila angka ini dijadikan asas perbandingan terbuka, ia melahirkan naratif yang salah. Sekolah tertentu dianggap lebih hebat secara mutlak, manakala yang lain dilabel sebaliknya, akhirnya mewujudkan perlumbaan dan elitis terhadap sekolah-sekolah tertentu. Selain itu, ada juga dakwaan bahawa aliran sekolah tertentu lebih baik daripada yang lain. Semua ini dibina atas perbandingan yang tidak mengambil kira konteks dan keperluan.

Ini bukan sahaja tidak adil, tetapi merosakkan persepsi masyarakat terhadap pendidikan.

Kita juga perlu memahami fungsi sebenar gred purata. Sama ada GPN, GPS atau GPMP, ia diwujudkan sebagai alat pemantauan dalaman. Tujuannya ialah untuk melihat perkembangan, adakah kita bertambah baik berbanding tahun sebelumnya, di mana kelemahan yang perlu diperbaiki, dan bagaimana intervensi boleh dirancang.

Ia BUKAN ALAT UNTUK PERTANDINGAN.

Perbandingan yang betul ialah antara kita dengan diri kita yang lalu, bukan antara sekolah dengan sekolah, apatah lagi kategori sekolah dengan kategori sekolah. Apabila gred purata diangkat menjadi asas ranking, kita telah memesongkan fungsi asalnya. Daripada alat refleksi, ia bertukar menjadi alat penghakiman.

Dan sedar atau tidak, kita sendiri telah mewujudkan tekanan yang tidak sihat dalam sistem pendidikan kita sendiri, suatu yang Kementerian sendiri sudah lama tinggalkan.

Akhirnya, tiada arahan rasmi atau siapa pun yang paksa. Tiba-tiba, sekolah mula mengejar angka. Guru terikat dengan sasaran sempit. Pelajar pula diasak untuk mencapai keputusan tertentu. Mula bertaktikal, memberikan tumpuan kepada grup yang boleh menyumbang kepada peningkatan GPS, dan meninggalkan murid yang tidak membantu. Fokus akhirnya beralih daripada pembelajaran bermakna kepada strategi menjawab peperiksaan dan taktikal yang kadangkala hilang sifat kemanusiaan.

Tanpa sedar, kita mengundurkan semula pendidikan kepada model lama yang terlalu berorientasikan peperiksaan, sesuatu yang sebelum ini cuba diperbaiki melalui pelbagai inisiatif, termasuklah amalan pentaksiran berasaskan sekolah.

Lebih ironi, ketika sistem sedang bergerak ke arah yang lebih keterangkuman, iaitu untuk memperkukuh mobiliti sosial, memperluas akses kepada kelompok B40, dan mengangkat peranan dan mutu sekolah harian, kita masih terikat dengan cara fikir lama yang menilai segala-galanya melalui ranking. Ini satu percanggahan yang serius.

Jika kita benar-benar mahu merapatkan jurang pendidikan, kita tidak boleh terus membesarkan perbezaan melalui perbandingan yang simplistik. Jika kita mahu membina sistem yang adil, kita tidak boleh menghakimi sekolah tanpa memahami konteksnya. Dan jika kita mahu melahirkan insan yang seimbang, kita tidak boleh terus menilai mereka melalui angka semata-mata.

Akhirnya, kita perlu berani membuat keputusan sebagai masyarakat.

Sudah-sudahlah kita menjadikan pendidikan sebagai medan perlumbaan yang tidak tepat pun asasnya. Sudah tiba masanya kita menghentikan budaya ranking yang mengelirukan ini. Gunakan data untuk memperbaiki diri, bukan untuk membanding orang lain. Fahami konteks sebelum membuat kesimpulan. Dan yang paling penting, kembalikan pendidikan kepada tujuan asalnya, tidak lain melainkan untuk membina manusia.

Jika tidak, kita bukan sahaja tersilap menilai sekolah, tetapi sedang merosakkan makna pendidikan itu sendiri.

Kita respek dan tabik Kementerian Pendidikan yang telah lama menghentikan ranking rasmi. Fokus kini beralih kepada menangani kesenjangan pendidikan. Matlamat utamanya adalah untuk memastikan setiap sekolah, tanpa mengira status, mampu memberikan mutu pendidikan yang holistik, bukan sekadar melahirkan “mesin menjawab peperiksaan”.

Sebagai penutup, Ranking mungkin berguna sebagai rujukan data statistik, tetapi ia BUKAN PENENTU MUTLAK MUTU SESEBUAH INSTITUSI. Kecemerlangan sebenar diukur melalui PEMBANGUNAN KARAKTER , KEMAHIRAN INSANIAH , dan KEUPAYAAN PELAJAR UNTUK BERDIKARI SELEPAS TAMAT SEKOLAH, akhirnya MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA UMAT.

Sudah tiba masanya kita berhenti membandingkan sekolah berdasarkan angka semata-mata dan mula menghargai keunikan setiap aliran pendidikan.

DR

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top