Asal Bangkang

Hari ini, penyakit fikir yang makin jelas ialah kita menilai sesuatu bukan atas dasar benar atau salah, tetapi atas dasar siapa yang membawa. Kalau dari “kita”, kita sokong. Kalau dari “mereka”, kita tolak. Nampak tak… neraca sudah berubah. Saya nak kongsikan dua kisah lama, dari zaman awal pertemuan Nabi SAW dengan Ahli Kitab. Kisah silam, tetapi pengajarannya sangat besar untuk kita hari ini.

Pertama, kisah Huyayy ibn Akhtab. Dalam riwayat sirah, beliau digambarkan sebagai seorang yang mengetahui tanda-tanda kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagaimana tercatat dalam kitab mereka. Maklumat ada. Pengetahuan ada. Tetapi penerimaan tidak berlaku. Mengapa? Kerana kedudukan. Kerana pengaruh. Kerana kepentingan kelompok. Nampak tak… masalahnya bukan pada kebenaran itu. Masalahnya pada ego dan kuasa. Bahasa orang sekarang, FOMO. Tak nak berbeza dengan kelompok. Tak mahu kena palau.

Kedua, kita lihat pula kisah Abdullah ibn Salam. Seorang alim dalam kalangan Ahli Kitab. Bila beliau meneliti dan yakin, beliau menerima. Walaupun risikonya besar. Walaupun status sosialnya tergugat. Ini bukan soal bangsa. Ini bukan soal identiti. Ini soal integriti ilmu. Tuan-tuan sekalian, beza di sini ialah kejujuran hati. Kalau bahasa sekarang, berani kena unfriend.

Sekarang mari kita cermin diri. Kita ni nak bagaimana sebenarnya? Kita nak apa sebenarnya? Contoh hari ini. Bila kerajaan buat sesuatu, terus salah. Bila kelompok kita buat perkara yang hampir sama, tiba-tiba jadi bijak dan berani. Boleh terpakai juga jika sebaliknya. Laaa… dah kenapa begitu? Ukuran kita sebenarnya apa? Prinsip atau kepentingan?

Ini bukan soal politik kepartian ye. Ini soal sikap. Attitude. Sikap “asal bukan dari kita, kita bangkang”. Yang saya pasti, ini bukan semak dan imbang. Ini stupidity. Dalam sistem demokrasi, pembangkang yang matang menyokong yang baik dan membetulkan yang lemah. Tetapi kalau semua benda mahu dibantah, lama-lama suara kita sendiri hilang kredibiliti. Saya fikir, jadi ‘pembangkang’ bukan lesen untuk menolak segalanya.

Lebih membimbangkan, apabila dalil agama dipetik untuk mengukuhkan sentimen kelompok. Kita orang Islam memang beriman kepada Quran dan Nabi. Tapi, isunya ialah ayat dibaca, tetapi konteks ditinggalkan. Hukum disebut, tetapi prinsip keadilan dilupakan. Nampak? Itu namanya dalil dipergunakan, atau istilah kasar, ‘ditunggang’, bukan digunakan. Saya fikir begini, apabila agama dijadikan alat mempertahankan “kem”, bukan alat mencari kebenaran, kita sedang memperkecilkan agama itu sendiri. Dan itu yang bahaya.

Dalam konteks pendidikan, sikap ini sangat merosakkan. Dasar pendidikan tidak boleh dinilai dengan emosi. Ia mesti disemak dengan data, kajian, indikator keberhasilan. Ilmuwan, ulamak (dalam bahasa Arab) perlu mencerahkan. Bukan memanaskan suasana. Kalau sesuatu reformasi meningkatkan akses, kualiti dan ekuiti, kita akui. Kalau ada kelemahan, kita bentang bukti dan cadangan. Ni kita ada buat?

Sebagai warganegara, kita juga ada tanggungjawab patriotik. Cinta negara bukan bermaksud menutup mata terhadap kelemahan. Tetapi juga bukan bermaksud membenci setiap inisiatif hanya kerana ia datang daripada kerajaan semasa. Kita boleh berbeza pendekatan, tetapi hala tuju negara mesti kita fikir bersama. Kalau semuanya kita politikan, akhirnya yang rugi anak-anak kita sendiri. Yang lebih ironi, kita juga yang mendesak orang politik untuk masuk campur. Aneh aneh sahaja…

Beginilah, ye… Dalam pendidikan khususnya, menjadi baik itu penting. Tetapi menjadi betul juga penting. Niat yang baik tanpa asas fakta, boleh membawa kerosakan. Ketegasan yang kononnya mempertahankan prinsip, tetapi dibina atas fanatisme, itu ekstrem. Dan ekstremisme pemikiran tidak pernah melahirkan tamadun yang sihat. Ya, memang tidak pernah. Malah, ia melahirkan ekstrem di sebelah satu pihak lagi.

Ramadan datang untuk melatih jiwa. Menundukkan ego. Mengajar kita jujur, bukan sahaja pada Tuhan, tetapi pada diri sendiri. Kalau kita masih menolak yang benar hanya kerana ia bukan dari pihak kita, maka latihan Ramadan belum benar-benar menyentuh hati. Begitu juga jika kita menyokong membuta tuli hanya kerana ia dari kelompok sendiri. Bukankah matlamat Ramadan itu sendiri laallakum tattaqun, iaitu semoga kita mendapat taqwa? Ke kita lupa? %

Akhirnya, saya nak ajak kita fikir sejenak. Sokong yang benar. Bangkang yang salah. Tetapi setiap bantahan mesti datang bersama alternatif atau justifikasi jelas. Setiap sokongan pula mesti lahir daripada penilaian yang rasional. Jangan asal bangkang. Jangan asal buat. Kita ini masyarakat berilmu. Kita ini bangsa yang mahu maju.

Atau sebenarnya Mahu Tapi malu?

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top