Hentikan Kekeliruan Dan Mengelirukan.

Setiap kali keputusan SPM diumumkan, ruang awam kita dipenuhi tafsiran, perbandingan dan tuduhan. Ada yang menyusun ranking sekolah, ada yang mempersoalkan ketelusan, dan ada yang membuat kesimpulan tergesa-gesa. Di sinilah kita perlu berhenti seketika dan berkata dengan tegas, sudah-sudahlah.. hentikan kekeliruan ini, dan hentikan mengelirukan pula masyarakat.

Masalahnya bukan sekadar pada angka, tetapi pada cara kita memahami pendidikan. Kita masih melihat pendidikan sebagai perlumbaan, sedangkan hakikatnya ia adalah proses membina manusia. Apabila sekolah disusun berdasarkan satu angka seperti gred purata, lalu diumumkan siapa terbaik, kita sedang menyederhanakan sesuatu yang sangat kompleks.

Hakikatnya, sekolah di Malaysia tidak seragam. Alirannya pelbagai, dari sains tulen, gunaan, teknikal, vokasional, agama, sukan, seni, pendidikan khas, kemanusiaan, masing-masing dengan tujuan, pendekatan dan keperluan berbeza. Mata pelajaran tidak sama, tahap kesukaran berbeza, malah profil murid dan sumber juga tidak seragam.

Dalam keadaan ini, membandingkan sekolah melalui satu angka bukan sahaja tidak tepat, tetapi tidak sah dari sudut analisis.

Lebih memburukkan keadaan apabila analogi yang salah digunakan, seperti “sukan pun ada ranking”. Ini tidak tepat. Dalam sukan, semua peserta berada dalam kategori dan peraturan yang sama. Dalam pendidikan, konteksnya berbeza-beza. Maka, memaksakan logik sukan ke dalam pendidikan hanyalah menambah kekeliruan.

Kita juga perlu faham fungsi sebenar gred purata. Sama ada GPN, GPS atau GPMP, ia bukan alat pertandingan. Ia adalah alat pemantauan dalaman. Tujuannya untuk melihat perkembangan, sama ada adakah kita bertambah baik, di mana kelemahan, dan bagaimana penambahbaikan boleh dibuat.

Perbandingan yang sah ialah antara kita dengan pencapaian kita yang lalu. Sebab itu laporan tahunan membandingkan prestasi semasa dengan tahun sebelumnya, kerana konteksnya setara. Tetapi apabila kita membandingkan sekolah yang berbeza aliran, latar dan struktur dalam satu ranking, kesimpulan yang terhasil pasti menyimpang.

Lebih mengelirukan apabila perbandingan ini dikaitkan pula dengan pentaksiran antarabangsa yang berbeza dari segi tujuan, kaedah dan kepentingan. Ini bukan sahaja tidak tepat, tetapi menambah kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa yang sama, kita perlu membetulkan satu lagi salah faham besar tentang ketelusan. Tidak semua perkara yang tidak didedahkan secara terperinci bermaksud ia tidak wujud atau tidak betul. Banyak proses dalam peperiksaan bersifat teknikal, dikawal oleh peraturan dan kerangka perundangan, serta diurus secara profesional untuk menjaga integriti.

Proses seperti standardisasi atau standard fixing memang wujud dan bertujuan memastikan keadilan antara tahun, bukan memanipulasi keputusan. Namun apabila perkara ini disalah tafsir, ia mudah dijadikan bahan tuduhan seperti “grade inflation” tanpa bukti. Hakikatnya, pelarasan ini dibuat secara sistematik dan berasaskan analisis profesional bagi memastikan calon tidak dizalimi oleh variasi aras kesukaran kertas. Tanpa proses ini, barulah wujud ketidakadilan, kerana keputusan tidak lagi mencerminkan keupayaan sebenar calon secara setara antara tahun.

Lebih membimbangkan apabila angka-angka entah dari mana yang tidak sahih, kononnya markah lulus atau markah untuk gred tertentu, disebarkan sehingga membentuk persepsi kononnya sistem tidak telus. Walhal hakikatnya, standard SPM hari ini berdiri atas asas yang sama yang telah digunakan dan dipercayai sejak puluhan tahun, termasuk oleh generasi terdahulu. Tapi, yang dari mana-mana entah, yang itulah yang dipercayai.

Lebih serius, apabila kita mempertikaikan keputusan tanpa asas, kita sebenarnya sedang mempertikaikan pencapaian murid dan usaha guru. Walaupun niatnya kononnya mahu “kritik sistem”, kesannya tetap sama, ia merendahkan hasil yang telah dicapai. Murid, guru, ibu bapa… Semuanya.

Lebih ironik, apabila berlaku peningkatan, muncul pula tuduhan tidak berasas, kononnya tidak telus, kononnya dimanipulasi. Sebab itu, saya tegaskan, ini bukan sekadar kritikan, tetapi satu bentuk penghinaan tidak langsung kepada guru dan murid yang telah berusaha. Ia seolah-olah menuduh kejayaan itu palsu, dan jerih payah itu tidak bernilai. Lebih parah, ia membunuh keyakinan anak-anak terhadap usaha mereka sendiri, satu sikap yang bukan sahaja tidak adil, tetapi kejam terhadap masa depan mereka.

Akhirnya, kita harus sedar bahawa perbahasan ini bukan sekadar isu pendidikan, tetapi isu kenegaraan. Pendidikan ialah asas masa depan negara. Jika kita terus menyebarkan kekeliruan, kesannya bukan sahaja menghakis kepercayaan terhadap sistem.

Lebih besar daripada itu, kita sedang mencabar kredibiliti SPM itu sendiri. Apabila SPM dipersoalkan tanpa asas, nilai sijil itu turut terjejas, dan ini bukan hanya melibatkan calon hari ini, tetapi seluruh generasi yang pernah melaluinya, termasuk kita sendiri. Sebab itu, perbahasan ini perlu berlandaskan fakta, bukan emosi. Jika tidak, yang rosak bukan sekadar persepsi, tetapi asas kepercayaan terhadap sistem pendidikan negara. Siapa yang akan beruntung apabila SPM dipersoalkan dan dihina? Siapa yang akan rugi?….

Jadi, hentikan kekeliruan ini.

Gunakan data untuk memperbaiki diri, bukan untuk membanding orang lain. Fahami konteks sebelum membuat kesimpulan. Dan yang paling penting, kembalikan pendidikan kepada tujuan asalnya, iaitu membina manusia, dan membina negara.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top