Catatan Perjalanan Pendidikan di Finland – Siri 2

Memahami Konteks dan Latar Negara Finland

Finland sering diangkat sebagai contoh ideal dalam perbincangan soal pendidikan. Namun, izinkan saya mengajak rakan-rakan melihat Finland bukan dari dalam bilik darjah semata-mata, tetapi dari luar pagar sekolah. Maksudnya, kita menelusuri demografi, ekonomi, budaya, bahasa, cuaca, sehingga cara negara ini ditadbir. Di situlah sebenarnya terletak sebab mengapa reka bentuk sekolah dan sistem pendidikan mereka selari dengan keperluan negara itu sendiri. Tanpa konteks ini, perbandingan mudah menjadi tidak adil, malah berisiko mengelirukan kita semula.

Finland mempunyai sekitar 5.6 juta penduduk, jauh lebih kecil berbanding banyak negara lain, malah lebih kecil daripada populasi beberapa negeri di Malaysia. Kepadatan penduduknya sekitar 18 orang bagi setiap kilometer persegi, berbanding Malaysia yang melebihi 100 orang/km². Lebih penting, Finland sudah pun termasuk dalam kategori negara menua (ageing country). Sekitar 23% penduduknya berumur 65 tahun ke atas, berbanding Malaysia sekitar 7%.

Kadar kelahiran Finland juga rendah, iaitu sekitar 10.36 kelahiran bagi setiap 1,000 orang, manakala Malaysia mencatat kira-kira 20.41 kelahiran bagi setiap 1,000 orang. Umur median Finland ialah 44 tahun, sedangkan Malaysia sekitar 31 tahun. Akibatnya, bilangan murid di Finland kecil dan di banyak kawasan luar bandar semakin menyusut. Inilah konteks paling penting untuk difahami sebelum kita berbicara tentang sekolah dan bilik darjah.

Kedua, dari aspek homogeniti penduduk. Secara relatif, Finland ialah sebuah negara yang sangat homogen. Secara tradisi, lebih 90% penduduknya ialah etnik Finland, menjadikannya antara negara paling homogen di Eropah. Imigran pula sekitar 8–9% sahaja. Implikasinya kepada sekolah amat besar: murid datang dengan latar budaya yang hampir seragam, jurang sosioekonomi yang tidak terlalu ekstrem, dan norma sosial yang dikongsi bersama. Sekolah tidak perlu berfungsi sebagai tapak pengurusan konflik identiti atau perbezaan budaya yang besar.

Dalam soal bahasa, Finland mempunyai dua bahasa rasmi, Bahasa Finnish sebagai bahasa majoriti dan Bahasa Swedish sekitar 5%. Hampir seluruh rakyat pula menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, dengan tahap penguasaan antara yang tertinggi di dunia. Maka, bahasa di rumah, di sekolah dan dalam masyarakat tidak bercanggah secara besar. Konsistensi linguistik ini mengurangkan beban kognitif murid, khususnya pada peringkat awal pembelajaran.

Ketiga, dari sudut ekonomi dan GDP. Finland, secara umumnya, boleh dikatakan sebuah negara kaya. GDP per kapita sekitar USD 50,000, menempatkannya dalam kelompok negara berpendapatan tinggi. Sebagai perbandingan, GDP per kapita Malaysia sekitar USD 12,000. Ekonomi Finland berasaskan teknologi, perkhidmatan dan pembuatan bernilai tambah tinggi. Jurang kaya–miskin pula relatif kecil. Ketaksamaan pendapatan rendah dengan pekali Gini sekitar 27.4, berbanding Malaysia sekitar 40.7 (di mana nilai 0 mewakili kesamarataan sempurna dan 100 ketaksamaan sempurna).

Namun, kekayaan ini disokong oleh model negara kebajikan (welfare state) melalui sistem percukaian yang tinggi. Cukai pendapatan individu di Finland boleh mencecah 50% atau lebih, berbanding Malaysia antara 0% hingga 20% bergantung kepada individu. Cukai penggunaan di Finland pula sekitar 25.5% melalui VAT, manakala Malaysia menggunakan SST 5–10%. Hasil cukai inilah yang membiayai pendidikan percuma sepenuhnya termasuk makanan sekolah (school lunch), penjagaan kesihatan, pengangkutan awam, serta jaringan keselamatan sosial. Ringkasnya, pendidikan berkualiti di Finland bukan murah, tetapi dibiayai secara kolektif dan dipersetujui rakyatnya.

Dari aspek geografi dan cuaca, Finland terletak hampir dengan Kutub Utara. Negara ini mengalami musim sejuk sekitar 5–6 bulan setahun, dengan suhu boleh mencecah –20°C hingga –30°C. Waktu siang juga sangat pendek pada musim tertentu. Malah pada musim panas, suhu sekitar 15°C hingga 25°C, jika di Malaysia, ini menyamai suhu tanah tinggi seperti Genting Highlands. Akibatnya, murid banyak menghabiskan masa di dalam bangunan. Justeru, reka bentuk bangunan sekolah, pencahayaan, dan keselesaan dalaman menjadi keutamaan, bukan sekadar estetika, tetapi keperluan hidup.

Dari sudut tadbir urus, Finland ialah sebuah negara unitary berskala kecil. Autonomi besar diberikan kepada municipality, setara dengan majlis perbandaran yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan awam utama seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan bekalan air. Municipality ini juga mempunyai hak mengenakan cukai pendapatan tempatan. Pentadbiran dijalankan oleh majlis perbandaran yang dipilih penduduk untuk tempoh empat tahun.

Pada masa ini, Finland mempunyai 308 municipalities, dan lebih separuh daripadanya mempunyai kurang daripada 6,000 penduduk. Dalam konteks ini, kementerian pusat menetapkan hala tuju dan kerangka dasar, manakala municipalities menjadi pelaksana di peringkat akar umbi. Rantaian keputusan pendek, dan penyesuaian tempatan berlaku secara organik.

Saya sengaja menghuraikan konteks dan latar asas ini sebagai gambaran makro kepada ekosistem pendidikan Finland. Justeru, apabila kita ingin belajar daripada Finland, termasuk mendengar dapatan daripada perjalanan dan pemerhatian saya bersama pasukan, kita perlu memahami konteks ini terlebih dahulu.

Hanya dengan cara itu, perbincangan tentang sekolah, guru dan murid dapat dibuat secara adil, matang dan berlandaskan realiti; realiti Finland dan realiti Malaysia.

DR

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top