Dari Generasi Buta Huruf ke Kebangkitan Pendidikan

Pada tahun 2021, kita sudah menerima amaran awal bahawa pandemik COVID-19 meninggalkan kesan yang berat terhadap asas pembelajaran anak-anak. Laporan media ketika itu menyebut sekitar 70 peratus murid prasekolah di Lembah Klang gagal menguasai kemahiran asas 3M. Itu bukan sekadar kebimbangan sementara, tetapi isyarat awal bahawa asas sistem pendidikan sedang retak.

Hakikatnya, gangguan ini bukan kecil. Dalam konteks Malaysia, tempoh penutupan sekolah dianggarkan sekitar 5.8 bulan atau 174 hari, berbanding purata negara OECD sebanyak 4.4 bulan atau 132 hari, beza 42 hari. Dalam dunia pendidikan, 42 hari itu bukan angka remeh. Ia cukup untuk mengganggu kesinambungan pembelajaran, melemahkan asas literasi dan numerasi, dan meninggalkan kesan jangka panjang kepada murid.

Kesan itu akhirnya muncul dalam data. Apabila keputusan PISA 2022 diumumkan pada 2023, ia mengesahkan bahawa murid Malaysia di peringkat menengah juga berhadapan cabaran besar. Skor literasi matematik, bacaan dan sains semuanya merosot, malah dalam beberapa aspek lebih rendah berbanding pusingan 2012. Ini memberi gambaran jelas, bahawa kerosakan itu bukan sahaja di peringkat rendah, tetapi merentasi keseluruhan sistem.

Apabila YB Fadhlina Sidek mengambil alih pentadbiran Kementerian Pendidikan pada tahun 2023, semua ini bukan lagi teori. Ia adalah realiti di bilik darjah. Dan pada tahun 2024, saringan awal Kementerian Pendidikan mengesahkan sepenuhnya kebimbangan tersebut apabila lebih 122,000 murid Tahun 1 dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Maka, kita tidak ada pilihan lain melainkan untuk mengakui ini cabaran pembelajaran yang bersifat generasi. Kita perlukan pemulihan dari prasekolah sehinggalah ke menengah. Total reform!

Kita perlu jujur. Ini bukan soal politik, tetapi soal sejarah sistem. Pendidikan tidak berlaku dalam vakum. Ia datang dengan legasi atau warisan, isu literasi yang rapuh, beban tugas guru, sekolah daif, tandas rosak, kelas padat. Literasi hanyalah satu simptom kepada masalah yang lebih besar. Maka, untuk memahami reformasi hari ini, kita tidak boleh mengasingkan isu-isu ini. Sudah tentu, kita perlu keluar daripada naratif simplistik dan perlu melihat hal ini secara menyeluruh.

Sebab itu, tiga tahun pertama, dari 2023 sehinggalah 2025, ia tidak diisi dengan perubahan dasar yang drastik. Sebaliknya, pendekatan yang diambil lebih membumi, iaitu membaiki pelaksanaan dan penyampaian. Pentadbiran diperkemas, keutamaan disusun semula, dan beban guru dirasionalisasikan supaya mereka kembali kepada tugas utama, iaitu mengajar. Kurikulum tidak lagi sekadar dihabiskan, tetapi difahami. Autonomi telah mula diberikan. Panduan pengajaran yang nampaknya remeh juga diberikan kepada guru melalui penjajaran semula kurikulum.

Dalam masa yang sama, fokus diberikan kepada asas, literasi dan numerasi. Data menunjukkan pada tahun 2023, seramai 76,262 murid Tahun 2 belum menguasai 3M. Tahun 2024, angka ini menurun kepada 73,736, dan Alhamdulillah, pada 2025, turun dengan lebih ketara kepada 49,677 murid. Ini bermakna lebih 26,000 murid berjaya dipulihkan dalam tempoh dua tahun. Ini bukan angka kecil. Ini perubahan yang nyata.

Pendekatan juga berubah. Daripada sistem seragam kepada intervensi berfokus. Daripada tunggu murid gagal kepada kesan awal dan pulih segera. Guru kini bukan sekadar penyampai kandungan, tetapi pengesan masalah dan pemulih pembelajaran. Ini reformasi sebenar, senyap tetapi berkesan. Sekolah juga dikategorikan kepada Sekolah Fokus, Aspirasi dan Inspirasi untuk intervensi berfokus.

Hasilnya mula kelihatan. Dalam penilaian serantau seperti SEA-PLM 2024, pencapaian literasi, khususnya penulisan murid Tahun 5, menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Ini mengesahkan satu perkara penting, iaitu apabila asas diperbaiki di peringkat awal, kesannya akan muncul di peringkat seterusnya.

Di peringkat SPM, naratif yang sama dapat dilihat. Keputusan menunjukkan peningkatan konsisten dari tahun 2021 hingga 2025. Tetapi konteksnya penting. Ini adalah kohort yang melalui pembelajaran paling mencabar, pandemik, PdPR, jurang akses. Malah, ini juga kohort pertama tanpa UPSR dan PT3. Generasi ini, kami sebutnya sebagai yang punya daya tahan.

Kerana, dalam keadaan itu, mereka tetap menunjukkan peningkatan. Lebih menarik, dari sudut kehadiran calon, perubahan yang berlaku juga signifikan. Buktinya, pada SPM 2022, ketidakhadiran melebihi 14,000 calon. Tetapi melalui pelbagai intervensi, angka ini berjaya dikurangkan kepada sekitar 7,000 calon pada SPM 2025, penurunan sekurang-kurangnya 50 peratus. Ini bukan kebetulan. Ini usaha yang tersusun.

Jadi apabila ada yang mengatakan kejayaan ini kerana gred diturunkan atau peperiksaan dimudahkan, kita perlu berani menyatakan, itu tidak adil. Ia menafikan usaha murid, merendahkan kerja guru, dan memperlekehkan sistem yang telah lama menjadi penanda aras negara.

Hakikatnya, ini adalah hasil usaha kolektif. Dari kementerian yang menetapkan hala tuju, kepada sekolah yang melaksanakan, kepada guru yang berhadapan dengan realiti murid setiap hari. Ini bukan kejayaan individu. Ini kejayaan sistem yang sedang diperbaiki. Proses pemulihan pembelajaran semakin berhasil.

Masuk tahun 2026, reformasi ini diperkukuh. Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 dilancarkan sebagai pelan jangka panjang. Kurikulum prasekolah baharu diperkenalkan, mengiktiraf bahawa asas pendidikan bermula lebih awal. Kita tidak lagi boleh menerima hakikat bahawa hampir 5% atau sekitar 60,000 murid tidak pernah melalui prasekolah. Kita perbaiki dari akar.

Melalui Kurikulum Persekolahan 2027, fokus diberikan secara tegas kepada Tahap 1, iaitu murid Tahun 1 dan Tahun 2 untuk menguasai sepenuhnya 3M. Kita tidak mahu lagi masalah ini berlarutan sehingga ke Tahun 6 atau SPM. Kita hentikan lebih awal. Kita juga akan menambah bilangan guru, menambah lebih banyak sekolah, membaiki lebih banyak sekolah daif di seluruh negara. Tiga tahun pertama sahaja, kita telah komited membina lebih 79 buah sekolah baharu.

Dasar lain turut menguatkan ekosistem seperti dasar pendidikan wajib sehingga menengah serta Akta Anti Buli 2025 yang berkuat kuasa mulai tahun ini. Kerana mutu pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi juga soal akses, keselamatan dan kesejahteraan.

Akhirnya, ini yang perlu kita faham. Reformasi ini bukan sekadar perubahan dasar. Ini adalah usaha membina semula asas pendidikan negara dalam keadaan yang sangat mencabar. Kita boleh terus mengkritik, tetapi kita juga perlu berlaku adil.

Kerana buat pertama kalinya dalam tempoh yang lama, kita bukan sekadar bercakap tentang masalah pendidikan. Kita sedang bekerja keras untuk menyelesaikannya. Ya, masih jauh dari sempurna. Masih banyak yang perlu dikerjakan.

Sebab itu saya kata, jangan asyik politikkan sesuatu yang sebenarnya sedang diselamatkan. Ini bukan sekadar soal angka peperiksaan. Ini soal masa depan anak-anak kita.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top