Tahukah kita, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, guru-guru di seluruh dunia semakin banyak meluangkan masa untuk bekerjasama?
TALIS 2024 mendapati guru sepenuh masa kini memperuntukkan kira-kira tiga jam seminggu untuk berbincang, berkongsi idea, dan merancang bersama rakan sekerja, meningkat di 28 negara berbanding tahun 2018. Tiada satu pun sistem pendidikan yang menunjukkan penurunan. Menarik, bukan?
Apa yang lebih menarik, dapatan ini membuktikan satu perkara penting: guru yang berkolaborasi dengan lebih kerap, lebih berjaya mencapai matlamat pengajaran mereka. Namun, ironinya, hanya sekitar 9% guru benar-benar melibatkan diri dalam amalan seperti memerhati kelas rakan dan memberi maklum balas secara tetap. Tapi di beberapa tempat seperti Kazakhstan, Shanghai, Uzbekistan dan Vietnam, lebih 50% guru melakukannya! Ya.. Vietnam salah satunya.
Bayangkan betapa banyak yang boleh kita belajar antara satu sama lain jika budaya itu menjadi norma di sekolah kita.
Dan ada sesuatu yang hebat di sebalik kolaborasi ini, dan ia bukan sekadar soal kerja bersama, tetapi juga soal percaya diri dan yakin dengan profesion kita sendiri.
Guru yang kerap berbincang tentang perkembangan murid atau bertukar bahan pengajaran dilaporkan mempunyai tahap keyakinan profesional (self-efficacy) yang jauh lebih tinggi.
Mereka bukan sekadar mengajar, tetapi berkembang bersama komuniti guru yang menyokong satu sama lain.
Menariknya, hubungan profesional ini bukan sahaja membina kemahiran, malah ia juga memberi kesan besar kepada kesejahteraan emosi guru. Guru yang mempunyai hubungan baik dengan pengetua, rakan sejawat, murid dan ibu bapa, melaporkan tahap kepuasan kerja dan kesejahteraan diri yang jauh lebih tinggi.
Di peringkat global, 86% guru percaya mereka boleh bergantung antara satu sama lain. Namun, angka ini sedikit menurun di sepuluh sistem pendidikan berbanding lima tahun lalu. Mungkin ini petanda bahawa tekanan kerja moden telah mula menggugat rasa kebersamaan di sekolah.
Lebih 90% guru juga melaporkan hubungan positif dengan murid, satu petanda bahawa budaya kasih sayang dan empati masih kuat di ruang kelas. Tapi yang sedikit menyedihkan, hanya dua daripada tiga guru merasakan ibu bapa benar-benar menghargai profesion mereka. Bagaimana di Malaysia? Adakah kita berhadapan situasi tersebut?
Perbezaannya ketara antara negara. Misalnya, di Arab Saudi, UAE, Uzbekistan dan Vietnam, penghargaan terhadap guru sangat tinggi, tetapi di Jepun, Perancis, Croatia dan Belgium, kurang separuh guru berasa dihargai.

Jadi, apa sebenarnya yang TALIS 2024 cuba beritahu kita?
Ia bukan sekadar tentang angka dan peratusan. Ia tentang manusia di sebalik bilik darjah, tentang rasa percaya, saling sokong, dan nilai kemanusiaan yang mengikat kita sebagai pendidik.
Kalau kita mahu sistem pendidikan yang benar-benar kuat, kita perlu bermula dengan satu hal, iaitu membina budaya kolaborasi yang tulen, bukan hanya di atas kertas, tetapi di hati setiap guru.
Menariknya, dapatan TALIS 2024 ini muncul tepat pada waktunya, di saat Malaysia sedang bersiap melangkah ke Kurikulum Baharu 2027, dengan pengenalan komponen baharu yang dinamakan “Alam dan Manusia”.
Empat mata pelajaran akan dimansuhkan dan akan digabungkan menjadi satu mata pelajaran, Pembelajaran Bersepadu. Jadi, murid bukan lagi belajar secara terasing, tetapi melihat dunia sebagai satu keseluruhan yang saling berkait.
Namun, di sebalik idealisme itu, soalan besarnya ialah, adakah budaya kolaborasi kita sudah cukup matang untuk menjayakannya?
Kurikulum bersepadu tidak akan hidup hanya dengan dokumen dan jadual waktu baharu. Ia menuntut satu anjakan budaya di sekolah, di mana guru tidak lagi bekerja dalam “silo” subjek masing-masing.
Saya berpandangan, Kementerian juga amat berhati-hati dalam melaksanakan pendekatan ini, lantas memulakannya HANYA KEPADA MURID TAHAP SATU, iaitu murid tahun satu dan tahun dua. Mata pelajaran yang digabungkan pula melibatkan disiplin ilmu asas, iaitu Sains, Kesihatan, Seni Visual, Muzik, Teknologi Digital dan elemen TVET.
Pendekatan co-teaching yang dicadangkan itu kedengaran indah di atas kertas. Tetapi realitinya, ia memerlukan trust capital, iaitu KEPERCAYAAN PROFESIONAL antara guru yang hanya tumbuh dalam ekosistem kolaboratif yang tulen, seperti yang ditekankan TALIS. Tanpa itu, co-teaching akan rosak kerana kekurangan KOMPETENSI DAN INTEGRITI, SERTA SET MINDA yang beku dan kaku.
Mungkin inilah masa untuk kita berhenti sejenak dan bertanya, adakah sistem kita membina guru yang saling bersaing, atau guru yang saling menyokong? Atau lebih parah, guru yang saling menjatuhkan?
Yang mana kita? dalam sistem pendidikan kita?
DR




