Ada sesuatu yang menarik dalam Kurikulum Persekolahan 2027. Masa kita kecil dahulu, masih ingat kah mata pelajaran Alam dan Manusia? haaa…..
Saya nak kongsikan ni… Dalam Kurikulum Persekolahan 2027, mata pelajaran Alam dan Manusia akan kembali… yaaa….
Kita bakal menyaksikan kembalinya satu mata pelajaran yang pernah membentuk cara kita melihat dunia ketika kecil dulu, Alam dan Manusia.
Cuma kali ini, ia datang dengan wajah baharu, dikenali sebagai Pembelajaran Bersepadu (PB).
Ia bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi satu langkah besar untuk menyusun semula makna pendidikan untuk memaknakan pendidikan yang holistik dan bersepadu.
Kita selalu sebut tentang pembelajaran yang holistik. Tentang murid yang bukan hanya tahu, tapi faham, merasa, dan hidup dengan ilmu itu.
Pembelajaran Bersepadu (PB) ialah ikhtiar ke arah itu, iaitu dengan menyatukan ilmu, nilai dan pengalaman dalam satu ruang belajar yang hidup. PB Tahap 1, misalnya akan menggabungkan pelbagai disiplin ilmu asas seperti sains, kesihatan, seni visual, muzik, teknologi digital dan elemen TVET,
Menariknya, PB Tahap 1 akan dilaksanakan melalui pendekatan co-teaching, atau pengajaran berpasukan. Apa maksudnya?
Dua orang guru, contohnya, mungkin guru sains dengan guru seni, atau guru muzik dengan guru kesihatan berganding tenaga dalam satu kelas. Mereka merancang bersama, mengajar bersama, dan menilai bersama.
Bayangkan suasananya.
Guru sains menerangkan konsep getaran, guru muzik pula membantu murid mencipta alat muzik mereka sendiri. Ilmu jadi hidup. Murid belajar bukan sekadar dengan kepala, tapi dengan hati dan tangan.
Gabungan sains, kesihatan, seni, muzik, teknologi digital dan elemen TVET pada Tahap 1 memberi mesej yang kuat bahawa pendidikan awal harus merangsang curiosity-driven learning, iaitu membina rasa ingin tahu dan kreativiti, bukan sekadar penguasaan fakta.
Pendekatan co-teaching pula sebenarnya ialah satu anjakan budaya profesional. Ia menggalakkan kolaborasi antara guru pelbagai bidang, membina sinergi antara pedagogi dan kandungan.
Secara organisasi, ia menuntut perancangan masa, penilaian bersama, dan refleksi kolektif, budaya yang kita perlukan untuk menjadikan sekolah sebagai komuniti pembelajaran yang hidup.
Pelik sangat ke?
Sebenarnya, co-teaching bukanlah asing dalam persekolahan di Malaysia. Program kelas tasmik JQAF telah lama membuktikan keberkesanannya.
Malah, dua guru dalam satu kelas juga mampu menangani masalah kelas padat yang menyebabkan murid sukar memberi tumpuan dan akhirnya tercicir.
Sementara kita melaksanakan intervensi terhadap kemudahan fizikal sekolah, pendekatan ini menjadi alternatif terbaik bagi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif dan berkesan.
Bagi Tahap 2, dua kluster utama diperkenalkan, iaitu Sains & Teknologi serta Kemanusiaan.
Langkah ini persis model pembelajaran tematik bersepadu di negara seperti Finland, Jepun dan New Zealand, di mana kurikulum disusun bukan mengikut subjek, tetapi mengikut bidang makna (domains of meaning).
Pendekatan ini membolehkan murid melihat hubungan antara sains dan kemanusiaan, antara teknologi dan nilai, antara data dan emosi, kecekapan penting untuk abad ke-21.
Saya fikir, Alam dan Manusia versi 2027 bukan sekadar nostalgia masa lalu. Ia adalah evolusi dan langkah ke hadapan dalam membina sistem pendidikan yang menghubungkan ilmu, nilai dan kehidupan sebenar.
DR




