Pendirian saya konsisten dan jelas, jika UPSR dan PT3 kembali, ia tidak boleh lagi dan tidak wajar kembali dalam bentuk lama. Secara logik dan strategik, namanya mungkin berbeza, strukturnya berubah, dan yang paling penting, semangat serta falsafahnya mesti berevolusi.
Secara tradisi, UPSR dan PT3 dibina atas falsafah
pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Ia berlaku di hujung kitaran, Tahun Enam dan Tingkatan Tiga, dan menghasilkan gred, peratus, atau suatu label pencapaian. Namun hakikatnya, data tersebut tidak lagi memberi nilai pembaikan kepada murid di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah. Murid sudah tamat fasa itu. Maknanya, data itu lebih bersifat retrospektif, bukan transformatif. Dengan kata lain, manfaat itu bukan untuk murid itu seterusnya. It’s done deal.
Sebaliknya, jika kita beralih kepada falsafah pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning), logiknya berbeza sama sekali. Pencapaian murid, sama ada dalam bentuk gred, tahap penguasaan atau indikator tertentu, digunakan semula sebagai input pedagogi. Data itu membantu guru, sekolah dan sistem menyokong pembelajaran murid pada fasa yang sepatutnya tahap persekolahan yang sama. Di sinilah nilai sebenar pentaksiran, bukan untuk menghakimi, tetapi untuk membimbing.
Maka, Hujah UPSR is working kerana sistem ini sudah proven, digunakan lebih 30 tahun, secara jujur, bukanlah hujah yang kukuh. Kesinambungan tidak semestinya kesesuaian. UPSR era 1985 memang barangkali relevan untuk konteks abad ke-20. Tetapi kita kini berada dalam abad ke-21, malah telah melalui era pasca-perubahan besar akibat pandemik COVID-19 (2020–2022). Di seluruh dunia, landskap pembelajaran telah berubah secara struktural, digital, hibrid, AI-driven, dan jauh lebih kompleks.
Jadi, ANTARA SOALAN STRATEGIK yang perlu kita jawab secara jujur ialah ini.
(I) Adakah UPSR dan PT3 ini masih masa yang sesuai untuk high-stakes examination?
(II) Adakah sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan masih relevan dalam ekosistem pembelajaran berasaskan data, teknologi dan kemahiran masa depan?
(III) Adakah falsafah pentaksiran tentang pembelajaran (assessment about learning) masih sesuai pada usia anak-anak kecil?
Dalam konteks ini, dengan menyeimbangkan polemik masyarakat yang masih mahukan suatu pengukuran berpusat ala UPSR dan PT3 ini walaupun 4-5 tahun telah berlalu tanpa UPSR dan PT3, saya berpandangan, kompromi metodologi itu mungkin boleh dilaksanakan. Kita boleh menerima keperluan kepada data nasional. Dan, saya fikir, kita masih boleh bersetuju pada prinsip seragam, serentak dan berpusat. Itu bukan masalah.
TETAPI, garis Merahnya perlu jelas, kita tidak boleh kembali kepada budaya pembelajaran yang semata-mata berorientasikan peperiksaan.
Ke hadapan, kita perlukan model baharu seperti:
(I) Data nasional yang kukuh dan boleh dipercayai. Contohnya, data mikro untuk intervensi bersasar, refleksi setiap peringkat, dari sekolah, PPD dan JPN.
(II) Pentaksiran yang low-stakes, bukan menghukum. Contoh, tidak digunakan dalam aktiviti kemasukan sekolah khusus, ranking dan perbandingan antara murid, sekolah dan negeri.
(III) Fokus kepada sokongan pembelajaran, bukan penapisan awal. Contoh, ujian pada murid tahun empat atau lima bagi peringkat sekolah rendah, dan Tingkatan dua bagi sekolah menengah rendah,
(IV) Reka bentuk yang selari dengan realiti digital, AI dan keperluan masa depan negara.
(V) Memberikan tumpuan kepada Literasi Bacaan, Penulisan, dan Literasi Numerasi sahaja, Contohnya, pentaksiran antarabangsa SEA-PLM, Matriks Pembelajaran Sekolah Rendah.
Ringkasnya, ini bukan soal kembali atau tidak, tetapi bagaimana kita mereka bentuk semula (redesign).
Jika kita bergerak ke hadapan, biarlah dengan model yang BEYOND EXAM ORIENTED mindset, PROGRESIF, berdaya tahan, dan benar-benar mempersiapkan generasi masa depan bukan sekadar mengulang skrip lama dalam konteks baharu. Ini pesan saya kepada MPPK.
DR





