Reformasi pendidikan sering kita bicarakan seolah-olah ia sekadar soal teknikal, soal seperti struktur pentaksiran, bentuk peperiksaan, atau mekanisme pelaporan. Namun semakin lama perbahasan ini berlangsung, semakin jelas bahawa isu sebenar bukan hanya pada instrumen, tetapi pada sikap kita sendiri terhadap perubahan.
Kita mahukan pembaharuan, tetapi dalam masa yang sama takut akan risikonya. Kita mengangkat naratif kepercayaan, tetapi ragu untuk benar-benar mempercayai. Di situlah konflik dalaman sistem bermula, bukan pada dasar, tetapi pada keberanian untuk melaksanakannya dengan sepenuh hati.
Dan apabila saya menyebut “kita”, ia merangkumi semua pihak, baik guru, ibu bapa, pemimpin komuniti, pembuat dasar dan masyarakat keseluruhannya. Jadi, esei ini adalah suatu refleksi kisah kita dalam menguruskan pendidikan.
Apabila wujud defisit keyakinan terhadap guru dan sekolah, persoalan yang wajar kita ajukan bukanlah siapa atau apa yang salah, tetapi apakah tindak balas yang paling bertanggungjawab sebagai sebuah negara.
Dalam konteks pengurusan penilaian, sama ada dinamakan Ujian, Pentaksiran atau Peperiksaan, adakah kita benar-benar membina keupayaan sistem secara berperingkat, melabur dalam latihan dan bimbingan, serta paling penting tetapi paling sedikit dikupas, adakah kita menerima bahawa ketidaksempurnaan ialah sebahagian daripada proses reformasi?
Atau sebenarnya, adakah kita cenderung memilih jalan pintas, jalan yang lebih mudah dan selamat, iaitu melalui pemusatan, kawalan dan pengehadan, kerana kita sendiri belum cukup yakin dengan sistem baharu yang kita bina? Yang kita sendiri tuntut sejak berzaman. Baik, cara kita menjawab semua persoalan ini sebenarnya mencerminkan tahap kematangan kita dalam mengurus perubahan.
Di sinilah refleksi kolektif perlu berlaku. Kita sering terperangkap dalam pendekatan separuh-separuh, separuh percaya, separuh berani, separuh komited. Kita menyeru profesionalisme guru, tetapi tidak melengkapkan mereka secara konsisten. Kita mahukan autonomi, kemudian diberikan autonomi, tetapi kita pula tidak sentiasa bersedia menerima variasi dan realiti yang tidak sempurna. Akhirnya, sistem bergerak dalam keadaan serba separuh hati, manakala guru dan sekolah menanggung tekanan yang tidak selalu dizahirkan.
Dalam konteks ini, satu rumusan akhir yang jujur perlu diterima, either centralize something, or aggressively professionalize teachers. Sama ada pusatkan sesuatu sebagai penanda aras, atau bina keupayaan guru secara serius dan berterusan. Namun jika kedua-duanya dibuat secara separuh jalan, hasilnya hampir pasti tidak mencapai potensi sebenar yang diharapkan.
Permintaan terhadap pemusatan penilaian pula tidak semestinya lahir daripada penolakan terhadap autonomi. Ia sering berpunca daripada defisit keyakinan terhadap keupayaan sistem itu sendiri. Apabila wujud persepsi bahawa pembinaan item tidak konsisten, penandaan tidak selaras, atau bimbingan profesional belum cukup mantap, maka pemusatan dilihat sebagai jalan yang lebih terkawal. Bukan kerana ia ideal, tetapi kerana ia dianggap lebih stabil. Adakah menyelesaikan masalah teras? Tidak, tetapi sekadar memberikan kelegaan kepada kita.
Namun, apabila kepercayaan itu Separuh-separuh, kecenderungan untuk jalan memintas mula muncul. Autonomi menjadi sesuatu yang diragui, dan akauntabiliti dituntut tanpa sokongan yang seimbang. Dalam keadaan ini, guru terpaksa menyesuaikan diri, bukan semata-mata untuk memperkukuh pembelajaran, tetapi untuk memastikan sistem kelihatan berfungsi. Yang terhakis perlahan-lahan ialah makna profesionalisme itu sendiri.
Esei ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Ia adalah seruan keinsafan bahawa negara tidak boleh diurus dengan ketakutan, ketidakpercayaan tersirat, dan komitmen separuh hati. Reformasi tidak boleh digerakkan dengan slogan semata-mata tanpa pelaburan serius dalam manusia. Jika kita benar-benar percaya guru mampu menjadi profesional bertaraf tinggi, maka mereka perlu dibina, disokong dan dipercayai secara konsisten. Segala sumber perlu ditumpukan kepada ekosistem sekolah.
(11)
Dan, satu lagi perkara, akhirnya kita berhadapan satu paradoks dalam wacana awam, buat salah, tak buat pun salah. Jika pihak lain bertindak, ia mudah diraikan. Tetapi apabila kerajaan membuat keputusan, segalanya dipersoalkan seolah-olah tiada ruang untuk pertimbangan yang rasional. Kritikan yang sihat perlu diraikan, tetapi sentimen yang berlebihan hanya melelahkan dan tidak membantu kemajuan negara.
Negara tidak boleh diurus dengan sorakan dan cercaan semata-mata. Ia perlu diurus dengan proses, kita dengar, kita berbincang, kita timbang implikasi, kemudian kita bulatkan tekad dan membuat keputusan. Selebihnya, kita bertawakkal kepada Allah Ta’ala, fatawakkal ala’allah. Kerana kepimpinan yang waras bukan tentang memuaskan semua pihak, tetapi tentang berani memikul amanah keputusan demi kepentingan negara.
Dan dalam tadbir urus negara, persetujuan semua pihak bukanlah prasyarat, walaupun amat terkait dengan pertimbangan politik.
Yang utama ialah keputusan yang terbaik untuk masa depan negara. Menyeimbangkan kedua-duanya ini, itu satu kebijaksanaan.
DR





