Kita sudah melihat pencapaian SPM generasi pasca-PPSMI (2012) dan pra-DLP (2016), serta pemansuhan peperiksaan awam PT3.
Sebelum ini, saya berkongsi kisah dan kronologi bagaimana idea pelaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris melalui dasar PPSMI bermula pada tahun 2003 dan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2011, dan murid darjah satu pada tahun 2012 mula diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Pada tahun 2016, secara tiba-tiba, DLP pula bermula. Bezanya, DLP dilaksanakan secara pilihan dengan syarat tertentu selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan. Maka, DLP diletakkan di bawah Dasar MBMMBI.
Malaysia dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021, dan kerajaan pada waktu itu memutuskan bagi memansuhkan peperiksaan awam peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, iaitu UPSR dan PT3.
Bab ini berkongsi kesan pemansuhan PPSMI pada tahun 2011 terhadap kumpulan kohort murid yang terkesan, dan kohort yang belum bermula DLP pada tahun 2016 yang mungkin banyak yang tidak tahu.
Kohort murid darjah satu pada tahun 2012 adalah kohort pertama PPSMI dimansuhkan, dan kembali belajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Kohort ini berhadapan dengan SPM tahun 2022, iaitu tahun pertama negara keluar dari kendala pandemik COVID-19.
Disusuli dengan kohort murid darjah satu pada tahun 2013, yang mana SPM mereka adalah pada tahun 2023. Keputusan SPM mereka baru diumumkan baru-baru ini. Kohort ini juga adalah kohort pertama yang tidak mengambil PT3. Yang menarik, SPM mereka adalah terbaik dalam tempoh perbandingan 13 tahun, iaitu semenjak tahun 2010.
Perkara ini menunjukkan pencapaian SPM kohort ini lebih baik daripada kesemua kohort PPSMI semenjak diperkenalkan mulai tahun 2003 bagi murid tingkatan satu, yang mana SPM mereka adalah pada tahun 2007 sehinggalah tahun 2017.
Pencapaian Sains dan Matematik SPM tahun 2023 begitu positif, ketimbang SPM tahun 2021 yang mana tahap soalan KBAT adalah 50% mulai tahun 2021, justeru sesuai dibuat perbandingan secara langsung, berbanding dengan lain-lain tahun. Kohort SPM tahun 2021 juga adalah kohort PPSMI terakhir. Malah bilangan calon gagal mata pelajaran Matematik berkurang lebih 10,000 orang pada tahun 2023 berbanding dengan tahun 2021. Ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan memandangkan negara baru dua tahun keluar daripada pandemik COVID-19.
Ada tiga faktor pemboleh ubah utama apabila merujuk kepada kohort SPM tahun 2023 ini. Pertama, kohort ini kohort pertama menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pasca-PPSMI dimansuhkan. Kedua, kohort ini tidak melalui sistem peperiksaan awam PT3. Ketiga, kohort ini adalah kohort kedua kurikulum KSSR (yang bermula pada tahun 2011) yang menekankan KBAT.
Ada cabaran lain yang mereka lalui sebenarnya. Mereka ialah kohort kedua mangsa pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19, iaitu semasa mereka di tingkatan dua dan tiga. Namun, mujur mereka adalah generasi pasca-COVID-19 semasa dalam peringkat menengah atas (tingkatan empat dan lima) sepenuhnya. Itu dapat membantu mereka berbanding dengan kohort sebelumnya. Namun begitu, sekiranya dibandingkan dengan generasi sebelum COVID-19, pencapaian mereka secara makro masih lagi terbaik.
Berdasarkan data ini, saya melihat perkara berikut:
a) Dalam konteks makro pendidikan, kelihatannya pembelajaran dengan menggunakan bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik lebih baik dari segi pencapaian, pemikiran tahap tinggi, dan minat kepada aliran STEM, dan ini terbukti kepada kohort ini, apabila trend enrolmen STEM pada tahun 2022 dan 2023 meningkat semula selepas merosot sekian lama;
b) Ketiadaan peperiksaan awam pada peringkat menengah rendah (dan sekolah rendah) tidak menyebabkan murid terjejas dalam peperiksaan peringkat persijilan SPM pada akhir tahun persekolahan, malah lebih baik berbanding dengan generasi “exam-oriented” sebelumnya;
c) Kurikulum berasaskan standard, KSSR dan KSSM yang memberikan penekanan kepada KBAT serba sedikit menjejaskan pencapaian murid, iaitu bertambahnya murid gagal, namun secara keseluruhannya, secara makro, gred purata kebangsaan meningkat dan pengamalannya semakin baik dari tahun ke tahun.
Oleh itu, saya menjangkakan empat kohort bebas PPSMI (2012) dan sebelum DLP (2016), kohort KSSR dan KSSM, dan kohort tiada peperiksaan awam UPSR dan PT3, iaitu generasi murid SPM tahun 2022, SPM tahun 2023, SPM tahun 2024 dan SPM tahun 2025 akan menjadi kohort terbaik dalam sejarah pencapaian SPM.
Ini ramalan saya.
….
Nota: Artikel ini ditulis pada 2023 dan diterbitkan dalam buku Pendidikan yang Dihitamkan (2025). Hari ini, saya paparkan kembali dalam hantaran kali ini untuk paparan dan bacaan semua.





