Kita kena faham BDR ini bukan cerita “nak senang kerja dari rumah”. Itu tafsiran yang terlalu cetek. Dalam konteks sekarang, dengan konflik Asia Barat, ketidaktentuan harga minyak, dan tekanan kepada ekonomi global, BDR ini sebenarnya sebahagian daripada langkah negara untuk bertahan dan mengawal kos.
Bayangkan begini. Bila ribuan penjawat awam tidak bergerak setiap hari, apa yang berlaku? Minyak kurang digunakan. Yang pakai petrol ke, yang pakai diesel ke…
Jalan kurang sesak. Perbelanjaan individu turun. Pada masa yang sama, pejabat kerajaan tidak perlu beroperasi pada kapasiti penuh, jadi, elektrik, penyaman udara, penyelenggaraan semua berkurang. Ini bukan penjimatan kecil. Ini penjimatan berskala negara.
Dalam situasi krisis, negara tidak boleh tunggu sampai terduduk untuk bertindak. Negara akan buat pelarasan awal, iaitu secara perlahan, tersusun, tetapi berimpak besar. BDR adalah salah satu alat itu. Langkah ini tidak bising-bising, tidak dramatik, tetapi kesannya menyeluruh.
Kurang pergerakan bermaksud kurang kos.
Kurang kos bermaksud tekanan fiskal boleh dikawal.
Itu intinya.
Tetapi yang lebih penting, BDR ini dibuat bukan secara pukul rata. Dalam sektor pendidikan contohnya, guru tidak terlibat. Kenapa? Sebab sekolah masih berjalan. Murid masih datang. Pembelajaran mesti berlaku secara bersemuka. Kalau guru juga BDR, murid kena PdPR, sistem akan runtuh. Kita ada pengalaman itu sebelum ini. Habis murid Learning Loss. Jadi, guru kekal di sekolah, dan kini menjadi itu barisan hadapan. Masa zaman COVID-19, kita lihat para doktor, nurses yang menjadi barisan hadapan.
Sebaliknya, guru yang berkhidmat sebagai pegawai pendidikan di PPD, JPN dan KPM yang tidak terlibat secara langsung dengan PdP harian, yang kerja mereka tak terikat dengan sesi persekolahan, mereka inilah yang diarahkan BDR. Fungsi mereka boleh disusun semula secara fleksibel. Mereka menyokong sistem, bukan menggerakkan kelas secara langsung.
Maknanya, dalam keadaan sekarang, setiap sektor ada peranan. Ada yang kekal di lapangan untuk memastikan negara terus berjalan. Ada yang berundur sedikit secara taktikal untuk mengurangkan beban kos negara. Ini bukan soal siapa kerja lebih atau kurang. Ini soal menyusun semula tenaga kerja untuk menghadapi tekanan global.
Sama-sama kita doakan terbaik untuk negara.
DR





