SEA-PLM 2024 hadir pada satu detik yang sangat signifikan, yang mana ini merupakan kitaran pentaksiran serantau pertama selepas dunia melalui gangguan besar akibat pandemik COVID-19.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, hampir semua sistem pendidikan di Asia Tenggara berdepan cabaran yang sama, termasuk kehilangan pembelajaran, ketidaksamaan akses, dan keperluan untuk membina semula asas literasi murid. Justeru, dapatan kali ini lebih kepada cerminan sejauh mana usaha pemulihan setiap negara mula membuahkan hasil.
Dalam keseluruhan dapatan SEA-PLM 2024, literasi penulisan muncul sebagai domain yang paling menarik untuk diperhatikan. Penulisan bukan sekadar kemahiran bahasa, tetapi mencerminkan keupayaan murid untuk berfikir, menyusun idea, membuat hujah dan berkomunikasi secara berkesan. Ia adalah asas kepada pembelajaran merentas disiplin, malah menjadi indikator penting kepada keupayaan berfikir aras tinggi.
Sukacita saya kongsikan, Malaysia menunjukkan pencapaian cemerlang dalam domain ini, dan ia sebenarnya memberi gambaran bahawa asas kognitif dan struktur pemikiran murid kita berada pada tahap yang memberangsangkan.
Saya rumuskan 10 perkara menarik dalam dapatan SEA-PLM 2024 khusus untuk Domain Penulisan.
(1) Malaysia #1 Asia Tenggara dalam penulisan, dengan beza yang jelas.
Skor 480.1, mengatasi purata serantau 450.9 (+29 mata). Jika ini suatu pertandingan, Malaysia menang bergaya.
(2) Kita hasilkan top performers!
21% murid di Band 5 ke atas, berbanding hanya ±5% serantau. Ini menunjukkan kekuatan pada aras tinggi, bukan sekadar lulus.
(3) Majoriti murid kita berada pada tahap kukuh!
Gabungan Band 3, 4 dan 5, menghampiri 80% murid. Ini memberi gambaran sistem yang stabil dan berfungsi.
(4) Struktur prestasi Malaysia shift ke atas.
34% di Band 4, 21% di Band 5, dan ini antara yang tertinggi di rantau ini. Sistem kita jelas mengangkat murid ke tahap lebih tinggi, bukan sekadar minimum.
(5) Pemulihan pasca COVID sudah menunjukkan hasil nyata.
Dalam keadaan global yang masih pulih, Malaysia bukan sahaja stabil, tetapi melonjak ke depan dalam literasi penulisan. Ini petanda intervensi mula berkesan.
(6) Kekuatan teras dalam literasi kita berstruktur & ekspresif.
Prestasi tinggi dalam penulisan mencerminkan keupayaan murid dalam berfikir, menyusun idea, dan berhujah, iaitu kemahiran kritikal abad ke-21.
(7) Namun, jurang SES masih ketara dan perlu ditangani secara strategik.
Perbezaan skor antara murid latar belakang berbeza boleh mencecah 50–60 mata. Ini bukan isu kecil, yang melibatkan isu mobiliti sosial.
(8) Jurang jantina konsisten untuk kesemua literasi, iaitu perempuan masih mendahului.
Di Malaysia dan seluruh rantau, murid perempuan mengatasi lelaki dalam penulisan. Ini membuka ruang untuk inovasi pedagogi yang lebih seimbang.
(9) “Long tail” masih wujud, tetapi semakin mengecil.
Masih ada kelompok murid di tahap rendah, tetapi dalam konteks Malaysia, majoriti sudah berada di tahap sederhana dan tinggi. Ini menunjukkan asas sistem semakin kukuh.
(10) Fokus kini bukan lagi ‘boleh atau tidak’, tetapi ‘untuk semua atau tidak’. Malaysia sudah buktikan kita mampu capai kecemerlangan. Cabaran seterusnya ialah memastikan kejayaan ini lebih inklusif dan menyeluruh.
Penutup
Ringkasnya, literasi domain penulisan dalam SEA-PLM 2024 memberi satu mesej yang jelas,
Kita bukan lagi dalam fasa mencari arah. Kita sudah berada di landasan yang betul, dan mula nampak hasilnya. Sekarang persoalannya bukan lagi, “boleh ke kita berjaya?”, Tetapi, “sejauh mana kita boleh bawa semua murid bersama menuju kejayaan itu?” Dan apabila kita berada dalam RPM 2026-2035, kita boleh lakukan lonjakan yang lebih baik untuk pusingan akan datang.
DR





