Lupa Bersyukur

Dalam membicarakan isu harga minyak hari ini, kita perlu keluar daripada naratif simplistik, “Malaysia negara pengeluar minyak, jadi petrol mesti murah.” Naratif ini separuh benar, tetapi separuh lagi sering disembunyikan. Di sinilah masyarakat mudah terperangkap dalam emosi, bukan analisis yang jernih.

Hakikat pertama yang perlu difahami ialah Malaysia memang pengeluar minyak, tetapi dalam masa yang sama kita juga pengimport minyak. Maksudnya, kita masih mengimport sejumlah besar minyak mentah dan produk petroleum untuk menampung keperluan domestik. Pernah dalam satu suku tahun, nilai import minyak mentah mencecah sekitar RM12.9 bilion, dengan bekalan utama dari Arab Saudi dan UAE. Dalam keadaan tertentu pula, kita mengimport lebih banyak produk petroleum bertapis berbanding yang dieksport.

Kenapa ini berlaku? Kerana minyak mentah yang kita hasilkan tidak semestinya sesuai untuk semua kegunaan domestik. Loji penapisan kita pula memerlukan jenis crude tertentu. Maka, kita eksport sebahagian minyak mentah, import minyak mentah lain untuk ditapis, dan dalam masa yang sama import juga produk siap seperti petrol dan diesel.

Lebih penting, penggunaan domestik kita sebenarnya melebihi pengeluaran. Kita menggunakan sekitar 747,000 tong sehari, tetapi menghasilkan sekitar 570,000 tong sahaja. Ini bermaksud secara praktikal, kita bukan negara yang “bebas minyak” sepenuhnya. Itu realiti yang jarang kita sebut.

Sekarang, mari kita bandingkan harga pasaran RON95 dengan negara lain, khususnya negara pengeluar minyak. UAE sekitar USD0.68 seliter (±RM3.20), Qatar USD0.52 (±RM2.45), Nigeria meningkat ke USD0.80 (±RM3.75), Kanada sekitar USD1.30 (±RM6.10), Arab Saudi USD0.62 (±RM2.90), dan Kuwait USD0.28 (±RM1.30). Jelas di sini, walaupun negara-negara ini pengeluar minyak, harga domestik mereka tetap bergerak mengikut dasar dan realiti ekonomi masing-masing.

Malaysia pula berada sekitar USD0.65–0.68 seliter (±RM3.05–RM3.20) pada harga pasaran sebenar. Namun rakyat hanya membayar RM1.99 untuk RON95. Di sinilah bezanya. Ada jurang yang besar antara harga sebenar dan harga yang kita bayar, dan jurang itu ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi.

Maknanya, banyak negara pengeluar minyak sendiri tidak mampu mengekalkan harga rendah kepada rakyat mereka.

Kenapa?

Kerana mereka memilih untuk mengikut harga pasaran, mengurangkan subsidi, dan menjaga kedudukan fiskal negara. Malaysia pula mengambil pendekatan berbeza, iaitu dengan menyerap tekanan global supaya rakyat tidak merasai sepenuhnya kesan kenaikan.

Ada juga yang mengungkit, dahulu pada era 90-an dan awal 2000, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan bahawa sebagai negara pengeluar minyak, kita sepatutnya boleh mengawal harga sendiri. Ya, pandangan itu memang masuk akal… pada waktu itu.

Kerana ketika itu dunia lebih stabil. Tiada konflik besar yang mengganggu bekalan global, harga minyak lebih terkawal, dan tekanan terhadap rantaian bekalan jauh lebih rendah.

Tetapi hari ini, dunia sudah berubah dan berubah secara drastik. Hari ini kita berhadapan konflik Iran–Israel–AS yang bukan sekadar perang biasa, tetapi telah mencetuskan GANGGUAN TERBESAR DALAM SEJARAH PASARAN MINYAK DUNIA. Laluan strategik seperti Selat Hormuz terancam, fasiliti tenaga diserang, dan harga minyak melonjak melepasi USD100 setong. Ini bukan turun naik biasa, ini krisis struktur kepada sistem tenaga global.

Maka, membandingkan kenyataan 20–30 tahun lalu dengan situasi hari ini tanpa konteks adalah tidak adil. Ia lebih bersifat emosi dan politik, bukan analisis dasar yang matang.

Akhirnya, kita sampai kepada kesimpulan yang lebih rasional. Malaysia masih mempunyai keupayaan mengawal harga, tetapi dalam ruang yang terhad dan dengan kos yang besar. Hari ini, harga pasaran RON95 sekitar RM3.27 seliter, tetapi rakyat hanya membayar RM1.99. Bezanya ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi.

Ini bukan perkara kecil.

Ini bermaksud setiap kali kita mengisi minyak, sebahagian kos sebenar sebenarnya telah diserap oleh negara supaya rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan global.

Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu ini, kita perlu melihat dengan lebih tenang dan adil. Malaysia masih aman, stabil, dan masih mampu melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi dunia, dan ini sesuatu yang tidak semua negara mampu lakukan.

Sebab itu, sudah-sudahlah kita terperangkap dalam politik kebencian, dendam dan naratif yang memecahbelahkan. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai hilang kewarasan dalam menilai realiti.

Akhirnya, kekuatan sesebuah negara bukan hanya pada sumber yang dimiliki, tetapi pada kebijaksanaan mengurusnya dan pada rakyat yang tahu menghargai, bersyukur, serta mempertahankan kestabilan dan kemakmuran yang masih kita nikmati hari ini.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top