Melawan Kejahilan Ini Kewajipan

Kita sedang berdepan satu wabak yang lebih merbahaya daripada penyakit fizikal, iaitu kejahilan yang disuburkan, dan pembodohan yang disebarkan tanpa rasa bersalah. Media sosial telah bertukar menjadi gelanggang fitnah, separuh benar, dan pembohongan yang dikitar tanpa henti.

Lebih membimbangkan, ramai tidak lagi peduli soal kebenaran. Asalkan selari dengan emosi, terus percaya. Asalkan sensasi, terus kongsi. Ini bukan sekadar masalah sikap, saya fikir ini tanda masyarakat yang sedang hilang disiplin akal.

Penegasan saya, kita tidak boleh lagi berdiam diri.

Melawan kejahilan adalah kewajipan. Setiap kali kita membiarkan fitnah tanpa teguran, kita sedang memberi ruang kepada kebatilan untuk berakar. Setiap kali kita memilih untuk diam walaupun tahu sesuatu itu palsu, kita sebenarnya sedang menyumbang kepada kerosakan masyarakat. Ketegasan itu perlu. Namun, perjuangan ini tidak boleh dipikul oleh individu semata-mata.

Negara ada peranannya. Pihak berkuasa dan autoriti bukan pilihan, tetapi asas kepada kestabilan. Kenegaraan berdiri di atas disiplin terhadap Perlembagaan dan undang-undang. Tanpa itu, masyarakat akan tenggelam dalam anarki maklumat, semua orang bercakap, tetapi tiada siapa bertanggungjawab. Menghormati undang-undang bukan tanda lemah atau tunduk menyerah kalah. Ia tanda hidup bertamadun dan berukun. Ia tanda masyarakat yang tahu batas, tahu aturan, dan tahu di mana kebenaran perlu dirujuk.

Dalam apa jua hal, kebenaran tidak boleh ditentukan oleh suara paling lantang atau perkongsian paling viral. Ia mesti kembali kepada autoriti yang sah. Dalam agama, kita merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah dan ulama yang berkelayakan. Dalam pentadbiran, kita merujuk kepada institusi yang diamanahkan. Dalam perundangan, kita tunduk kepada sistem yang dibina atas Perlembagaan dan undang-undang.

Jika setiap orang merasa dirinya sumber kebenaran, maka yang lahir bukan kebebasan, tetapi kekeliruan tanpa sempadan.

Sebab itu, kembali kepada autoriti bukan pilihan. Ia keperluan. Ia disiplin. Ia asas kepada ketertiban ilmu dan kestabilan masyarakat.

Dalam masa yang sama, rakyat, khususnya warga media sosial tidak boleh melepas tangan. Medsos ini sepatutnya menjadi ruang untuk bersosial secara waras, bukan medan memaki hamun, menyebar adu domba, atau meniup persepsi fitnah dan kebencian. Jika menulis, tulislah untuk mencerdikkan. Jika berkongsi, pastikan ia mencerahkan. Jika menegur, biarlah berasaskan fakta, bukan semata-mata emosi. Inilah rukun sosial yang perlu kita hidupkan, berinteraksi dengan adab, berbeza dengan tertib, dan bersuara dengan tanggungjawab.

Sebab itu, tidak semua perkara perlu dikomen, dan tidak semua kemarahan perlu diposting. Jika yang hendak ditulis hanya membawa vibe negatif, mencetuskan permusuhan, atau mengheret orang lain kepada salah faham dan kebencian, maka lebih baik berhenti. Jangan sampai jari kita menjadi punca dosa jariah yang berpanjangan.

Saya tinggalkan tuan-tuan dengan tiga hadis amaran Nabi mengenai hal ini, agar kita tidak memandang ringan dosa lidah dan penyebaran maklumat.

Pertama, daripada Sahih Muslim, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah (namimah).”

Kedua, daripada Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang dia dengar.”

Ketiga, juga dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Ini bukan sekadar peringatan.

Ini garis tegas.

Ini pesan Nabi kita.

Dalam menghadapi akhir zaman yang penuh kekeliruan, Rasulullah telah mengingatkan, akan datang zaman manusia mudah hanyut dan rosak, MELAINKAN MEREKA yang BERPEGANG TEGUH kepada AL-QURAN DAN AS-SUNNAH.

Pegangan itu bukan pada slogan, tetapi pada disiplin. Bukan pada emosi, tetapi pada kebenaran.

Maka, jika kita masih memilih untuk menyebar tanpa berfikir, berkongsi tanpa menyemak, dan bercakap tanpa ilmu, kita sebenarnya sedang memilih jalan yang salah, dengan sedar. Ini bukan lagi soal tidak tahu. Ini soal tidak mahu tahu. Jahil murakkab!

Akhirnya, tepuk dada, tanya iman.

Masih ada iman? Ya, tanyakan iman.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top