Siri 7 Melawan Rasuah: Antara Kuasa Perlembagaan dan Persoalan Rakyat

Perdebatan mengenai pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak pada 18 September 2026 mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menerima, ada yang kecewa dan ada yang marah. Semua itu ialah reaksi yang wujud dalam sebuah masyarakat demokrasi. Rakyat berhak bertanya, termasuk bertanya soalan yang tidak selesa.

Namun, dalam perdebatan yang sarat dengan emosi dan politik, satu perkara mesti dijaga, iaitu fakta jangan sesekali dikaburkan.

Pertama, kita perlu memahami kedudukan Lembaga Pengampunan.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum. Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kuasa tersebut diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Perkara 42 juga memperuntukkan kewujudan Lembaga Pengampunan dalam proses tersebut.

Maka, kita perlu membezakan dua perkara.

Mahkamah menjatuhkan hukuman. Proses pengampunan pula ialah mekanisme perlembagaan yang membolehkan hukuman diringankan, ditunda atau diberikan pengampunan.

Dalam kes Najib, pada tahun 2020 Mahkamah Tinggi mensabitkan beliau atas TUJUH PERTUDUHAN berkaitan SRC International dan menjatuhkan hukuman PENJARA 12 TAHUN serta DENDA RM210 JUTA. Pada 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut. Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan dan mengekalkan sabitan serta hukuman. Najib kemudian mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022.

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat dan pada 2 Februari 2024 keputusan mengenai petisyen pengampunan Najib diumumkan, iaitu hukuman penjara DIKURANGKAN DARIPADA 12 TAHUN KEPADA ENAM TAHUN DAN DENDA DIKURANGKAN DARIPADA RM210 JUTA KEPADA RM50 JUTA.

Dua tahun lapan bulan kemudiannya, iaitu pada 18 September 2026, dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan PENGAMPUNAN BERSYARAT yang membolehkan BAKI HUKUMAN Najib dijalani MELALUI TAHANAN DI RUMAH SEHINGGA 23 OGOS 2028, TERTAKLUK KEPADA PEMBAYARAN DENDA RM50 JUTA serta syarat-syarat yang ditetapkan. Jika syarat dilanggar, pengampunan bersyarat itu boleh terbatal dan beliau perlu menjalani baki hukuman di penjara.

Fakta-fakta ini penting kerana pengampunan tidak boleh disamakan dengan pemadaman sejarah kehakiman. Namun, menerima kedudukan perlembagaan itu tidak bermaksud semua persoalan rakyat perlu ditutup.

Masyarakat tetap mempunyai persoalan yang valid.

Apakah prinsip yang digunakan?

Bagaimana pula dengan pesalah lain?

Bagaimana prinsip tersebut diterapkan secara konsisten? Dan

bolehkah seseorang pesalah menerima kelegaan hukuman pada lebih daripada satu peringkat?

Persoalan tentang kelegaan hukuman pada lebih daripada satu peringkat bukanlah sesuatu yang langsung tanpa precedent dalam sejarah Malaysia.

Ambil contoh kes Datuk Mokhtar Hashim.

Pada tahun 1983, Mokhtar Hashim disabitkan atas kesalahan membunuh Datuk Mohamad Taha Talib, Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, dan dijatuhi hukuman mati.

Pada tahun 1984, hukuman mati tersebut diringankan kepada penjara seumur hidup oleh Lembaga Pengampunan. Kemudian, pada 10 Julai 1991, beliau menerima pengampunan diraja dan dibebaskan selepas kira-kira lapan tahun menjalani hukuman.

Maka, sejarah menunjukkan bahawa kelegaan hukuman pada lebih daripada satu peringkat memang pernah berlaku.

Tetapi precedent tidak bermaksud setiap kes adalah sama.

Kes Mokhtar Hashim berlaku dalam konteks, fakta dan zaman perundangan yang berbeza. Kes Najib pula berlaku dalam konteks perlembagaan, kehakiman dan sistem perundangan yang tersendiri.

Justeru, kewujudan precedent tidak dengan sendirinya menjawab semua persoalan. Ia hanya menunjukkan bahawa mekanisme kelegaan hukuman pada lebih daripada satu peringkat bukan perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Di sinilah persoalan yang lebih substantif muncul.

Bagaimana prinsip pengampunan difahami?

dan bagaimana keyakinan rakyat terhadap kesaksamaan dapat terus dipelihara?

Persoalan ini juga tidak harus dipolitikkan sehingga kedudukan Perlembagaan menjadi kabur.

Perdana Menteri bukan pihak yang mempunyai kuasa pengampunan tersebut.

Kerajaan dan Perdana Menteri mempunyai peranan dalam proses perlembagaan yang berkaitan, termasuk memberikan nasihat mengenai perkara-perkara dalam bidang kerajaan.

Tetapi kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan dalam Wilayah Persekutuan diperuntukkan kepada YDPA di bawah Perkara 42. Kerajaan sendiri, melalui kenyataan pada 18 September 2026, menegaskan bahawa keputusan pengampunan bersyarat tersebut adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Maka, menjadikan Perdana Menteri sebagai pihak yang “mengampunkan” Najib adalah tidak tepat. Kalau PM disalahkan, maka, kita boleh rumuskan itu ialah serangan politik semata-mata.

Pada masa yang sama, menerima proses perlembagaan tidak bermaksud masyarakat perlu berhenti membincangkan prinsip dan implikasinya.

Di sinilah kita perlu membezakan antara LEGALITI dan MORALITI.

Sesuatu yang sah dari sudut Perlembagaan tidak bermaksud setiap orang wajib bersetuju dengannya dari sudut moral.

Begitu juga, rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan tidak semestinya bermaksud seseorang itu menolak institusi Raja Berperlembagaan.

Kita boleh menerima bahawa sesuatu keputusan dibuat melalui kerangka perlembagaan, sambil terus bertanya tentang prinsip keadilan, kesaksamaan dan penerapannya kepada pesalah lain.

Namun, di sebalik segala perbahasan tentang pengampunan, ada satu prinsip yang tidak seharusnya berubah, iaitu perjuangan melawan rasuah tidak boleh bergantung kepada siapa yang berkuasa, siapa yang dihukum atau siapa yang menerima kelegaan hukuman.

Pengampunan ialah mekanisme perlembagaan.

Rasuah pula ialah persoalan integriti, tatakelola dan kepercayaan rakyat terhadap negara.

Kedua-duanya tidak boleh dicampuradukkan.

Pengampunan terhadap seseorang juga tidak boleh ditafsirkan sebagai pengampunan terhadap rasuah atau salah guna kuasa secara keseluruhan. Prinsip antirasuah mesti terus berdiri tanpa mengira siapa pelakunya, kedudukan politiknya atau sejauh mana pengaruhnya.

Pengampunan boleh mengubah hukuman, tetapi tidak mengubah hakikat bahawa rasuah tetap salah.

Justeru, kita boleh menerima proses perlembagaan tanpa mengendurkan tuntutan terhadap keadilan, kesaksamaan dan tatakelola yang bersih.

Kita boleh menghormati institusi tanpa berhenti mempertahankan prinsip.

Dan dalam soal rasuah, pendirian kita mesti jelas.

Jangan putus asa.

Lawan terus rasuah.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top