Siri 6 Melawan Rasuah : RM50 Juta? RM1.69 Bilion?

APA YANG SEBENARNYA KITA BICARAKAN?

Tanggal 18 September 2026, satu lagi keputusan berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak diumumkan. Bagi saya, keputusan ini perlu dibaca dengan tenang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (YDPA) memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Beliau dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Tetapi ia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Jika syarat tersebut tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.

Kita hormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan institusi Lembaga Pengampunan.

Itu prinsip asas dalam sebuah negara berperlembagaan.

RM50 juta itu datang dari mana?

RM50 juta tersebut, bukannya cukai. Ia ialah denda dalam kes SRC International. Najib sebelum ini dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap kesemua tujuh pertuduhan SRC.

Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Jadi, hari ini kita bercakap tentang denda RM50 juta dalam kes jenayah SRC.

Tetapi ada satu lagi angka.

Jauh lebih besar.

RM1.69 bilion

Lebih tepat, Angka itu ialah RM1,692,872,924.83.

Ia berkaitan tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Najib bagi cukai pendapatan tambahan dan penalti bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Mudah fahamnya, begini.

RM50 juta itu denda kes SRC.

RM1.69 bilion itu pula tuntutan cukai LHDN.

Dua perkara yang berbeza.

Jangan campurkan.

Mengapa tuntutan cukai itu begitu besar?

Kerana LHDN membuat taksiran tambahan terhadap Najib bagi beberapa tahun taksiran.

Apabila jumlah itu tidak dibayar dan pertikaian dibawa ke mahkamah, LHDN memohon penghakiman terus.

Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan tersebut. Kes itu kemudiannya sampai ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin, terhadap penghakiman terus tersebut.

Jadi, adakah Mahkamah sudah memutuskan RM1.69 bilion itu?

Di sinilah kita perlu berhati-hati.

Ya, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan terhadap penghakiman terus LHDN.

Tetapi penghakiman terus di bawah mekanisme percukaian itu bukan bermaksud semua pertikaian tentang taksiran cukai telah tertutup selama-lamanya.

Mahkamah sendiri menjelaskan bahawa pembayar cukai masih mempunyai hak untuk mencabar taksiran melalui saluran yang ditetapkan, termasuk Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Ini penting.

Kita jangan simplifikasikan perkara yang sebenarnya mempunyai proses undang-undang.

Dan proses itu masih berjalan

Pada 4 September 2026, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap Najib sementara menunggu proses rayuannya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan kesilapan dalam pengiraan jumlah cukai, isu cukai berganda serta layanan terhadap sumbangan yang dipulangkan dan dividen.

Jadi, apa yang perlu kita katakan?

RM1.69 bilion itu bukan angka palsu.

Tuntutan LHDN itu memang wujud dan telah melalui proses mahkamah.

Tetapi pertikaian terhadap taksiran tersebut juga masih mempunyai proses yang belum selesai.

Itulah fakta.

Jangan pula keliru antara “dituntut” dengan “sudah selesai”

Apabila LHDN menuntut RM1.69 bilion, itu bukan bermaksud kita boleh sesuka hati mengatakan semua persoalan mengenai jumlah tersebut telah selesai.

Tetapi kewujudan proses rayuan juga tidak bermaksud kita boleh mengatakan RM1.69 bilion itu tidak wujud.

Ia wujud sebagai tuntutan dan telah menjadi subjek penghakiman mahkamah.

Pada masa yang sama, proses mencabar taksiran melalui saluran percukaian masih berjalan. Kita perlu mampu memegang dua fakta ini serentak.

Kenapa saya rasa rakyat perlu faham perkara ini?

Sebab dalam perbahasan awam, angka amat mudah menjadi senjata politik. RM50 juta disebut. RM1.69 bilion juga disebut. Kemudian semuanya dicampur menjadi satu cerita. Padahal konteksnya berbeza.

Denda jenayah ialah satu perkara. Taksiran cukai ialah perkara lain. Prosiding kebankrapan pula perkara lain. Pengampunan pula perkara lain.

Jangan campurkan semuanya hanya kerana nama orangnya sama.

Tetapi ada satu persamaan. Walaupun konteksnya berbeza, semua ini membawa kita kembali kepada satu perkara, iaitu WANG.

Wang yang perlu dibayar.

Wang yang dituntut.

Wang yang dipertikaikan.

Wang yang akhirnya berkait dengan negara.

Dan di sinilah isu ini menjadi lebih besar daripada seorang individu.

Kenapa relevan untuk pengetahuan dan kesedaran kita? Sebab Cukai bukan wang kerajaan. Cukai ialah wang rakyat yang dikutip untuk menjalankan urusan negara.

Daripada hasil cukai, kerajaan membiayai sekolah, Hospital, Jalan raya, Keselamatan, Bantuan kepada rakyat Dan pelbagai perkhidmatan awam.

Sebab itu apabila kita bercakap tentang cukai, kita sebenarnya bercakap tentang amanah antara rakyat dengan negara.

Sebab itu rakyat biasa tidak boleh mempunyai dua standard. Kalau rakyat biasa menerima taksiran cukai, dia perlu berhadapan dengan sistem. Kalau dia tidak bersetuju, dia gunakan saluran yang disediakan undang-undang.

Begitu juga dalam kes ini.

Kita tidak perlu menyebelahi sesiapa. Kita hanya perlu memastikan proses undang-undang berjalan. Mahkamah memutuskan apa yang berada dalam bidang kuasanya.

Lembaga Pengampunan menjalankan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan.

Pihak percukaian menjalankan undang-undang percukaian.

Yang penting, Institusi mesti terus bekerja.

Sebab itu pengampunan tidak boleh disalah faham. Pengampunan ialah satu perkara. Cukai ialah perkara lain. Pengurangan hukuman ialah satu perkara.

Tuntutan kewangan pula boleh mempunyai asas undang-undang yang berbeza.

Maka, pengampunan bersyarat yang diumumkan hari ini tidak boleh secara automatik ditafsirkan sebagai penghapusan semua tanggungjawab kewangan seseorang. Bagaimana DSN mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta kes SRC International, itu terpulang kepadanya.

Begitu juga tuntutan cukai tidak boleh dianggap selesai hanya kerana seseorang menerima pengampunan.

Setiap perkara ada undang-undang dan prosesnya sendiri.

Dan inilah yang sering hilang dalam perdebatan. Kita terlalu mudah terikut dengan persoalan popular, Dia dapat pengampunan atau tidak? Dia masuk penjara atau tidak? Dia kena bayar berapa?

Tetapi kita lupa bertanya, Apa yang berlaku kepada amanah rakyat?

Itulah soalan yang lebih besar.

Kerana rasuah bukan sekadar cerita tentang seorang manusia yang dihukum. Ia cerita tentang bagaimana kuasa digunakan. Dan bagaimana wang awam dilindungi.

Anak-anak kita sedang belajar daripada semua ini. Bayangkan seorang anak bertanya, Kalau seseorang mempunyai kuasa, adakah kesalahan kewangan akhirnya boleh diselesaikan dengan kuasa juga?

Apa jawapan kita?

Kita mesti ajar mereka bahawa negara ini mempunyai undang-undang. Kedaulatan Undang-undang penting penting dalam Rukunegara kita.

Ada mahkamah. Ada institusi. Ada Perlembagaan. Ada proses. Dan semua orang, tanpa mengira jawatan atau parti, mesti berhadapan dengan proses tersebut.

Bukan kerana kita membenci mereka.

Tetapi kerana kita mahu membina sebuah negara yang mempunyai standard yang sama untuk semua.

Inilah makna sebenar Lawan Rasuah. Saya tidak menulis siri ini untuk meminta rakyat membenci sesiapa.

Saya juga tidak menulis untuk mempertikaikan hak pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan.

Saya menulis kerana kita perlu belajar membezakan pengampunan, hukuman, cukai, tuntutan kewangan dan amanah negara.

Hari ini kita melihat dua angka, RM50 juta. RM1.69 bilion. Dua angka. Dua konteks. Tetapi satu pengajaran. Jangan biarkan politik menyebabkan kita kehilangan kemampuan untuk membezakan fakta.

Kerana apabila melibatkan wang rakyat, kita tidak boleh memilih standard berdasarkan siapa yang kita sokong.

Kalau salah, salah.

Kalau masih dalam proses, katakan masih dalam proses.

Kalau sudah diputuskan, hormati keputusan.

Itulah negara hukum.

Dan itulah asas kepada perjuangan Lawan Rasuah.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top