Siri 8 Melawan Rasuah: Jika Anwar Dapat Pengampunan YDPA, Kenapa Tidak Najib?

Pendahuluan

1. Soalan ini sering muncul setiap kali isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak dibincangkan. Saya fikir soalan ini boleh ditanya. Tetapi jawapannya jangan diberikan dengan emosi politik.

2. Kita mulakan dengan penegasan perkara yang paling asas. Kita hormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

3. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa pengampunan, termasuk kuasa untuk meremit, menggantung atau meringankan hukuman, dalam bidang kuasa yang ditetapkan. Bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan, kuasa itu berada pada Yang di-Pertuan Agong melalui kerangka Lembaga Pengampunan.

4. Ini ialah kuasa Perlembagaan. Bukan kuasa parti politik. Bukan kuasa Perdana Menteri. Bukan kuasa penyokong. Dan bukan hak automatik seseorang yang telah disabitkan.

5. Sebab itu kita mesti menjaga martabat institusi Raja. Jangan jadikan keputusan pengampunan sebagai senjata untuk menyerang atau merendahkan Yang di-Pertuan Agong.

6. Tetapi apabila ada yang mahu membandingkan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Najib Razak, maka bandingkan fakta. Bukan sentimen.

Pertama

Berapa hukuman asal dan berapa lama telah dijalani?

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman lima tahun penjara selepas sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2015. Beliau telah menjalani kira-kira tiga tahun, iaitu lebih kurang dua pertiga daripada hukuman lima tahun, sebelum diberikan pengampunan penuh pada 16 Mei 2018.

2. Datuk Seri Najib pula mula menjalani hukuman pada 23 Ogos 2022 selepas sabitan SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

3. Hukuman asalnya ialah 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu sebanyak separuh kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Jadi, keadaan kedua-duanya memang amat berbeza.

Kedua

Berapa banyak sabitan dan pertuduhan?

1. Kes Anwar yang menjadi asas pengampunan 2018 melibatkan SATU sabitan dengan hukuman LIMA TAHUN PENJARA .

2. Najib pula mempunyai sabitan SRC yang melibatkan TUJUH pertuduhan. Mahkamah mendapati beliau bersalah atas kesalahan berkaitan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman agregat 12 TAHUN PENJARA dan DENDA RM210 juta; sabitan itu kemudiannya dikekalkan sehingga rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2026.

3. Kemudian datang pula kes utama 1MDB. Pada Disember 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas 25 PERTUDUHAN, EMPAT PERTUDUHAN salah guna kuasa dan 21 PERTUDUHAN pengubahan wang haram, melibatkan kira-kira RM2.3 bilion dana berkaitan 1MDB.

4. Hukumannya ialah 15 TAHUN PENJARA dan DENDA RM11.4 bilion. Hukuman penjara itu diperintahkan BERMULA SELEPAS HUKUMAN SRC selesai. Sabitan 1MDB tersebut kini masih dalam proses rayuan.

5. Maka, apabila kedua-dua kes Najib dilihat bersama, kita bercakap tentang 32 PERTUDUHAN yang membawa kepada DUA SABITAN, dengan hukuman penjara asal 12 TAHUN BAGI SRC dan 15 TAHUN BAGI 1MDB.

6. Selepas pengurangan hukuman SRC pada 2024, hukuman SRC menjadi ENAM TAHUN. Jika sabitan 1MDB kekal selepas rayuan, jumlah hukuman penjara yang perlu dijalani secara berturut-turut ialah 21 TAHUN.

SKALA kes Anwar dan Najib memang JAUH BERBEZA.

Ketiga

Bagaimana pula dengan hukuman kewangan?

1. Dalam kes Anwar, TIDAK ADA denda ratusan juta ringgit yang dikenakan terhadap beliau.

2. Dalam kes SRC, Najib asalnya dikenakan RM210 juta, kemudian DIKURANGKAN KEPADA RM50 JUTA oleh Lembaga Pengampunan.

3. Dan dalam kes 1MDB, Mahkamah Tinggi pada 2025 menjatuhkan DENDA RM11.4 BILION, dengan HUKUMAN PENJARA 40 TAHUN sebagai hukuman ganti jika denda itu tidak dibayar.

4. Sekali lagi, kita boleh berdebat tentang keputusan itu.Tetapi jangan pura-pura kedua-dua kes mempunyai skala saiz dan berat yang sama.

Keempat

Apakah kesan kewangan kepada negara?

1. Ini bagi saya ialah perbezaan yang paling besar.

2. Kes Anwar TIDAK MENGHASILKAN OBLIGASI HUTANG kerajaan berpuluh-puluh bilion ringgit.

3. Kes 1MDB menghasilkan kesan fiskal yang sangat nyata.

4. Dalam jawapan di Dewan Rakyat pada 9 Julai 2026, Timbalan Menteri Kewangan menyatakan kerajaan telah membayar RM42.5 bilion untuk hutang dan komitmen 1MDB, termasuk prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi dan komitmen lain.

5. Kerajaan MASIH MENANGGUNG RM8.9 BILION Sukuk IMTN, terdiri daripada RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah, yang MATANG PADA 2039.

6. Jumlah keseluruhan tanggungan yang TELAH DAN MASIH PERLU DITANGGUNG KERAJAAN ialah RM51.4 BILION.

7. Kerajaan pula telah berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion. Namun, jika tiada lagi pemulihan pada masa hadapan, kerajaan masih DIJANGKA MENANGGUNG SEKITAR RM20.1 BILION BAKI OBLIGASI.

8. Ini bukan angka propaganda. Ini jawapan kerajaan di Parlimen. Dan di sinilah kita perlu berhenti untuk merenung. Kerana kita boleh berdebat mengenai politik. Kita boleh berdebat mengenai parti. Kita boleh berdebat mengenai siapa yang kita suka.

9. Tetapi RM51.4 bilion tetap RM51.4 bilion. Dan komitmen yang masih matang sehingga 2039 tetap perlu dibayar.

Kelima

Apa yang sebenarnya mahu kita ajarkan kepada anak-anak kita?

1. Ini bagi saya persoalan yang lebih besar daripada Najib atau Anwar.

2. Adakah kita mahu mengajar anak kita,

“Tak mengapa salah guna kuasa, asalkan pernah buat pembangunan.”

“Tak mengapa rasuah, asalkan banyak juga jasa kepada rakyat.”

“Tak mengapa amanah negara dikhianati, asalkan pemimpin itu daripada parti yang kita sokong.”

3. Kalau begitu cara kita berfikir, kita sedang membina satu generasi yang sangat berbahaya. Generasi yang menganggap integriti bergantung kepada siapa yang melakukan kesalahan.

4. Kalau orang kita buat, kita cari alasan. Kalau orang pihak parti lawan buat, kita tuntut hukuman maksimum. Itu bukan prinsip. Itu adalah fanatik politik.

5. Islam mengajar kita tentang kemaafan. Tetapi Islam juga mengajar tentang amanah, keadilan dan larangan mengkhianati amanah.

6. Memaafkan seseorang tidak bererti kita perlu memutihkan kesalahannya. Dan menghormati pengampunan Diraja tidak bererti rakyat wajib melupakan fakta sesuatu kes.

7. Kita hormati Yang di-Pertuan Agong. Kita hormati Perlembagaan. Kita hormati institusi Raja. Kita juga mesti menghormati wang rakyat.

8. Kerana akhirnya persoalannya bukan Najib atau Anwar? Persoalannya ialah Apakah standard moral yang kita mahu gunakan untuk Malaysia?

9. Jika seseorang melakukan kesalahan, kita serahkan kepada mahkamah.

10. Jika seseorang memohon pengampunan, kita hormati proses perlembagaan.

11. Jika Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dalam bidang kuasa Baginda, kita hormati institusi tersebut.

12. Tetapi sebagai rakyat, kita masih berhak belajar daripada sejarah. Dan pengajarannya sangat jelas, iaitu Jangan sesekali jadikan politik sebagai alasan untuk menghalalkan rasuah. Jangan jadikan jasa sebagai pemadam jenayah. Jangan jadikan parti sebagai ukuran betul atau salah.

13. Kerana apabila amanah negara dikhianati, yang menanggung akibatnya bukan seorang pemimpin. Rakyat yang membayar.

14. Kita boleh memaafkan manusia.

15. Tetapi jangan sampai kita memaafkan pengkhianatan terhadap amanah negara.

16. Apabila Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan dalam bidang kuasa Baginda, kita hormati institusi tersebut.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top