Malaysia Belum Pulih?

Bukan. Dunia Belum Pulih.

Saya rasa kita perlu berhenti sekejap sebelum terlalu cepat menjadikan PISA 2025 sebagai peluru politik. Siap minta Menteri Pendidikan letak jawatan.

Ya, keputusan Malaysia membimbangkan. Matematik kita 397 mata, membaca 393 dan sains 419. Berbanding 2022, Matematik terus merosot, malah bahagian murid di bawah Level 2 juga meningkat 24 mata peratusan. Manakala, bidang Sains dan Bacaan tidak ada peningkatan yang signifikan, atau mudahnya, kita stagnan.

Ini bukan angka yang perlu kita pertahankan atau disolekkan. Ini masalah yang mesti kita hadapi.

Tetapi sebelum bertanya, Siapa yang gagal? mari kita tanya soalan yang lebih besar dan mungkin asas, Adakah Malaysia sahaja yang belum pulih selepas PISA 2022?

Jawapannya, Tidak.

Saya bukan defensif. Mari saya terangkan.

Untuk perbandingan, daripada 74 sistem pendidikan yang boleh dibandingkan antara 2022 dengan 2025, hanya 14 atau kira-kira 19% meningkat secara signifikan dalam sains. 48 sistem atau 65% tidak menunjukkan perubahan signifikan, manakala 12 lagi atau 16% merosot.

Maksudnya, 81% masih struggle untuk kembali bangkit kepada era sebelum 2022, sama ada kekal stagnan atau terus merosot. Trend yang sama kita lihat dalam bidang Matematik dan Membaca. Purata keseluruhan OECD turun 9 mata dalam matematik dan kira-kira 14 mata dalam membaca antara 2022 dengan 2025.

Nampak tak ini?

Ya, Sebenarnya, dunia pendidikan secara umumnya masih bergelut untuk pulih. Sebab itu, kata kunci penting Pasca-Pandemik, ialah PEMULIHAN.

Malaysia? Ya, memang stagnan dan menurun, dan saya tegaskan lagi, mesti diambil serius.

Tetapi kita bukan turun dalam keadaan dunia sedang meningkat. Kita sedang turun dalam dunia yang juga sedang bergelut untuk bangkit kembali.

Kemudian jangan kita lupa COVID-19. Ingat lagi? Mac 2020 sehingga 2022. Ingat lagi istilah PKP, PKPD? Sekolah tutup. Sekolah buka. Tutup semula. Buka berperingkat. Ingat?

Saya kongsikan data ini. Dapatan PISA 2022 menunjukkan 62% pelajar Malaysia melaporkan sekolah mereka ditutup lebih daripada tiga bulan, berbanding hanya 51% OECD.

Tahukah kita, ketika PdPR, 38% murid kita menghadapi masalah memahami tugasan sekurang-kurangnya sekali seminggu, manakala 32% menghadapi masalah mencari seseorang untuk membantu kerja sekolah. Lebih sepertiga!

Guru menyesuaikan diri. Ibu bapa menyesuaikan diri. Anak-anak pula cuba menyesuaikan diri dengan semuanya. Semua orang terkesan!

Dan pada masa yang sama, kita bukan sahaja dilanda krisis kesihatan, kita juga terjebak krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik.

Saya tidak mengatakan semua kemerosotan PISA disebabkan hanya pada COVID-19. OECD sendiri menyatakan kemerosotan di banyak negara sudah bermula sebelum pandemik lagi.

Tetapi kita juga tidak boleh berpura-pura gangguan sebesar itu tidak meninggalkan kesan.

Bayangkan seorang anak. Masuk Tahun 1. Tahun 2. Tahun 3. Tahun 4. Tahun 5. Tahun 6. Masuk Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3. Setiap peringkat berhadapan cabaran pasca-pandemik sehingga hari ini.

Sepanjang perjalanan itu dia mengalami pelbagai perubahan kurikulum, pedagogi, teknologi dan pentaksiran.

Bercakap tentang itu, kita juga mempunyai sejarah perubahan dasar. Ingat PPSMI? Diperkenalkan pada 2002 dan dilaksanakan mulai 2003. Kemudian pada 2009, keputusan dibuat untuk patah balik, dengan proses peralihan soft landing sehingga sekitar 2016. Selepas itu pula muncul pendekatan seperti DLP.

Saya tidak mahu buka semula perang PPSMI-DLP, sama ada betul atau salah. Tetapi kita perlu belajar daripada sejarah.

Dasar pendidikan yang dibuat 10, 20 atau 30 tahun dahulu tidak hilang begitu sahaja. Kesan dan pengalaman yang dibawanya boleh terus dirasai oleh kohort murid selepasnya.

Setuju atau tidak, flip-flop memberi kesan kepada pengalaman pembelajaran murid. Apabila dasar berubah, guru perlu menyesuaikan diri. Sekolah perlu menyesuaikan diri. Ibu bapa perlu menyesuaikan diri.

Dan akhirnya, murid yang menanggung pengalaman itu.

Kemudian datang COVID-19. Flip-flop berlaku lagi dalam bentuk sekolah tutup, buka, tutup semula dan buka berperingkat. Ini pun jangan kita fikir tidak ada kesan.

Akhirnya, sedar atau tidak, anak-anak ini membawa semua pengalaman itu apabila mereka duduk menjawab PISA, baik PISA 2022, & PISA 2025.

Dan Menteri Pendidikan sekarang mula memegang jawatan pada Disember 2022.

Anda tidak boleh masuk pejabat pada Disember 2022, tekan satu butang, kemudian pada 2025 semua kesan pendidikan selama bertahun-tahun, termasuk COVID-19, hilang. Pendidikan tidak mempunyai butang reset.

Sebab itu saya kurang bersetuju apabila PISA terus diterjemahkan kepada soalan, Siapa Menteri Pendidikan ketika itu?

Seolah-olah sistem pendidikan hanya bermula apabila seorang Menteri masuk pejabat.

Tidak.

Itu cara baca yang terlalu cetek.

PISA ialah cermin kepada pengalaman pendidikan seorang anak selama bertahun-tahun. Semasa pembentangan YBM Pendidikan, beliau telah menjelaskan bahawa kita tidak defensif. Kita sedar kelemahan.

Ya, kita ada cabaran besar.

Matematik 397 memang serius. Kita perlu memperkukuh numerasi, pedagogi, sokongan kepada sekolah dan pembelajaran murid.

Tetapi laporan yang sama juga menunjukkan kekuatan kita.

Dalam computational problem solving, skor Malaysia ialah 484 berbanding 500 OECD. Malah 82.6% murid Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik daripada yang dijangkakan berdasarkan prestasi sains mereka, berbanding 56.3% OECD.

Kenapa kita tidak mahu lihat data ini juga?

Sebab kita mahu politikkan data yang buruk sahaja?

Maknanya, dalam sistem yang mempunyai kelemahan, ada juga kekuatan yang perlu kita bina. Sebab itu jangan jadikan PISA papan skor politik.

Pendidikan, jangan sesekali dipolitikkan.

Tidak perlu claim siapa hero. Tidak perlu mencari siapa villain.

Kita perlukan kesinambungan, dasar berasaskan bukti, pelaksanaan yang konsisten dan masa. Kita sudah mempunyai Kementerian Pendidikan, guru, penyelidik dan seluruh ekosistem pendidikan. Kita juga sudah mempunyai RPM 2026–2035 sebagai kerangka untuk bergerak ke hadapan. Malah, kita telah pun ada RPTM 2026-2035, khusus untuk matematik.

Dan satu lagi.

Dapatan PISA 2025 menunjukkan sokongan keluarga terhadap pembelajaran anak semakin rendah berbanding 2022!

Peratus ibu bapa yang bertanya setiap minggu tentang apa yang anak lakukan di sekolah turun daripada 57% pada PISA 2022 kepada 51% pada PISA 2025.

Perbincangan mingguan tentang masalah di sekolah pula turun daripada 46% pada PISA 2022 kepada 34% pada PISA 2025.

Bayangkan.

Kan 2022 tu, zaman COVID-19? Masa 2022, kita banyak berikan sokongan kepada anak-anak kita, tapi pada 2025, kenapa sokongan keluarga berkurangan?

Nampak tak ini?

Jelas sekali, tuan-tuan, usaha kita masih belum cukup.

Maka, saya mahu tegaskan sekali lagi pendirian saya, bahawa pendidikan bukan tugas Menteri seorang. Bukan guru seorang. Bukan ibu bapa seorang.

It takes a village to raise a child.

Tidak perlu claim siapa hero. Tidak perlu mencari siapa villain. Dan… Tak perlu nak mempolitikkan pendidikan dengan stunt politik yang merosakkan ekosistem pendidikan kita.

Yang penting, anak-anak kita jangan terus menjadi mangsa sikap kita.

Ayuh kita usaha bersama-sama.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top